Artikel

Matematik dan Matematik Tambahan, SPM 1971

oleh Helmi pada 07 Jan 2005

Menjadi pelajar SMART

Awal Januari 1970 saya meneruskan pelajaran ke tingkatan 4 aliran sains di Sekolah Menengah Abdul Rahman Talib (SMART), Kuantan. Tingkatan 4 sains ada lima kelas. Kedudukan kelas ditentukan berdasarkan keputusan peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP). Saya ditempatkan di tingkatan 4 Sains 4. Sedih juga rasanya kerana ditempatkan di kelas ini. Apa tidaknya, hanya saya seorang sahaja dari SMK Maran yang ditempatkan di kelas itu. Rakan-rakan saya yang lain dari SMK Maran berjaya ditempatkan di kelas 4 Sains 1, 4 Sains 2 dan 4 Sains 3. Alangkah sunyinya berada di kelas itu.

Selepas direnungkan, memang patut saya diletakkan di kelas 4 Sains 4. Penempatan berdasarkan pencapaian Matematik dan Sains. Saya memperoleh 25 agregat, Matematik I dapat C4, Matematik II dapat C6 dan Sains dapat C6. Bayangkanlah ada ramai pelajar yang lebih cemerlang daripada saya. Bilangan mereka dianggarkan 100 orang. Kelas 4 Sains 1 memang terdiri daripada top student negeri Pahang. Hanya seorang sahaja wakil SMK Maran yang berjaya masuk ke kelas 4 Sains 1. Beliau adalah Kamarudin Taib. Dia ini memang jaguh.

Senarai buku teks tingkatan 4 diedarkan semasa pendaftaran. Saya terkejut kerana buku teks Matematik Tambahan, Fizik, Kimia dan Biologi dalam Bahasa Inggeris. Harganya pula mahal. Pada waktu itu belum ada Skim Pinjaman Buku Teks. Semuanya kena beli sendiri. Nampaknya ayah terpaksalah menoreh getah dahulu bagi menyediakan wang yang banyak bagi membeli buku-buku tersebut. Saya bertanya di dalam hati, Bolehkah saya faham apabila membaca buku-buku itu? Buku Matematik Tambahan yang saya perlukan adalah buku yang bertajuk Elementary Analysis karangan J. Poker dan Dakin. Seingat saya, jarang sekali saya membuka buku itu, semuanya berdasarkan apa yang diberi oleh guru sahaja.

Cikgu Lim Sim Kuey mengajar Matematik dan Pendidikan Jasmani. Seronok juga belajar dengan Cikgu Lim tetapi lebih seronok belajar Pendidikan Jasmani (PJ). Semasa PJ, budak lelaki kelas saya bergabung dengan budak Tingkatan 4 Sains 3. Cikgu Lim selalu menjalankan pelbagai aktiviti memanaskan badan, pertandingan antara kumpulan dan gimnastik. Kadang kala ada juga diselitkan permainan takraw, bola sepak dan ragbi. Permainan ragbi yang paling kerap kerana cikgu Lim adalah jurulatih ragbi sekolah kami. Pada masa itu SMART memang hebat dalam permainan ragbi. Cikgu Lim mesti jadi refrinya, kalau tidak adalah pelajar yang akan bertinju sebab di kalangan kami ada yang gemar menjadi batu api. Kami semua seronok belajar PJ. Memang kami bermain bersungguh-sungguh. Selepas PJ, badan kami basah kuyup. Singlet boleh diperah macam tuala basah.

Buku latihan dilancarkan ke luar kelas

Cikgu Lim mampu menyampaikan pengajaran Matematik dalam Bahasa Melayu dengan baik. Pelat sedikit-sedikit itu biasalah tetapi tidak sampai mengganggu konsentrasi kami dalam memahami pengajarannya. Belajar Matematik daripada Cikgu Lim ini boleh tahan juga penatnya sebab banyak kerja rumah yang diberikan kepada kami. Ramai juga rakan saya mengeluh dan tidak dapat menyiapkan kerja rumah. Selalu juga Cikgu Lim memarahi kami apabila kami tidak menyiapkan kerja rumah yang diberikan. Kalau Cikgu Lim marah nampaklah cuping telinganya menjadi merah. Yang hairannya, Cikgu Lim tidak pernah memukul kami. Paling teruk pun kami akan disuruh berdiri sahaja.
Suatu hari Cikgu Lim naik berang sebab hampir semua pelajar kelas saya tidak menyiapkan kerja rumah termasuklah saya. Hari itu sungguh tidak saya sangka, Cikgu Lim mengambil tindakan yang memeranjatkan. Buku latihan Matematik kami dilancarkan ke luar tingkap. Apa lagi, melayanglah buku-buku itu dari tingkat tiga ke dataran rumput betul-betul di hadapan bilik pengetua.

