Artikel

Matematik STPM 1973

oleh Helmi pada 07 Jan 2005

Tingkatan 6 Rendah Sains, 1972

Pada pertengahan Jun, saya kembali semula ke Sekolah Menengah Abdul Rahman Talib (SMART), Kuantan untuk menyambung pelajaran ke kelas tingkatan 6 Rendah Sains. Kehadiran kali kedua tidak menimbulkan banyak masalah. Rasa sunyi dan rendah diri seperti semasa tingkatan empat dulu sudah tidak ada lagi. Tambahan pula kehadiran saya kali ini membawa bersama senjata canggih iaitu JEJAK MAL. Pelajar lelaki tingkatan 6 rendah ditempatkan dalam satu dorm khas di asrama. Seronok juga tidak bercampur dengan pelajar lain.
Kelas tingkatan 6 Rendah Sains dihuni oleh seramai 26 orang pelajar. Lebih separuh daripadanya adalah rakan-rakan saya semasa di tingkatan lima dahulu. Yang lain-lain diimport dari negeri Kelantan dan Terengganu. Kelas kami diserikan dengan sekuntum bunga, Faezah namanya. Dialah penyeri kelas ini. Faezah sangat baik dan pandai menjaga diri. Kami semua menghormatinya. Antara kawan-kawan saya yang lain ialah Prof. Jam, Alwi, Mat Karim, Aris, Musana, Mus, Suhaimi, Robil, Ismail Bidin, Ismail Husain, Razak, Rahim dan Kamarudin.

Saya terkejut besar apabila tiba-tiba cikgu Sudarjho masuk ke kelas. Beliau memperkenalkan diri sebagai guru kelas dan guru Matematik kelas kami. Saya dan Suhaimi saling berpandangan. Tahun lepas saya, Suhaimi dan dua orang lagi telah pergi berjumpa Pengetua mengadu mengenai cikgu inilah. Saya terus teringat kepada Ilmu Pelayaran yang beliau ajar. Habis kami semua sesat dalam pelayaran. Nasib baik ada seorang pelayar yang handal bernama Kamariah WA, berjaya memandu kami hingga sampai ke pangkalan.
Kali ini kami tidak protes lagi sebaliknya akan cuba mengikuti terlebih dahulu pengajarannya. Sungguh menghairankan, kali ini pengajarannya dapat saya fahami. Mungkin juga ini adalah kesan awal JEJAK MAL yang saya praktikkan sekarang ini. Satu lagi kemungkinannya ialah cikgu Sudarjho ini memang berpengalaman mengajar Matematik tahap pra universiti. Kebanyakan rakan-rakan lain terkial-kial untuk memahaminya. Apa tidaknya, asas Matematik mereka lemah. Dalam kelas ini Prof. Jam sahaja yang mendapat A2 dalam Matematik Tambahan. Azmi dari SMT Kuantan mendapat C4, manakala tiga orang pelajar yang lain termasuk saya mendapat C6. Yang lain-lain mendapat P7, P8 dan F9. Walaupun saya mendapat C6 bagi Matematik Tambahan, tetapi saya sudah pun membaiki semua kelemahan asas yang saya alami selama ini.

Hasil pertama JEJAK MAL

Selepas belajar hampir sebulan, cikgu Sudarjho mengada-kan ujian bulanan. Ujian ini meliputi tajuk Geometri Koordinat Lanjutan dan Kebarangkalian. Beberapa hari selepas itu, cikgu Sudarjho membawa bersama-samanya kertas jawapan Matematik untuk dipulangkan kepada kami semua. Bukan main berdebar lagi dada masing-masing. Tiba-tiba cikgu Sudarjho menyebut nama saya. Saya terus ke hadapan. Cikgu Sudarjho berkata, Tahniah, saudara mendapat markah paling tinggi, lihat ini 75 peratus.

