Artikel

Melindungi Hak Cipta Penulis.

oleh Helmi pada 11 May 2004

Hak cipta adalah sejenis harta, oleh itu pemilikannya dilindungi oleh undang-undang negara ini. Di bawah Akta Hak cipta sekarang, seseorang yang mempunyai bukti hak ciptanya dicuri oleh pihak lain boleh membuat aduan polis, sama seperti hal lain-lain jenis kecurian.

Kerajaan sekarang kuat berusaha membanteras jenayah pelanggaran hak cipta. Yang paling menonjol ialah kes VCD haram. Selain itu usaha membanteras pelanggaran hak cipta perisian komputer juga diusahakan.

Satu lagi jenis pelanggaran hak cipta adalah melibatkan hasil penulisan dan penterjemahan bahan-bahan bertulis. Pelanggaran hak cipta yang melibatkan kedua-dua jenis harta intelektual ini banyak berlaku yang melibatkan bahan-bahan agama.

Undang-undang hak cipta bukanlah sukar difahami. Beberapa jenis perbuatan pelanggaran hak cipta adalah begitu nyata, tetapi banyak penerbit dan penulis buku-buku agama di negara ini tidak mempedulikannya.

Pencurian hak cipta paling banyak melibatkan karya-karya agama yang pada asalnya diterbitkan di dalam bahasa Melayu di negara jiran. Beberapa waktu yang lalu karya-karya terjemahan kitab-kitab agama yang berjilid-jilid tebalnya dicetak rompak dan dijual dengan meluasnya di negara ini. Perompakan itu dibuat oleh penerbit di sebuah negara jiran lain lalu dieksport ke negara ini.

Kitab-kitab Al-Ihya karya Imam Ghazali dan Riadhus Salahin oleh Imam Nawawi hanyalah dua contoh sahaja daripada begitu banyak karya-karya terjemahan yang diusahakan oleh ulama-ulama negara jiran yang pernah dicetak rompak dan dijual di negara kita oleh penerbit-penerbit yang tidak memiliki izin penerbitannya. Boleh dikatakan semua karya terjemahan kitab-kitab penting yang dilakukan di negara jiran kita itu pernah dicetak rompak dan diedarkan dalam pasaran kita.

Berikutan daya usaha penerbit-penerbit asal karya-karya terjemahan itu bagi menjejaki mereka yang mencetak rompak kitab-kitab itu, keadaan kini sudah bertambah baik. Mereka sudah membuat perjanjian lesen menerbitkan semula karya-karya tersebut dengan cara-cara yang teratur.

Tetapi ada sejenis lagi pelanggaran hak cipta yang masih berleluasa dilakukan sampai hari ini. Majoriti ia melibatkan penerbitan buku-buku agama kategori sederhana dan kecil yang dijual pada harga antara RM3.00 hingga RM15.00.

Di kalangan para penulis buku-buku agama, ada segolongan yang ‘menyusun semula’ bahagian-bahagian yang dicedok mentah-mentah daripada buku-buku orang lain tanpa izin, lalu diterbitkan sebagai bukunya sendiri tanpa menulis semula menggunakan gaya bahasanya sendiri.

Pelanggaran hak cipta buku-buku agama sudah diamalkan sejak lama. Kini sesudah Malaysia menganggotai Konvensyen Berne, amalan ini masih berterusan.Semua negara yang menandatangani Konvensyen Berne saling melindungi hak cipta warganegara satu sama lain di negara masing-masing. Sebagai contoh kerajaan Malaysia melindungi hak cipta warganegara Amerika di negara ini dan begitu juga sebaliknya.

Tidak semua negara sudah menandatangani Konvensyen Berne. Indonesia ialah salah satu contoh negara yang belum menandatanganinya. Oleh hal yang demikian kerajaan Malaysia tidak tertakluk melindungi hak cipta buku-buku Indonesia sekiranya ia dicetak rompak dan dijual di negara ini. Alasan ini sering dijadikan alasan oleh mereka yang melanggar hak cipta buku-buku agama yang diusahakan oleh warganegara Indonesia.

Pihak kerajaan banyak mengambil langkah-langkah memerangi pelanggaran hak cipta bagi karya seni dan program komputer, tetapi tidak ada sebarang langkah dibuat bagi memerangi pelanggaran hak cipta buku. Pihak-pihak yang mentadbirkan hal-hal agama pun tidak berbuat sebarang kempen penerangan bagi menyedarkan masyarakat, terutama para penerbit dan penulis buku-buku agama.

