Artikel

Membina Minda Strategis

oleh Helmi pada 05 Sep 2004

Saya percaya saudara tahu hakikat ‘jika saudara gagal untuk merancang, saudara sebenarnya merancang untuk gagal.’ Kata-kata itu banyak tertulis di dinding sekolah atau pejabat kerajaan dan swasta. Bayangkan saudara hendak ke pusat bandar Kuala Lumpur. Saudara ingin mengelak kesesakan jalan raya dengan melalui jalan yang agak jauh dan sampai dengan cepat berbanding melalui jalan yang dekat tetapi penuh dengan kesesakan dan lampu isyarat. Itu adalah contoh aplikasi strategi dalam aktiviti seharian saudara.

Pada asasnya, membina minda strategis bermula dengan menyelesaikan masalah yang kecil. Ia sebenarnya memupuk pemikiran kritis dengan mengambil kira banyak perkara dan digabungkan menjadi satu set perbuatan dalam usaha mencapai tujuan yang dikehendaki. Kenichi Ohmae dalam The Mind Of The Strategist menulis, ahli strategi bukan hanya merancang secara strategi menggunakan statistik, tetapi juga melalui ikatan emosi dan intuisi atau gerak hati.

Strategi adalah formula dan perlaksanaan daripada set perbuatan yang menyeluruh dan berjangka panjang. Strategi memberi bentuk kepada idea dan paradigma utama organisasi. Seseorang pemimpin dilihat berkarisma apabila dia berfikir dan memimpin secara strategik. Berfikir secara strategik berkaitan dengan aplikasi kreativiti. Dr. Mahathir mentadbir Malaysia dengan melaksanakan perancangan strategik sehingga Malaysia muncul sebagai negara dunia ketiga yang terkedepan. Bermula daripada pembangunan sosial, pendidikan sehingga kepada perkembangan sukan air, beliau menghubung jalinkan wawasan besar dengan perancangan strategi yang berkesan.

Mengapa Strategi Penting?

Sayidina Ali pernah berpesan, “Kebatilan yang terancang dapat mengalahkan kebenaran yang tidak terancang.” Pada zaman ini, strategi adalah segala-galanya. Kejayaan Amerika menceroboh Iraq adalah hasil strategi yang halus dan berjangka panjang. Benarlah seperti pesanan yang mengatakan bukan soal kebenaran ataupun kebatilan, tetapi persoalan adakah anda memiliki strategi yang lebih baik ataupun tidak.

John Van Maurik dalam The Effective Strategists menegaskan, menjadi ketua yang memiliki pendekatan strategik adalah kemestian bagi membina organisasi mapan. Tanpa pemikiran strategik, pemimpin seperti pengemudi kapal yang memiliki segala peralatan tetapi tidak tahu bagaimana melawan ombak yang berubah-ubah. Membina karisma bermakna membina empayar organisasi saudara. Pemimpin dilihat berkarisma apabila dia mampu merancang kemajuan organisasi secara strategik. Apabila menyebut strategi, saudara mungkin terfikir strategi perang ataupun perisikan. Strategi hari lebih daripada itu. Sehinggakan melaksanakan perkara kecil pun memerlukan strategi.

Mengimbangi Minda Strategi dan Integriti

Menjadi seorang strategis tidak bermakna seseorang perlu mengetepikan soal moral dan integriti. Bahkan orang yang bermoral teguh atas perjuangan juga antara mereka yang merancang survival organisasi secara strategik. Mereka memahami sifat setiap komponen masalah, tujuan ataupun sasaran. Pengurusan hati yang mapan dapat membantu mereka sampai kepada satu keputusan yang tepat. Hati diisi dengan intuisi yang kuat. Mereka memohon panduan dan arah tuju daripada Tuhan setiap malam. Jika mereka dalam keadaan kusut keputusan mana yang hendak diambil, mereka sujud meminta panduan. Manakah lagi perancangan yang lebih baik daripada perancangan Allah SWT?

Wawasan dan Strategi

Seorang pemimpin berwawasan pasti mencari jalan merealisasikan wawasannya. Maka dengan strategi yang berkesan, beliau dapat menukar wawasannya menjadi suatu kenyataan. Wawasan menurut Jonathan Swift adalah seni melihat sesuatu yang tidak dapat dilihat. “Lihat perkara yang tidak boleh dilihat dan saudara akan mencapai perkara yang pada orang lain adalah mustahil.” Pemimpin perlukan koreksi atau masa bagi membetulkan kesilapan dan ketenangan untuk membuat keputusan yang strategik dalam membina organisasi yang karismatik. Ahli strategis begitu realistik dengan mencari isu-isu yang sebenar. Ada sesetengah perkara yang tidak dapat diselesaikan hanya dengan bekerja lebih kuat dan menggunakan perbelanjaan yang lebih besar. Pemimpin yang memiliki minda strategis tahu jawapan lebih berperanan daripada menaikkan perbelanjaan dalam usaha menyelesaikan masalah.

Memupuk Minda Strategis

Lihat dengan cara berbeza
Promod Batra berkata, “Saudara tidak boleh melakukan suatu perkara dengan cara yang berbeza, sehingga saudara melihat perkara itu dengan cara yang berbeza.” Ramai tidak mampu merancang dengan baik kerana terdapat halangan berfikir dengan terang dan jelas. Dalam kursus membina karisma, peserta diberikan gambar kek yang diambil dari pemandangan atas. Mereka diarah memotong kek itu dengan tiga potongan sahaja tetapi mendapat lapan bahagian yang sama. Selagi peserta melihat kek itu daripada sudut atas, selagi itulah mereka tidak akan mendapat jawapannya. Sebaliknya, apabila mereka melihat daripada sudut sisi maka peserta dapat memotong kek itu daripada tepi satu potongan dan dua potongan daripada sudut atas.

Mendefinisikan masalah
Mendefinisikan masalah adalah proses yang penting. Kita mencipta persepsi sendiri mengenai sesuatu masalah. Mungkin anda melihat masalah itu sebagai terlalu me-runcing. Tetapi orang lain melihat masalah itu sebagai biasa sahaja. Dengan mendefinisikan masalah dengan persetujuan ramai, maka barulah organisasi merangka strategi. Jika organisasi gagal mendefinisikan masalah, ada kemungkinan strategi akan tersasar dan gagal.

Kenal pasti keadaan semasa
Steve Job mencipta komputer Apple iMac yang berbeza dengan mana-mana komputer peribadi. Dengan mengenal pasti keadaan semasa, dia memenuhi cita rasa pelanggan yang mahukan komputer yang mempunyai nilai seni. Komputer keluaran Apple mendapat anugerah reka bentuk yang kini dipamerkan di Museum Fine Art New York.

Seimbangkan antara nilai organisasi dengan keadaan semasa
Nilai organisasi adalah suatu yang tidak boleh diubah. Oleh itu, untuk merancang strategi ianya perlu sesuai dengan nilai organisasi. Dengan berfikir pada pendekatan dan sasaran baru, ia dapat menyumbang kepada kreativiti.
Sumber tenaga
Melaksanakan strategi memerlukan sumber manusia, jaringan dan peralatannya seperti sokongan kewangan. Jika kita memiliki rancangan strategi yang baik tanpa mengambil kira kekuatan sumber tenaga, ia tidak membuahkan hasil.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024