Artikel

Menjadi Individu yang Menarik

oleh Helmi pada 05 Sep 2004

Ramai orang yang ingin menjadi seorang yang menarik. Mereka membelanjakan wang mereka dengan membeli baju yang cantik untuk kelihatan menarik. Sebenarnya, terdapat dua jenis kecantikan dan ketampanan. Pertama, mereka yang cantik dan tampan secara fizikal. Mereka selalunya orang yang tinggi, berkulit cerah, hidungnya mancung dan lain-lain lagi kecantikan luaran. Kedua, mereka yang cantik dan tampan daripada segi sosial. Mereka tidaklah setampan dan secantik golongan yang pertama. Namun, kecantikan mereka dalam perhubungan dengan manusia dan peribadinya yang menarik menjadikan golongan yang kedua ini lebih diterima sebagai seorang yang menarik.

Dalam suatu jamuan teh, saudara sedar kehadiran seseorang individu yang sangat menarik. Saudara pergi mendekati individu itu dan mulakan perbualan. Tapi, malangnya dia seorang yang membosankan untuk dijadikan rakan berbual. Rupanya kecantikan penampilan tidak bermakna cantik segala-galanya. Ramai orang yang pergi ke gim untuk menjaga kesihatan. Lebih daripada itu, ia bertujuan menjadikan mereka lebih cantik dan menarik. Selain daripada itu, banyak produk melangsingkan badan di pasaran. Mereka mengambil produk itu untuk kesihatan dan juga impian dilihat lebih cantik dan menarik.

Ramai orang yang mementingkan fesyen pakaian, rambut dan lain-lain aksesori tambahan. Lebih hebat lagi, ada orang yang menjalani pembedahan plastik bagi mendapatkan bentuk bahagian badan tertentu supaya kelihatan menarik. Mereka menghabiskan wang dengan banyak bagi tujuan-tujuan itu. Apabila seseorang memiliki penampilan fizikal yang menarik tetapi begitu negatif, membosankan dan berfikir secara tertutup, mereka menjadi orang biasa sahaja.

Satu lagi faktor yang menyebabkan orang dianggap menarik apabila mereka melakukan sesuatu yang luar biasa. Saudara mungkin pergi menjelajah ke bulan untuk menjadi orang yang menarik. Saudara mungkin jatuh cinta dengan Siti Nurhaliza untuk menjadi lebih menarik. Saudara boleh berbasikal menjelajah mengelilingi dunia untuk jadi orang yang menarik atau tidur dengan ribuan kala jengking dalam usaha memecahkan rekod dunia untuk menjadi orang yang menarik. Jika saudara ingin melakukan perkara seperti itu, ia terserah kepada diri saudara. Tetapi, hakikatnya saudara dapat menjadi orang yang menarik dengan melakukan perkara yang biasa sahaja.

Saya ada pengalaman menemui ramai wanita yang secara umumnya tidaklah dikategorikan sebagai cantik atau jelita. Tetapi mereka memiliki kecantikan tersendiri yang terhimpun dari sifat sopan santun, pemalu dan pandai mengambil hati orang lain. Seorang rakan saya, Rizal dilihat begitu menarik di kalangan rakan-rakan. Apabila keluar makan atau bersembang-sembang, dialah orang yang pandai berbincang daripada pelbagai sudut perbincangan. Daripada seekor anjing sehinggalah kepada masalah antarabangsa, dia memiliki maklumat yang menarik yang menyebabkan dia sendiri menarik untuk didekati.

Menjadi orang yang menarik atau tampan dalam bersosial dapat direalisasikan melalui kemahiran mempelbagaikan topik perbincangan. Apabila saudara diminta bercakap berkenaan ‘katak’ atau apa-apa sahaja kenyataan berkaitan katak, contoh perbualan yang mungkin berkaitan dengannya adalah kisah katak yang menjelma menjadi jejaka tampan ataupun racun berbahaya daripada air liur katak.


Jangan Suka Berdebat

Saudara tidak perlu memenangi perdebatan untuk menjadi seorang yang menarik. Bahkan dengan banyak berdebat, ia menyebabkan saudara menjadi kurang menarik daripada segi perhubungan dan interaksi sosial. Sekali saudara menang berdebat dengan seseorang, saudara kehilangan seorang kawan. Apa yang menarik pada orang yang suka berdebat adalah mereka membincangkan sesuatu yang tidaklah begitu penting. Ada orang yang bertengkar pasukan mana lebih kuat antara Manchester United dan Liverpool.