Beberapa minit selepas itu Cikgu Lim menyuruh kami, pelajar lelaki mengambil buku masing-masing. Kami terus turun untuk mengambil buku masing-masing. Saya terasa seram juga sebab terpaksa melintasi bilik pengetua. Pengetua kami ini boleh tahan juga garangnya. Namanya Encik Nawawi. Kami bergerak memberanikan diri terus mengambil buku masing-masing. Tetapi nasib kami kurang baik. Belum pun sempat cabut lari, terus sahaja kedengaran bunyi suara yang nyaring, Berhenti! Rupa-rupanya suara itu datangnya dari bilik Tuan Pengetua. Kami semua diarah masuk ke bilik beliau. Habis buku diperiksa satu demi satu. Selepas bersoal-jawab, kami mengaku tidak menyiapkan kerja rumah. Akhirnya setiap orang mendapat hadiah masing-masing. Satu sebatan seorang. Boleh tahan juga sakitnya. Maklumlah Pengetua kami ini masih gagah, masih lasak sebab saya pernah melihat beliau bermain ragbi dan bola sepak berlawan dengan pasukan pelajar tingkatan enam. Agaknya, kalau kena rotan tiga kali terus tidak boleh bangun.

Selepas mendapat hadiah masing-masing, kami pun masuk kelas. Apabila masuk ke kelas kami senyap sahaja. Tidak ada seorang pun yang membuka mulut. Cikgu Lim tidak bertanya apa-apa pun. Saya terfikir, Mungkinkah ini adalah pakatan antara Cikgu Lim dan Tuan Pengetua?

Bukan main susah hendak duduk, serba tidak kena. Maklum sahajalah, kami baru sahaja menerima habuan daripada Tuan Pengetua. Sakitnya masih terasa. Pelajar-pelajar perempuan mengagak sesuatu menimpa kami. Ada yang berbisik memberitahu pelajar lain. Selepas itu, Cikgu Lim suruh mereka pula mengambil buku. Apa lagi kedengaran bunyi Tidak mahu. berulang-ulang kali. Dalam keadaan kelam kabut itu tiba-tiba Othman Sulong berkata, Oi, pergilah. Tidak ada apa-apanya. Memang selayaknya Othman berkata begitu sebab dia adalah ketua kelas kami. Nampaknya mereka mengalah dan terpaksa turun mengambil buku masing-masing. Sebagaimana dijangka, mereka juga menerima habuan daripada Tuan Pengetua. Apabila mereka masuk kelas semuanya menutup muka dengan buku sambil tangan kirinya digenggam macam hendak bertinju sahaja. Ada di antara mereka menangis teresak-esak. Saya meluat betul melihat orang menangis. Manja tidak bertempat, hati saya berbisik. Itulah hadiah kepada yang malas.
Cikgu Lim tidak dapat meneruskan pengajarannya kerana masing-masing tidak berhenti menangis. Saya hanya mendiamkan diri sambil mengenangkan peristiwa ini. Waktu itu saya rasa sangat bernasib baik kerana bersekolah di Kuantan, jauh dari rumah. Kalau tidak tentu berita kena rotan ini tidak sampai ke pengetahuan ayah. Beberapa hari selepas itu, kelas Matematik berjalan dengan lancar. Kami tidak berani untuk tidak menyiapkan kerja rumah. Namun begitu, banyak jawapan yang masih silap dan serupa. Elok juga Cikgu Lim buat begitu. Kalau tidak ramai yang main-main sahaja.