Pelanggaran hak cipta paling meluas berlaku dalam buku-buku panduan-panduan ibadat asas. Buku-buku itu lazimnya kecil-kecil dan dijual di merata tempat. Sebahagian daripada buku-buku kecil itu tidak mempunyai nama penulisnya, ini pun salah satu tanda ada sesuatu yang tidak betul pada buku-buku tanpa pengarang seperti itu.

Tanpa mengambil kira keanggotaan Konvensyen Berne, Dari segi moral, apabila seseorang itu melanggar hak cipta orang lain, ia adalah perbuatan mencuri. Perbuatan membeli dan menyimpan buku-buku yang hak ciptanya dicuri itu tetap salah daripada segi moralnya.

Hak cipta sesebuah buku boleh jadi dimiliki oleh seseorang individu ataupun organisasi. Dari segi teorinya, hak cipta al-Quran adalah dimiliki oleh Allah SWT, oleh itu sesiapa sahaja boleh menerbitkan al-Quran tanpa perlu mendapatkan izin terlebih dahulu daripada Allah ataupun membayar royalti kepadaNya.

Hujah ini menjadi pegangan pihak-pihak yang mencetak semula tanpa mendapatkan izin, sebahagian ataupun seluruh al-Quran, sama ada yang diambil daripada naskhah bercetak ataupun daripada CD dan internet, yang hak miliknya ada pada pihak lain.

Pada naskhah Al-Quran, terdapat empat jenis hak cipta. Pertama ialah hak cipta ‘pengarang asal’ iaitu terletak pada Allah SWT. Kedua ialah hak cipta penulis khat naskhah Al-Quran itu, yang dimiliki oleh individu ataupun organisasi. Apabila seseorang itu menggunakan tulisan khat milik pihak lain tanpa izin, maka dia melanggar hak cipta si pemilik.

Bagi naskhah Al-Quran yang disertakan terjemahannya, ada hak cipta ketiga iaitu hak cipta ke atas terjemahan tersebut. Perbuatan menggunakan tanpa izin terjemahan yang dihasilkan oleh orang lain adalah melanggar undang-undang hak cipta.

Hak cipta keempat terletak pada seni susun-letak khat dan hiasan naskhah Al-Quran itu. Apabila seseorang itu menyalin semula susun-letak khat dan hiasan pada naskhah asal, maka dia juga melanggar hak cipta.

Mengikut teorinya, hak cipta ke atas hadith-hadith Rasulullah adalah pada baginda. Oleh itu mengikut teorinya seseorang itu tidak boleh mengumpulkan dan menerbitkan kumpulan hadith-hadith itu tanpa izin baginda.

Mengikut Akta Hak cipta mana-mana negara, hak milik ke atas hak cipta karya mempunyai tempohnya. Di sesetengah negara, tempoh itu ialah sehingga 25 tahun ataupun 50 tahun selepas pengarangnya meninggal dunia. Selepas tamat tempoh itu karya tersebut menjadi harta awam, dan sesiapa sahaja boleh menerbitkan karya itu tanpa memerlukan izin.

Perkara ini juga sering digunakan sebagai alasan untuk mencetak rompak karya-karya yang pengarangnya sudah beratus tahun meninggal dunia, seperti Imam Ghazali ataupun Imam Nawawi.

Walaupun karya imam-imam itu sudah menjadi harta awam, tetapi hak ke atas terjemahan karya-karya itu berada pada penterjemah ataupun organisasi yang memilikinya. Oleh hal yang demikian seseorang itu tidak boleh menyalin semula terjemahan itu dan menerbitkannya semula tanpa izin.

Sesetengah penulis ataupun penterjemah mungkin mewakafkan karya mereka. Tetapi ia bukan lesen untuk para penulis lain ataupun penterjemah ‘menggunakan’ hasil karya karya-karya orang lain dan memberikan gambaran seolah-olah bahagian-bahagian yang mereka ambil itu adalah hasil karya asli mereka sendiri. Ini berlaku apabila penulis tidak memberi pengiktirafan kepada penulis ataupun penterjemah asal di dalam buku mereka itu.