Menerima Diri Sendiri

Saudara tidak dapat menjadi seorang yang menarik selagi saudara tidak suka pada diri sendiri. Orang yang menarik secara sosialnya suka kepada diri mereka sendiri. Seorang pelajar wanita ingin menjadi pengacara rancangan televisyen berkata, “Saya tidaklah cantik sangat, tapi tidak mengapa.” Dia menerima dirinya seadanya dan lebih menumpukan kepada cita-citanya.

Membina Impresi Pertama yang Menakjubkan

Impresi pertama adalah reaksi dan perasaan kita ke atas sesuatu ataupun seseorang. Kita membina reaksi impresi pertama secara visual dan emosi. Selalunya peraturan pada impresi pertama tidak benar dan tidak adil. Saudara mungkin merasa suka ataupun tidak pada seseorang walaupun saudara tidak pernah kenal dan tidak pernah berjumpa sebelum ini dengan orang itu.

Namun, mungkin orang itu sudah membina impresi pertama yang membuatkan saudara suka ataupun tidak kepadanya, mungkin cara dia senyum ataupun gerak jalan yang menyebabkan saudara tertarik kepadanya. Jadi, walau apa pun orang fikir berkenaan impresi pertama, ia amat penting dalam membina karisma. Pemimpin yang berkarisma amat mahir dalam membina impresi pertama yang cemerlang walaupun ianya tidaklah segala-galanya, tetapi ia banyak membantu dalam memberikan permulaan yang baik.

Jika saudara hendak pergi ke Kuala Lumpur menggunakan Putra LRT, ketika membeli tiket saudara melihat seorang lelaki. Saudara mengikut dia sehingga ke perhentian KLCC. Apabila keluar dari LRT, saudara sudah mencipta impresi pertama berkenaan lelaki itu. Walaupun impresi pertama selalunya tidaklah menggambarkan peribadi sebenar individu itu, tetapi ia amat penting dalam memulakan suatu perhubungan. Seorang rakan mengadu berkenaan respons orang lain kepadanya. Orang lain berkata, “Kami baru tahu yang saudara seorang yang kelakar dan bersahaja, tapi sebelum ini kami anggap saudara seorang yang sombong dan tidak bergaul dengan orang lain.” Jika saudara menghadapi keadaan yang sama seperti rakan saya itu, saudara perlu memperbaiki impresi pertama saudara.

Tips-tips Membina Impresi Pertama

Senyum
Senyuman saudara yang paling ikhlas adalah hadiah terbaik kepada orang lain. Senyuman adalah percuma dan saudara kelihatan menarik dan dapat membina impresi pertama yang menakjubkan. Apa guna saudara menggunakan alat solek, pakaian yang mahal dan berfesyen, tetapi gagal melakukan perkara yang paling mudah iaitu senyum.

Panggil nama individu
Tiada lagi perkataan yang paling enak didengar oleh seseorang selain daripada nama mereka sendiri. Jika saudara pergi ke pejabat kerajaan untuk apa-apa urusan, perkara pertama yang perlu saudara buat adalah melihat tanda nama pegawai yang bertugas. Bayangkan nama saudara dipanggil, “Selamat pagi, Encik Azam.” Mereka menghargai saudara semata-mata memanggil nama mereka. Semudah itu! Inilah teknik yang digunakan oleh pemimpin besar. Mereka cepat ingat nama pengikutnya. Mereka mengail pengikutnya menggunakan nama sebenar seperti saudara Nazrul atau saudari Nurul. Betapa senangnya hati orang bawahan apabila mereka dipanggil dengan nama yang ibu bapa mereka berikan. Kerana itu, tidak hairanlah jika pemimpin yang berkarisma begitu terkesan pada hati pengikutnya walaupun mereka hanya bertemu beberapa kali sahaja dalam masa beberapa tahun.

Bahasa badan
Bab memahami bahasa badan membincangkan kuasa yang diperoleh daripada memahami gerak-geri diri saudara dan orang lain.  Saudara boleh membina impresi pertama dengan menggunakan gerak badan yang positif dan melambangkan ketokohan diri saudara.
Kenal pasti khalayak
Membina impresi yang menakjubkan berbeza mengikut siapakah orang yang kita temui. Saudara tidak membina impresi pertama yang baik jika saudara pergi ke kawasan kampung dengan pakaian yang dipakai di bilik persidangan. Dr. Mahathir begitu teliti daripada segi pemakaian diri beliau. Beliau memakai baju Melayu yang berwarna pudar dan samping tenun corak kain pelekat apabila bertemu orang di kawasan pedalaman.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024