Saya bukan main seronok lagi, rasa seperti mahu me-lompat. Memang sah pelaksanaan JEJAK MAL sudah menampakkan hasil yang pertama. Dalam ujian itu hanya tiga orang sahaja yang lulus. Prof. Jam mendapat 50 peratus dan Azmi mendapat 40 peratus. Prof. Jam macam tidak percaya saya berjaya mengatasinya kali ini dengan markah sebanyak 75 peratus. Dia beria-ia benar menyemak jawapan saya, dia mengira markah setiap soalan, takut kalau-kalau cikgu tersilap campur markah. Akhirnya dia senyap. Sebenarnya Prof. Jam tidak tahu saya sudah bersedia sejak awal April lagi.

Sejak itu, persaingan antara kami semakin sengit. Saya bukan setakat hendak bersaing dengan dia sahaja, malah mahu mendapatkan prinsipal A dalam mata pelajaran Matematik. Saya tidak pernah menceritakan kepada sesiapa pun mengenai projek JEJAK MAL yang sudah pun saya mulakan itu. Saya terus mengikuti sepenuhnya pengajaran guru di dalam kelas serta membuat latihan yang disuruh berserta latihan tambahan yang saya rancang sendiri. Selain itu, saya belajar dahulu tajuk-tajuk baru yang bakal dipelajari sebagai persediaan proaktif. Rakan-rakan lain masih berhoneymoon. Namun, saya sudah pun menetapkan jadual belajar sejak awal-awal lagi. Masa ulang kaji dan membuat latihan Matematik perlu dilakukan sekurang-kurangnya satu jam sehari.

Cari helah, cari kawan
Saya terus berbaik-baik dengan Prof Jam supaya mudah berbincang jika ada yang saya tidak faham. Ada seorang lagi pelajar yang handal Matematik, tetapi berada di dalam kelas 6 Atas Sains, namanya Abu Zarim. Abu memang nampak hebat dalam mata pelajaran ini. Pada belakang baju-t putih riadahnya penuh dengan formula Matematik yang pelik-pelik belaka. Saya lihat formula pada baju itu tahun lepas. Masa itu, Abu masih di tingkatan enam rendah dan saya di tingkatan lima. Abu sentiasa menjadi tempat rujukan kawan-kawan sekelasnya.

Saya mula memikirkan cara hendak berkawan dengan-nya. Puas juga saya memikirkan cara bagaimana mahu menghampirinya. Sebab tahun lepas ada peristiwa budak tingkatan lima berselisih faham dengan budak tingkatan enam rendah. Inilah yang menyukarkan perhitungan saya. Akhirnya, saya memilih hendak sama-sama bermain bola keranjang. Ini kerana, Abu dan rakan-rakannya memang memonopoli permainan itu sejak daripada tahun lepas lagi. Abu yang berbadan tinggi lampai itu memang sesuai dengan permainan ini. Dia yang selalu menjadi tunggak harapan dalam pasukannya.

Abu dihormati oleh rakan-rakannya bukan sahaja kerana dia pandai Matematik, dia juga dikagumi di padang kerana handal bermain bola keranjang. Kerana hendak berkawan dengan Abu, saya selalu ke gelanggang pada jam 5.00 petang. Pada mulanya, saya hanya menyaksikan mereka bermain. Saya hanya akan turut serta apabila mereka tidak cukup pemain. Apabila dapat peluang bermain saya akan cuba bermain dengan bersungguh-sungguh supaya dapat terus menjadi ahli kumpulan itu. Sebenarnya saya pernah mewakili sekolah dalam permainan ini semasa di SMK Chenor dahulu. Akhirnya, saya berjaya berbaik-baik dengan Abu Zarim dan rakan-rakanya. Dia sebenarnya tidak tahu saya ada udang di sebalik batu. Sejak itu, saya mendapat seorang lagi kawan untuk mengadu hal terutama apabila berhadapan dengan masalah yang melibatkan mata pelajaran Matematik. Yes, saya berjaya!