Saya belum berjumpa mana-mana penulis buku agama tempatan yang dengan jelas memberikan sumber terjemahan yang mereka gunakan apabila mereka memetik terjemahan ayat-ayat Al-Quran ataupun Hadith. Perbuatan ini adalah melanggar etika kerana penulis-penulis itu menggunakan terjemahan-terjemahan itu bagi aktiviti yang membawa pulangan ekonomi kepada dirinya, iaitu mereka menerima royalti mahupun honorarium daripada karya orang lain.

Suatu hal yang tidak sepatutnya berlaku ialah apabila penulis-penulis itu adalah mereka yang fasih bahasa Arab. Mereka tidak menterjemahkan sendiri ayat-ayat suci dan hadith yang mereka gunakan dalam karya mereka, sebaliknya mereka menggunakan terjemahan orang lain tanpa memberi pengiktirafan.

Jikalau mahu dikira berapa besar nilai kewangan bagi bahan-bahan agama yang diterbitkan dengan cara-cara yang melanggar hak cipta orang lain, barangkali ia boleh mencecah angka jutaan setahun.

Ini kerana, sektor buku bacaan umum yang paling besar di negara ini ialah sektor buku-buku agama Islam. Di Amerika sekali pun, sektor buku agama Kristian adalah sektor terbesar.

Jangan tidak tahu, saiz pasaran buku agama yang begitu besar menyebabkan terdapat usahawan Cina bukan Islam yang aktif menerbitkan buku-buku agama, terutama buku agama untuk kanak-kanak peringkat sekolah rendah, malah ada di antara mereka sudah cuba memasuki pasaran kitab Yasin sekali pun.

Tanpa disedari, ramai ibu bapa membeli dan menggunakan buku-buku cerita-cerita agama bergambar yang diterbitkan oleh penerbit-penerbit bukan Islam.

Penerbit-penerbit bukan Islam itu mempunyai modal besar, oleh itu mereka mampu mencetak berpuluh-puluh ribu naskhah bagi setiap judul setiap tahun dengan harga yang lebih rendah. Dari satu segi, ini menguntungkan ibu bapa Islam kerana mereka mampu membeli buku-buku itu untuk anak-anak mereka.

Begitu besarnya sektor buku agama sehingga semua rangkaian supermarket buku terbesar di negara ini sudah membuka rak-rak buku agama Islam, suatu hal yang memeranjatkan komuniti buku negara ini. Sehingga baru-baru ini, kedai-kedai buku berprestij itu takkan mahu menjual buku dalam bahasa Melayu, apatah lagi buku agama Islam, tetapi hari ini sangat berbeza.

Sebuah supermarket buku paling besar sudah melantik seorang eksekutif khas bagi menguruskan jualan buku-buku Bahasa Melayu.

Begitu juga, ramai orang menyangka buku-buku agama hanya dibeli oleh mereka yang berpendapatan rendah oleh itu buku-buku agama terpaksa dijual murah. Tetapi penerbit buku agama yang paling besar sekarang adalah sebuah penerbit buku agama yang hanya menerbitkan buku edisi kulit tebal yang mahal.

Siapakah penulis agama yang paling laris karyanya di negara ini? Imam-imam terkenal seperti al-Ghazali dan Nawawi melalui karya-karya mereka yang diterjemahkan ke dalam bahasa Indonesia dan dicetak semula di Singapura lalu dieksport ke Malaysia.

Lapan puluh peratus wang yang dibelanjakan oleh orang Islam negara kita bagi membeli buku-buku agama adalah bagi membeli karya-karya tokoh silam yang diterjemahkan oleh ulama-ulama Indonesia. Kitab-kitab terjemahan Indonesia itu diterbitkan juga dalam edisi kulit tebal dan cantik, khusus untuk pasaran kelas menengah Melayu yang berwang. Cita rasa golongan itu mahukan buku-buku yang berimej ‘kualiti’ supaya cantik apabila disusun sebagai sebahagian daripada dekor rumah mereka.

Tetapi fokus penerbit buku agama dalam negara ini menerbitkan buku-buku agama edisi murah dan nipis-nipis hanya bagi memenuhi salah satu sektor pasaran buku agama iaitu sektor ‘buku pasar malam’. Namun sektor pasar malam ini sektor yang besar juga. Hanya Dewan Bahasa dan Pustaka yang selama ini mampu menerbitkan buku-buku agama yang besar-besar.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (198801006125) © 2000 - 2025