Artikel

Mematuhi Syariah - Prinsip utama penerbitan buku PTS

oleh Masliza Nawi pada 12 Mar 2012

Baru-baru ini industri buku kecoh dengan penerbitan novel-novel yang mengandungi elemen-elemen ‘tidak baik’ yang dikatakan berleluasa di pasaran. Penerbitan novel-novel ini seakan tiada pemantauan daripada pihak berwajib.

Penerbitan buku-buku seperti ini akan memberi satu perspektif yang negatif buat ibu bapa yang membelanjakan wang mereka dalam menyediakan bahan bacaan untuk anak-anak mereka. Namun, sebenarnya, ibu bapa mahupun golongan remaja masih banyak alternatif dalam memilih jenis bahan bacaan. Antaranya adalah buku-buku terbitan PTS sendiri.

Prinsip Penerbitan PTS sangat jelas dalam menerbitkan buku iaitu mematuhi hukum syariah dan menggunakan Bahasa Melayu Tinggi. Prinsip ini disokong penuh oleh Ketua Unit PTS One iaitu Puan Mazlia Murat dalam kenyataannya memaklumkan penggunaan Bahasa Melayu standard dititik beratkan kerana pembaca utama PTS One adalah pelajar. Selain itu PTS One berusaha memastikan produk yang diterbitkan tidak melanggar syariah Islam dan mempunyai nilai moral.

Turut bersetuju dengan pendapat ini ialah Ketua Unit PTS Litera Utama, Cik Puan Haryani Kamilan. Beliau mengatakan bahawa PTS Litera terbuka dalam pemilihan tema penulisan mengikut kreativiti penulis, asalkan ianya mematuhi syariah, menjaga kualiti gaya bahasa dan olahan, menggunakan Bahasa Melayu Tinggi dan berpegang pada prinsip memandaikan bangsa. Antara kategori novel yang diterbitkan dibawah PTS novel adalah novel sejarah islam, i-novella, novel tauhid, Syok, novella dan novel terjemahan.

Komitmen mematuhi prinsip ini turut diperkuatkan dengan jaminan yang diberikan oleh Pengurus Besar Editorial PTS, Tuan Ikram Wazir. Beliau akan memastikan setiap karya yang diterbitkan dari pihaknya tiada mengandungi elemen-elemen lucah. Beliau menambah, PTS adalah penerbit novel Bahasa Melayu yang menggunakan Bahasa Melayu Tinggi dan patuh syariah sebagai komponen utama.

Katanya lagi, kedua-dua ini teras kepada usaha kami bagi memandaikan bangsa menggunakan wahana novel. Kami memberi jaminan sepenuhnya yang mana novel terbitan PTS akan terus mendukung nilai-nilai agama dan dipersembahkan dengan bahasa yang seseuai untuk pembaca.

Konklusinya, pendukung tenaga kerja PTS akan sentiasa memastikan buku-buku yang diterbitkan oleh mereka mesti mematuhi prinisp utama ini iaitu mempunyai ciri-ciri memandaikan bangsa, mematuhi hukum syariah dan menggunakan Bahasa Melayu Tinggi (BMT). 

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024