Overseas Student Study Group-OSSG

Kadang-kadang semasa prep petang dan malam, saya duduk di dalam kelas Enam Atas Sains. Suasana di dalam kelas itu ada gaya seperti orang hendak ambil periksa. Belajar dalam kelas enam rendah ini banyak cabarannya. Maklumlah, peperiksaan STP hanya akan berlangsung tahun hadapan. Ini bermakna, lebih banyak aktiviti bersembang dilakukan berbanding aktiviti belajar. Bagi mengatasi masalah itu, saya berpakat dengan beberapa orang kawan lalu membentuk kumpulan belajar.
Kumpulan ini dinamakan Overseas Student Study Group atau ringkasnya OSSG. Setiap ahli OSSG perlu bertindak sebagai pakar rujuk. Aris sebagai pakar Kimia, Alwi sebagai pakar Fizik, Mat Karim pakar Biologi, Fauzi pakar Kertas Am dan saya tentulah Matematik. Sebagai tanda kenangan, petang itu kami berlima bergambar di hadapan asrama. Semua ahli OSSG bercita-cita menyambung pelajaran ke luar negara selepas peperiksaan STP nanti. Cita-cita kami hebat-hebat belaka. Mahu tahu cita-cita saya? Pensyarah universiti. Itulah azam saya. Itulah cita-cita saya.

Aktiviti OSSG hanya dapat berjalan selama beberapa minggu sahaja. Selepas itu mulalah sangkut-sangkut. Masalah utama adalah pakar rujuk tidak cukup bersedia hendak menerangkan kepada ahli-ahli kumpulan. Tidak lama kemudian, OSSG dibubarkan tapi ahli-ahlinya masih menjadi rakan karib, sama seperti dahulu juga. Kini saya lebih kerap belajar bersama-sama pelajar senior 6 Atas Sains. Mereka sudah pun menerima saya menjadi rakan study. Ada juga di kalangan mereka yang bertanya saya masalah Matematik. Bukan main seronok lagi apabila dapat menerangkan kepada senior. Di kalangan senior yang karib dengan saya adalah Osman Puteh, Jusoh, Abu, Zul, Mamat dan Daud. Memang untung dapat berkawan dengan senior. Saya dapat belajar banyak perkara daripada mereka.

Kena tangkap dengan Pengetua

Hari pertama penggal ketiga sungguh menyeronokkan. Maklumlah dapat berjumpa kembali dengan kawan-kawan selepas bercuti selama dua minggu. Hari itu, selepas waktu rehat ada mata pelajaran Kertas Am dan dua waktu terakhir ialah Matematik. Kami semua berharap cikgu tidak masuk. Sangkaan kami meleset, cikgu Kamariah J masuk juga. Dia membawa cerita kesan buruk aktiviti pembalakan. Habis dua masa mendengar ceramahnya. Cikgu Kamariah pandai mengolah hujahnya. Semua pelajar tercengang-cengang setiap kali mendengar ceritanya. Cikgu Kamariah memang bijak semasa di sekolah. Beliau dapat biasiswa Collombo Plan bagi melanjutkan pelajaran ke luar negeri. Jangan silap ya, ini cikgu Kamariah Jaafar bukan Kamariah WA yang mengajar mata pelajaran Matematik kelas saya tahun lepas. Walau bagaimanapun, kedua-dua K ini hebat-hebat belaka.

Habis waktu Kertas Am, kini tiba waktu Matematik. Sudah lima minit berlalu tetapi cikgu masih belum masuk. Kami semua mengharapkan supaya cikgu terus tidak masuk. Ada yang mengatakan cikgu Sudarjho masih bercuti di Indonesia. Secara tiba-tiba saya teringat kepada pakaian saya yang direndam di dalam baldi di bilik air asrama. Saya terus mengambil keputusan untuk cabut lari ke asrama hendak membasuh pakaian. Seronok juga membasuh pada waktu-waktu begini kerana saya tidak perlu berebut-rebut dengan sesiapa terutama ketika mahu membilas pakaian yang dibasuh.

Sedang saya asyik membilas pakaian tiba-tiba terdengar suara dari luar, Siapa di dalam bilik air itu? Saya pun membalas, Oi, sayalah! Saya meneruskan kerja membilas pakaian tanpa menoleh ke belakang. Mengapa kamu membasuh kain semasa waktu persekolahan? Suara itu sangat hampir, saya pun menoleh ke belakang, rupa-rupanya Encik Sofian, Pengetua sekolah sedang berdiri di belakang saya. Terkaku saya seketika, tidak dapat menjawab apa-apa kali ini. Kali ini saya jadi seperti raja catur yang sudah terkepung, tidak boleh lari ke mana-mana lagi, habis langkah, kena checkmate. Budak sekarang kata kantoi.