Suatu hari, semasa perhimpunan di dewan sekolah, Tuan Pengetua ada menyentuh mengenai tanggungjawab pelajar menyiapkan kerja rumah yang diarahkan oleh guru. Beliau mengatakan ada kelas tertentu yang tidak menyiapkan kerja rumah tetapi nasib baik tidak menyebut kelas yang mana satu. Kalau tidak seluruh sekolah tahu peristiwa itu. Kalau tidak, malu kami. Mana hendak sorok muka. Itu pun saya rasa ada pelajar kelas lain yang sudah tahu berita itu. Sebabnya, semasa Tuan Pengetua menyentuh mengenai perkara tersebut ada beberapa orang pelajar dalam barisan di sebelah menoleh ke arah barisan kami. Semasa di tingkatan empat ini, kami hanya belajar Matematik setakat apa yang diajar di dalam kelas dan menjawab soalan latihan yang disuruh sahaja. Memang tiada inisiatif sendiri untuk menjawab soalan tambahan atau cuba mengkaji semula apabila ada tajuk yang tidak difahami.

Penangan guru dari Indonesia

Kisah mata pelajaran Matematik Tambahan (MT) lain pula ceritanya. Inilah cabaran yang paling hebat. Guru yang mengajar mata pelajaran ini diimport dari Indonesia. Rasanya dalam tahun itu sudah tiga kali berlaku pertukaran guru. Mula-mula Bapak Rebo Siswojo, selepas itu, Bapak Panggabean dan akhir sekali, Bapak Sudarjho. Semuanya sama sahaja. Sangat membingungkan. Habis semua pelajar tidak faham apa yang diajar, tetapi tiada seorang pun pelajar yang berani bertanya.

Masa guru Matematik Tambahan mengajar, ada yang tidak memberikan perhatian dan mengganggu kawan-kawan yang lain. Nampak sangat mereka ini tidak tahu tanggungjawab masing-masing. Sudahlah belajar tidak faham, tidak bertanya pula. Habislah lingkup. Guru MT kami suka menyebut perkataan yang pelik-pelik. Kelas menjadi riuh rendah apabila terdengar perkataan yang pelik-pelik yang disebutkan. Antara perkataan ganjil yang kami pernah dengar adalah perkataan seperti shahwat. Sebenarnya beliau ingin maksudkan kepada pesawat.

Bapak Rebo Siswojo menjadi serba salah apabila kami semua mengetawakan beliau. Sepanjang setahun pengajian di tingkatan empat, buku Elementry Analysis tidak diguna-kan. Saya selalu tengok beliau membawa buku teks Indonesia. Oleh itu, selalulah kami terdengar istilah yang pelik-pelik seperti itu. Dalam masa setahun, saya tidak pernah bertanya kepada beliau walaupun tidak faham. Bagi saya, kawan-kawan kelas 4 Sains 2 seperti Alwi dan Fauzi dari Maran dan Razali dari Chenor menjadi tempat rujukan. Saya lebih selesa bertanya kepada mereka. Tapi ada juga masalahnya kerana ada kalanya mereka juga tidak tahu.

Syukur, dapat lompat kelas

Dalam peperiksaan akhir tahun tingkatan 4, saya lulus kedua-dua pelajaran Matematik itu. Saya mendapat 51 peratus bagi Matematik Awalan dan 49 peratus bagi Matematik Tambahan. Walaupun pencapaian saya hanya pada tahap C6 dan P7, saya kira pencapaian itu sudah cukup baik. Apa tidaknya, hanya saya seorang sahaja dalam kelas 4 Sains 4 yang lulus kedua-dua pelajaran Matematik. Lebih seronok lagi saya dapat nombor tiga dalam kelas ini. Suatu kedudukan yang tidak pernah saya mimpikan sebelum ini.

Guru kelas saya ada memberitahu kami, senarai nama pelajar tingkatan 5 tahun hadapan akan dikeluarkan sebelum cuti akhir tahun. Saya berharap supaya mendapat kedudukan yang lebih baik. Pada suatu pagi, ramai pelajar tingkatan empat berkerumun membaca notis yang ditampal di papan kenyataan. Saya pun ikut serta. Rupa-rupanya mereka sedang melihat senarai nama pelajar tingkatan lima tahun hadapan. Saya lihat senarai nama tingkatan 5 Sains 1 daripada awal hingga akhir, namun nama saya tidak tercatat di situ. Selepas itu, saya lihat pula senarai nama pelajar tingkatan 5 Sains 2. Puas saya turuti dari awal hingga ketiga terakhir, baru kelihatan nama saya. Syukurlah kerana saya berjaya melompat dua anak tangga. Rosnah, Zaimun dan saya sahaja dari kelas 4 Sains 4 yang berjaya melompat ke kelas 5 Sains 2. Yang lain ikut nasiblah bertaburan dari kelas 5 Sains 3 hingga ke kelas 5 Sains 5.