Saya beri masa lima minit kepada kamu untuk tukar pakaian sekolah. Saya tunggu, lepas itu pergi sekolah, Pengetua menyambung kata. Habislah, kena rotanlah hari ini. Saya membayangkan hukuman yang saya akan terima hari ini. Saya segera teringat semasa di SMK Chenor dulu, pernah dua tiga kali kena rotan. Masa tingkatan 4 dapat sekali dan kini apalah pula nasib saya. Belum sampai lima minit saya datang menemui Pengetua yang sedang menunggu di kaki lima asrama. Selepas itu Pengetua mengarahkan saya berjalan terus ke bangunan sekolah. Saya tidak tahu arah mana hendak dituju. Pengetua mengarah-kan saya terus pergi ke kelas 6 Rendah Sains. Untuk sampai ke kelas itu, saya perlu melalui kelas 5 Sains 1 dan 5 Sains 2.

Sambil berjalan saya menoleh ke belakang, rupa-rupanya beliau masih mengekori saya pada jarak dua meter. Bukan main malu rasanya apabila melalui kelas-kelas ini. Ada beberapa orang budak perempuan di dalam kelas itu menutup mulut, agaknya mereka ini mahu ketawa tetapi malu kepada Pengetua. Saya rasa geram, rasa macam mahu cungkil sahaja mata mereka yang ketawakan saya itu. Kali ini saya betul-betul rasa macam banduan yang sedang di-iringi oleh warden penjara.

Apabila sampai di hadapan kelas, saya pun berhenti. Rupa-rupanya di dalam kelas, cikgu Sudarjho sedang meng-ajar Matematik. Pengetua panggil cikgu Sudarjho keluar. Cikgu kena tengok selalu dia ni, jangan bagi dia hilang dari kelas, Pengetua berpesan kepada cikgu Sudarjho. Baiklah, tuan, balas cikgu Sudarjho. Pengetua berpaling ke arah saya pula, Yahya, lain kali jangan buat lagi ya, beliau me-nasihati sambil tangannya menepuk bahu saya.

Terima kasih Tuan Pengetua!

Saya terkejut kerana Pengetua tahu nama saya. Saya tidak sangka Pengetua akan menghukum saya dengan cara begini. Badan tidak sakit tapi kesannya sangat mendalam. Sejak hari itu saya serik, malah saya berjanji kepada diri sendiri selagi Encik Sofian masih menjadi Pengetua tidak akan cuba-cuba hendak ponteng kelas lagi. Lama juga saya terkenang akan peristiwa itu. Saya bersyukur mendapat Pengetua yang rajin lagi bijak seperti Encik Sofian. Saya rasa cikgu Sudarjho tersindir juga. Apa tidaknya, masa saya keluar tadi masa Matematik sudah beberapa minit berlalu. Pandai betul Pengetua main psikologi, sekali gus berjaya menyelesaikan masalah disiplin antara murid dan guru.

Saya betul-betul berterima kasih kepada beliau. Tindakan beliau itu mematikan perangai buruk yang saya baru cuba itu. Katakanlah sekiranya saya tidak tertangkap pada hari itu, mungkin saya lebih berani hendak mengulanginya sekali lagi. Sekiranya itu terjadi, mungkin misi JEJAK MAL yang sedang dilaksanakan hancur di tengah jalan. Inilah kuasa Tuhan, saya masih lagi berpeluang untuk diselamatkan. Memang saya betul-betul insaf dan semangat belajar saya menjadi semakin kuat.

Meneruskan usaha hendak berjaya

Mulai sekarang, saya menetapkan jam 2.30 hingga 4.30 petang setiap hari bagi membuat latihan Matematik. Waktu itu, mata selalu mengantuk. Saya melawan rasa mengantuk itu dengan aktiviti yang saya minati. Saya memang disiplinkan diri supaya waktu yang ditetapkan itu digunakan sepenuhnya. Ada kalanya terlajak hingga 5.30 petang. Sebelah malam saya tumpukan perhatian kepada mata pelajaran Fizik dan Kimia.
Buku teks Matematik yang saya gunakan itu sangat luas sehingga melewati sukatan pelajaran STP. Oleh itu, saya perlu ada sukatan pelajaran. Puas saya cari buku sukatan pelajaran Matematik dan Sains di kedai buku di bandar Kuantan, semua mengatakan buku-buku yang saya inginkan itu sudah habis dijual. Oleh itu, saya mengambil keputusan mendapatkan terus dari University of Cambridge Local Examination Syndicate, London. Saya beli money order dalam mata wang Pound Britsh (), tulis surat dalam Bahasa Inggeris dan kemudian pos. Harap-harap mereka di sana faham apa yang saya tulis kerana Bahasa Inggeris saya sangat teruk, masa SPM tahun lepas saya mendapat enam pening (F9), saya gagal dalam mata pelajaran ini.

Selang dua minggu, saya menerima kiriman dari London. Saya seronok kerana mendapat buku sukatan pelajaran yang saya idam-idamkan. Pernah suatu hari Mr. Poon, guru Kimia sekolah saya meminjam buku ini untuk difotostat. Apabila sudah ada sukatan pelajaran, saya terasa lega kerana saya sudah tahu dengan lebih terperinci sukatan mata pelajaran yang perlu dipelajari, serta tajuk-tajuk yang ada bagi setiap mata pelajaran.

Saya bercadang hendak menghabiskan sukatan pelajaran Matematik Tulen tahun ini juga. Tahun hadapan bagi tempoh enam bulan pertama, saya boleh menumpukan perhatian kepada mata pelajaran Mekanik pula. Bulan Julai hingga November adalah masa ulang kaji. Saya berjaya menghabiskan sukatan mata pelajaran Matematik Tulen seperti yang dirancang. Dalam peperiksaan akhir tahun tingkatan 6 rendah, saya mendapat 70 peratus dalam mata pelajaran Matematik, berkat usaha gigih saya selama ini berserta usaha daripada guru-guru dan doa daripada kedua-dua orang tua saya.

Tingkatan 6 Atas Sains, 1973

Saya melangkah ke tingkatan 6 Atas Sains pada tahun 1973 dengan semangat penuh di dada.  Semasa di tingkatan 6 atas, saya menjadi sangat sibuk. Maklumlah hujung tahun ini saya akan menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan (STP). Cikgu Mahjuddin dari Sulawesi, Indonesia mengajar Matematik, Mr. David Rambellow dari USA mengajar Fizik, Mr. Poon dari Kuala Lumpur, menjadi guru kelas kami dan mengajar mata pelajaran Kimia. Cikgu Abdullah dari Chenor mengajar Kertas Am, cikgu Kamariah dari Temerloh mengajar Bahasa Inggeris dan cikgu Khalil dari Jawa, Indonesia mengajar mata pelajaran Biologi. Walau bagaimanapun, saya tidak mengambil mata pelajaran ini.

Setiap hari jam 3.00 petang hingga 5.00 petang saya khaskan mengulang kaji Matematik. Kali ini masa riadah selalu dikorbankan. Sebelah malam pula selama tiga jam lagi belajar Fizik dan Kimia. Saya sangat menjaga disiplin masa.

Cinta datang dan pergi

Sungguh tidak disangka, dalam sibuk-sibuk belajar jiwa remaja saya tergugat juga. Ramai kawan-kawan sekelas sudah ada makwe. Kebanyakan makwe mereka adalah pelajar yang baru melangkah ke tingkatan empat. Apa lagi, saya pun tumpang sekakilah. Pelajar perempuan yang saya minat itu cantik, putih melepak dan kecil molek orangnya. Cukuplah saya perkenalkan dia sebagai K sahaja. Kami hanya berpeluang berbual masa rehat di kantin sahaja. Itu pun tidak boleh lama kerana saya bertugas sebagai pengawas. Kawan-kawan mengatakan saya memang sepadan dengan K. Apa lagi, semakin bergeloralah jiwa remaja saya. Terlupa sekejap saya kepada JEJAK MAL yang saya perjuangkan selama ini.