Kami bertiga dari kelas ini ada persamaan daripada segi minat terutama dalam bidang sukan olahraga. Semasa olahraga tahunan sekolah memang kami mengambil bahagian dalam banyak acara masing-masing, tetapi saya tidak mendapat sebarang pingat pun. Walau bagaimanapun, dua orang rakan saya itu memang jaguh pecut. Mereka berjaya mewakili sekolah ke MSSD Kuantan. Walau bagaimanapun, saya berjaya memberi sumbangan mata dalam sukan tara dan merentas desa kepada Rumah Megat Terawis.

Nampaknya saya terpaksa berpisah dengan rakan-rakan sekelas dan bersaing pula dengan rakan-rakan baru. Saya dapati dalam senarai kelas 5 Sains 2 itu tercatat nama Lotfi, Arshad, Wan Zahari, Saari dan Aziz. Mereka semua itu adalah rakan baik semasa di SMK Chenor dan SMK Maran. Saya berazam hendak belajar bersungguh-sungguh lagi apabila naik tingkatan 5 nanti. Pastinya saingan menjadi lebih sengit lagi. Walau bagaimanapun kami semua akan bercuti panjang selama tujuh minggu terlebih dahulu.

Hari pertama persekolahan dihabiskan dengan kerja men-cuci kelas, susun kerusi meja dan bercerita mengenai pengalaman menghadapi banjir yang lalu di tempat masing-masing. Hari itu Cikgu Muslim Tanjung, guru kontrak dari Indonesia masuk ke kelas memperkenalkan diri. Beliau adalah guru kelas kami dan mengajar Sains bahagian Fizik. Kurus tinggi orangnya. Umurnya lebih dari 50 tahun. Sejak tahun lepas hingga kini saya perhatikan cikgu ini sentiasa memakai baju putih berlengan panjang dan berseluar warna biru tua. Bukanlah sepasang itu sahaja tetapi sekadar ingin bercerita betapa cekalnya beliau mengekalkan identiti pakaiannya. Hari itu kami memilih ketua kelas dan Khalid Abdullah berjaya menyandang jawatan itu. Sementara jawatan penolong ketua pula disandang oleh Rosnah.

Sesat dalam pelayaran, kapal terbang hilang arah tuju, kapal laut tidak sampai ke pelabuhan

Kini cikgu Sudarjho mengajar Matematik pula dan cikgu Panggabean mengajar Matematik Tambahan. Hampir sebulan belajar Matematik terutama mengenai tajuk Ilmu Pelayaran, habis semua orang tidak faham. Halaju di air dan halaju di darat tidak dapat dibezakan sampai sudah. Kesannya? Kami sesat dalam pelayaran. Kapal terbang hilang arah tuju dan kapal laut tidak sampai ke pelabuhan kerana kami tidak faham ilmu belayar. Saya sungguh kecewa kerana pengajaran sangat mengelirukan. Ditambah lagi dengan penggunaan Bahasa Indonesia yang pekat. Apabila diadakan ujian selepas habis belajar topik Ilmu Pelayaran, semua pelajar gagal. Saya sendiri menerima pukulan KO, hanya memperoleh 25 peratus sahaja. Kalau macam ini memang tidak boleh jadi, tidak boleh berpanjangan begini.

Nampaknya semangat belajar para pelajar kelas ini sangat berbeza dengan kelas saya tahun lepas. Masing-masing berkobar-kobar mahu belajar. Mahu mendapat markah yang baik dalam peperiksaan. Oleh itu, kami semua sudahpun mengambil kata sepakat.