Kadang-kadang K ini seperti merpati, susah saya hendak membaca perasaannya. Dia suka membaca novel. Suatu hari, saya pinjam novel yang K selalu baca itu. Ketika membuka muka pertama novel itu, terus saya terbaca tulisan tangan di bahagian dalam kulitnya. Kata-kata semangat berserta tanda tangan dan nama terpampang dengan jelasnya. Tanda tangan itu saya lihat dan saya rasa datangnya daripada seseorang yang sudah cukup matang. Cukuplah saya namakan pemilik tanda tangan itu sebagai MS. Tergugat juga perasaan saya ketika itu. Suatu hari saya bertanya kepada K siapa MS itu? K mengatakan MS adalah guru Matematiknya semasa tingkatan tiga di sekolah lamanya. Saya tidak puas hati dengan maklumat yang diberikan oleh K kepada saya.

Satu hari saya memanggil Zainudin, rakan sekampung dengan K. Saya meminta dia menyiasat apakah kaitan di antara K dengan MS. Saya meminta dia menjadi penyiasat peribadi kerana saya mempercayainya. Selepas pulang bercuti, Zainudin melaporkan hasil risikannya kepada saya. Din beritahu saya bahawa MS memang menjaga K seperti menatang minyak yang penuh semenjak dari tingkatan dua lagi. Din kata, K seolah-olah sudah dipagari oleh MS. Hai, tidak patut betul MS ini. Awal-awal lagi dia sudah booking anak murid sendiri. Sepatutnya, berilah peluang dia melihat dunia dahulu. Hati saya berkata-kata sendiri.

Saya tidak mahu bertarung dengan MS. Ini kerana, saya tahu harapan bagi saya mendampingi K tipis kerana MS sudah lulus maktab perguruan, sudah mempunyai kerja tetap dan ada motor vespa pula. Saya? Masih seorang pelajar yang hanya bergantung pada biasiswa. Hendak belanja orang pun tidak mampu, apa lagi menanggung anak dara orang. Saya dapat rasakan K akan memihak kepada MS. Oleh itu, saya cuba mengelakkan diri daripada bertarung.
Undur setapak ke belakang tidak bermakna saya sudah menyerah kalah. Beberapa hari lamanya saya terpaksa berdepan dengan perasaan yang berkecamuk itu. Rupa-rupanya, pedih juga rasanya apabila kecewa bercinta. Nasib baik masa yang saya ambil bagi menenangkan diri tidak begitu lama. Selepas beberapa hari, saya kembali tenang dan dapat meneruskan semula usaha memburu kejayaan dalam pelajaran terutama Matematik. Saya sudah serik dan berjanji kepada diri sendiri tidak mahu mengulanginya lagi. Saya mahu bereskan pelajaran hingga tamat universiti dahulu. Kemudian baru saya mahu mencari cinta yang sejati.

Saat yang ditunggu-tunggu

Saya bersyukur kepada Tuhan kerana kini, apabila cikgu Mahjuddin mengajar Matematik, saya sudah boleh faham semuanya. Ini kerana, saya sudah tahu serba sedikit perkara yang diterangkannya. Saya sudah bersedia lebih awal dan sudah menjawab beberapa latihan yang mudah sebelum pengajarannya. Pengajaran cikgu Mahjuddin berjaya mengukuhkan lagi kefahaman saya. Selalu juga beliau menyuruh saya menjawab soalan di papan hitam, di depan kawan-kawan kelas saya. Itulah saat yang saya tunggu-tunggu. Semuanya dapat saya selesaikan. Ramai juga kawan-kawan yang bertanya soalan, semua dapat saya terangkan. Saya rasa bertuah kerana bertemu dengan formula belajar paling berkesan. 
1.Buat persediaan awal.
2. Beri tumpuan kepada pengajaran guru.
3. Cuba jawab soalan yang diberikan, sekiranya diminta berbuat demikian.
4. Bantu kawan yang memerlukan.

Selalu juga cikgu Mahjuddin belanja saya waktu rehat. Bolehlah saya minum teh panas dan makan nasi lemak. Pada masa itu, siapa yang dapat minum teh dikira hebatlah.