Kami semua berbincang dipengerusikan oleh Khalid selaku ketua kelas. Perbincangan kami berakhir dengan suatu keputusan yang berani. Kami mahu mengadu hal ini kepada Pengetua. Pengetua SMART II pada masa itu adalah Encik Sufian bin Ahmad. Kami berani mengadu hal kepada beliau kerana kami melihat beliau sebagai seorang yang mudah didekati, mudah senyum tetapi tegas orangnya. Pengetua sentiasa melawat asrama serta dewan makan dua kali sehari. Oleh itu, memang tiada peluang para pelajar hendak ponteng kelas dan lepak di asrama. Ketika itu asrama bersih dan makanan pun sedap. Itulah kesan keprihatinan Tuan Pengetua kami.

Wan Zahari, Suhaimi, Khalid dan saya diamanahkan supaya berjumpa dengan Pengetua. Kami berempat berbincang bagi menyusun hujah. Wan Zahari dipilih sebagai jurucakap utama. Pada ketika itu, kelemahan sendiri langsung tidak nampak. Yang nampak hanyalah kelemahan pihak orang lain. Kami memberanikan diri masuk ke bilik Pengetua. Kami bawa semua kertas ujian. Wan Zahari adalah jurucakap utama sebab dia pandai berhujah. Dia memang ada bakat menjadi peguam ataupun pegawai penerangan. Nampaknya, Tuan Pengetua bersimpati dengan kami. Beliau bertanya, Kamu hendak belajar dengan siapa? Cepat-cepat saya menjawab, Cikgu Kamariah.

Selang beberapa hari selepas bertemu dengan Pengetua, kelas kami mendapat jadual baru. Memang cantik, tercatat nama Cikgu Kamariah sebagai guru Matematik. Memang kami ada dengar cerita daripada kawan-kawan dari kelas 5 Sastera mengatakan mereka seronok belajar dengan Cikgu Kamariah. Mereka kata mudah faham. Kata mereka lagi, Cikgu Kamariah akan cuba menerangkan berulang-ulang kali sekiranya ada pelajar tidak faham. Ini bermakna, pasti ada kelas yang akan kehilangan khidmat Cikgu Kamariah. Tentu mereka akan kecewa kerana hilangnya seorang guru yang baik. Ah, jangan hiraukan mereka. Yang penting kami dapat apa yang kami hajati.

Kami tidak sesat lagi!

Apa yang kami jangkakan menjadi kenyataan. Memang betul. Dua minggu sahaja cikgu Kamariah mengajar tajuk Ilmu Pelayaran, kami sudah boleh faham. Kini saya faham apakah yang dimaksudkan dengan halaju di air dan halaju di darat. Selepas itu, beliau mengadakan ujian topikal. Kali ini lebih ramai pelajar yang lulus. Saya gembira kerana mendapat markah yang baik, 90 peratus. Kini, sekiranya saya yang menjadi nakhoda kapal, tentu tidak sesat lagi. Semua orang gembira kerana percaturan yang dilakukan mengena.

Semasa kami membuat latihan di dalam kelas, cikgu Kamariah suka berjalan-jalan dan melihat kerja setiap pelajarnya. Beliau pantas bergerak dan menyemak kerja kami semua. Pendek kata, semasa kelas Matematik memang tiada seorang pelajar pun yang terpinggir. Yang mengagum-kan, cikgu Kamariah boleh ingat semua nama pelajar kelas kami dalam masa beberapa hari sahaja.

Kini kami semua rasa seronok dan tiada tekanan lagi, terutama apabila ingin memahami apa yang diajarkan. Kami berani bertanya sekiranya ada yang tidak faham. Saya sendiri semakin seronok belajar mata pelajaran ini. Tidak hairanlah dalam peperiksaan percubaan SPM saya mendapat 76 peratus. Suatu peningkatan yang ketara berbanding semasa di tingkatan empat di mana saya hanya mampu mendapat markah 51 peratus sahaja. Memang kami tidak akan melupakan jasa Cikgu Kamariah yang dikagumi itu. Bak kata pepatah Melayu, harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama. Ingatan saya kepada Cikgu Mutalib, Cikgu Sabu dan Cikgu Kamariah memang tidak terhakis walau sedikit pun.
Suatu hari, pihak sekolah mengambil gambar kami bersama guru-guru yang mengajar kelas kami. Oleh kerana saya selalu mendapat markah Matematik tertinggi di dalam kelas, dapatlah saya berdiri di belakang cikgu Kamariah.

Terima kasih Prof. Jam!
Pelajaran Matematik Tambahan lain pula ceritanya. Semasa belajar di dalam kelas, banyak fakta yang diterangkan oleh guru kami tidak faham. Macam dulu juga, walau pun tidak faham tetapi kami tidak berani memberitahu guru yang kami tidak faham. Guru Matematik Tambahan mengajar kami macam pensyarah mengajar penuntut universiti. Ada rakan yang mengaku kalah. Semangat ingin mencuba kebanyakan daripada kami tidak membara. Namun saya masih belum putus asa. Walaupun sepanjang di tingkatan lima ini saya tidak pernah mendapat markah lebih daripada 40 peratus, namun saya tetap ingin teruskan juga. Semasa peperiksaan percubaan SPM, saya hanya mendapat markah sebanyak 34 peratus sahaja.
Saya sungguh tidak selesa dengan keadaan sekarang, tetapi saya masih belum berputus asa. Selepas peperiksaan percubaan, saya melipatgandakan usaha mengulang kaji mata pelajaran ini. Saya tidak sanggup untuk mendapat F9 bagi mata pelajaran MT dalam peperiksaan SPM nanti. Masih ada masa untuk memperbaiki kelemahan. Saya mahu berjuang hingga ke saat terakhir. Tetapi kebanyakan budak dalam kelas saya sudah hanyut. Kali ini saya terpaksa merujuk buku teks Elementary Analysis yang tersimpan selama ini. Memang sebelum ini saya hanya bergantung kepada nota yang diberi oleh guru di dalam kelas. Perjuangan kali ini sangat mencabar kerana saya perlu memahami bahasanya terlebih dahulu. Saya memang lemah Bahasa Inggeris. Oleh itu, saya perlu menterjemahkan terlebih dahulu satu persatu perkataannya, baru boleh jawab soalannya.
Setiap kali saya menghadapi kesukaran dalam mata pelajaran Matematik Tambahan, saya selalu meminta pertolongan daripada seorang sahabat, Jamaludin namanya dari kelas 5 Sains 1. Dia paling handal mata pelajaran ini di dalam kelasnya. Kawan-kawan memanggilnya Profesor tetapi saya memanggilnya dengan nama Prof. Jam. Panggilan Prof. Jam nampaknya lebih menyeronokkannya. Dia senyum sahaja apabila saya memanggilnya dengan nama itu.

Hendak bertanya pun, perlu pandai main psikologi juga. Kena tengok masa yang sesuai sebelum bertanya apa-apa. Kalau dia sedang khusyuk menelaah, lupakan sahaja hasrat untuk bertanya kerana dia tidak akan melayannya. Walau bagaimanapun, Prof. Jam memang tidak kedekut ilmu. Saya banyak mendapat pertolongannya di saat-saat akhir ini. Saya juga tidak lupa mengucapkan terima kasih dan ada kalanya memberi pujian atas kebolehannya.

Sudah menjadi lumrah manusia memang seronok apabila dipuji. Walaupun saya terus membuat ulang kaji, tetapi masih banyak tajuk yang belum saya kuasai terutama Trigonometri, Janjang Geometri dan Kebarangkalian. Sewaktu menduduki peperiksaan SPM, saya hanya mampu menjawab separuh sahaja daripada semua soalan yang disediakan. Oleh itu, saya ada banyak masa bagi menyemak semua jawapan supaya semuanya betul. Sekiranya semua jawapan betul, bermakna saya berpeluang memperoleh 50 peratus ataupun Kepujian 6. Harap-harap begitulah.

Apabila saya renungkan kembali pengalaman belajar Matematik Tambahan, ada beberapa perkara yang dapat disimpulkan:

1. Antara guru dan murid terdapat jurang komunikasi yang besar. Kami tidak terdorong untuk belajar.
2. Halangan bahasa. Tidak faham isi kandungan buku teks Matematik Tambahan kerana semuanya ditulis dalam Bahasa Inggeris. Ruginya tidak pandai Bahasa Inggeris.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (198801006125) © 2000 - 2025