Makanan tambahan punca bijak?

Pembelajaran kini kurang masalah terutama daripada segi kewangan ini kerana saya mendapat biasiswa Pra Universiti daripada Kementerian Pelajaran sebanyak $55 sebulan. Dengan biasiswa yang saya peroleh inilah saya membeli minyak ikan sebagai makanan tambahan bagi merangsang minda. Memakan minyak ikan bagus untuk kecerdasan otak. Saya menghabiskan satu botol sebulan. Masa hendak telan minyak ikan itu saya kena tutup hidung kerana baunya hanyir. Tetapi, dek kerana hendak cerdas, saya telan juga.

Saya rasa bertuah kerana semua tajuk Geometri seperti bulatan, parabola, hiperbola dan illip dapat dikuasai sepenuhnya. Saya suka menyelesaikan soalan Trigonometri terutama yang melibatkan pembuktian. Ini kerana, saya memahami semua formula Trigonometri yang banyak itu. Saya juga mahir dalam tajuk-tajuk Pembezaan, Pengkamiran, Polinomial, Teorem Baki, Teorem Faktor, Log dan Kebarangkalian.

Saya seronok mengkaji tajuk-tajuk Kaji Daya (Mekanik) kerana ia berkisar kepada objek yang nampak dan boleh dibayangkan. Tajuk Kaji Daya dipecahkan kepada Statik dan Dinamik. Tajuk Statik menjadi mudah difahami sekiranya kita faham konsep keseimbangan daya pada satu titik. Tajuk Dinamik agak mencabar sedikit. Namun, apa-bila menjawab soalan, formula yang sesuai terus sahaja datang seperti air mengalir tanpa tersekat-sekat. Inilah berkat usaha tanpa jemu hampir dua tahun. Diringkaskan cerita, semasa peperiksaan percubaan STP bagi mata pelajaran Matematik, saya memperoleh markah sebanyak 76 peratus bagi kertas 1 dan 77 peratus bagi kertas 2.

Menduduki peperiksaan STP dengan tenang

Peperiksaan yang dinanti-nantikan sudah tiba. Semasa peperiksaan STP berlangsung, saya berjaya menjawabnya dengan tenang. Bagi mata pelajaran Matematik Kertas 1 yang mengandungi 11 soalan, calon perlu menjawab mana-mana lapan soalan. Saya berjaya menjawab soalan-soalan ini tanpa henti. Malahan, saya masih ada masa bagi menyemak jawapan yang saya tuliskan itu. Bagi Kertas 2 pula, saya berjaya menjawab lima soalan daripada Bahagian A dan dua soalan daripada Bahagian B. Ada beberapa pecahan soalan Bahagian A itu yang agak diragui jawapannya terutama soalan berkaitan tajuk Dinamik. Secara ke-seluruhannya, saya sangat berpuas hati dengan kemam-puan saya menjawab soalan. Saya merasakan soalannya lebih mudah berbanding soalan percubaan.

Usaha tangga kejayaan

Tanggal 31 Mac 1974 adalah hari yang sangat mendebarkan. Hari itu keputusan peperiksaan STP diumumkan. Saya sampai ke sekolah tengah hari tetapi tidak nampak rakan-rakan lain yang datang. Saya ada dengar cerita pagi itu mengatakan keputusan STP tahun lepas merosot terutama aliran sastera, tapi dikatakan ada seorang pelajar kelas sains yang mendapat sijil penuh. Saya congak punya congak budak kelas sains itu kemungkinan besar antara saya ataupun Prof. Jam sahaja. Apabila sampai sahaja ke pejabat sekolah terus sahaja cikgu-cikgu yang ada di situ mengucapkan tahniah kepada saya. Saya tergamam apabila melihat keputusan STP. Syukur, saya lulus sijil penuh. Matematik pula jelas tercatat prinsipal A, Kertas 1 dapat gred 1 dan Kertas 2 dapat gred 2.

Tidak lama kemudian, saya dipanggil masuk ke bilik pengetua. Tuan Pengetua SMART mengucapkan tahniah kepada saya. Beliau mengatakan, saya adalah pelajar aliran sains yang pertama di sekolah ini dalam masa tiga tahun yang berjaya mendapat sijil penuh. Oh, bangganya saya apabila mendengar kenyataan itu. Tuan Pengetua bertanya bagaimana saya belajar hingga lulus semua mata pelajaran termasuk Fizik, Kimia, Matematik dan Kertas Am? Beliau seterusnya bertanya, apakah petua menjadi cemerlang dalam mata pelajaran Matematik.
Selepas berbual-bual dengan Pengetua saya memohon diri untuk keluar. Di luar bilik Pengetua, saya ternampak seorang pelajar perempuan sedang berdiri tetapi menghala ke arah lain. Tiba-tiba dia berpaling ke arah saya. Saya terkejut, dia adalah K yang saya sudah lupakan. K meng-ucapkan tahniah kepada saya. Dia kelihatan sungguh gembira dengan kejayaan saya itu. Saya mengucapkan terima kasih kepadanya. Kali ini saya tidak mahu memberi banyak ruang kepadanya. Apa yang terbayang dalam fikiran saya sekarang ialah menara gading.

Saya terpaksa meninggalkan K kerana cikgu Khalil mengajak saya ke kelas Tingkatan 6 Atas Sains. Dia meminta saya memberi nasihat dan menceritakan pengalaman saya kepada pelajar-pelajar tingkatan 6 atas. Semasa berhadapan dengan mereka, saya ternampak seorang pelajar yang bernama Mohamed Maidin, pelajar yang berasal dari Temerloh. Dia sangat meminati mata pelajaran Matematik. Saya berharap dia akan mengikut jejak langkah saya. Saya juga ternampak pelajar perempuan yang ketawakan saya semasa saya ditangkap oleh Tuan Pengetua sebelum ini. Kalau dulu saya terasa macam mahu cungkil sahaja matanya, tapi kali ini mereka memandang saya dan saya nampak mereka ini senyum sahaja kepada saya.
 
Apabila saya keluar dari kelas 6 atas, ramai yang mengerumuni saya. Semuanya gembira dan mengucapkan tahniah. Hari itu saya rasa jadi hero. Saya ingat lagi Mohamad Maidin dan rakan-rakannya menghantar saya ke perhentian bas di luar pagar sekolah. Mereka menemani saya hingga saya menaiki bas. Suatu penghormatan spontan kepada saya daripada mereka.

Khabar gembira daripada seorang anak

Saya mahu pulang segera ke kampung kerana hendak memberi tahu khabar gembira ini kepada emak, ayah, abang long, adik-adik dan saudara mara. Saya tersenyum sendiri membayangkan emak tentu akan gembira sekali lagi apabila mendengar saya mendapat gred A dalam mata pelajaran Matematik.

Saya masih ingat lagi sewaktu perjalanan pulang ke rumah. Untuk sampai ke rumah, perlu berjalan kaki melalui rumah Ayah Talib. Ayah Talib adalah ayah kepada Mat Pilus, kawan saya yang membawa radio semasa kerja bertukang rumah di Chenor dahulu. Saya nampak ayah dan beberapa orang rakannya berada di bumbung rumah Ayah Talib. Mereka sedang memasang atap rumah. Itulah pekerjaannya ayah. Pagi menoreh getah dan sebelah petang bertukang rumah. Saya sedar ayah memang kuat bekerja. Malah, kerja yang tidak tentu hasilnya seperti memancing ikan dan menyuluh di hutan memang tidak pernah saya nampak. Sebab itulah agaknya saya juga tidak suka memancing. Saya terus memanggil ayah supaya turun. Nampaknya ayah bergegas turun. Saya terus menceritakan kepadanya bahawa saya lulus sijil penuh dan Matematik mendapat gred A.
Saya nampak kegembiraan di wajah ayah. Bukan senang ayah hendak menunjukkan muka yang gembira. Ini kerana, dia adalah seorang yang sangat serius. Saya masih ingat lagi malam itu, beberapa ekor ayam dalam reban menjadi korban. Adik-adik saya tumpang gembira malam itu kerana kami semua makan nasi lauk ayam kampung.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024