Artikel

Membina Pasukan

oleh Helmi pada 05 Sep 2004

Selepas membina kredibiliti, pemimpin berkarisma dapat membina pasukan yang kuat. Banyak organisasi perniagaan yang bermula kecil-kecilan. Starbucks bermula hanya dengan sebuah warung kecil di bandar Seattle. Microsoft hanya memiliki 15 pekerja pada tahun 1981. Dua puluh tahun kemudian, mereka menjadi gergasi perisian dunia. Bill Gates mengakui, dia sendiri kagum dengan perkembangan Microsoft. Mereka membina pasukan yang kuat untuk muncul menjadi gergasi.

Kemahiran membina pasukan begitu penting kepada pemimpin berkarisma. Dalam Wisdom of Team, Katzenbach mengatakan membina pasukan menjadi penting atas sebab melengkapkan kemahiran dan pengalaman. Jika saudara memimpin organisasi yang berkembang, keperluan membina pasukan lebih besar. Apabila fungsi-fungsi dalam organisasi menjadi pelbagai, setiap individu dalam organisasi harus menjalankan fungsi yang tersendiri dan saling bergantung antara satu dengan yang lain.

Dalam membina pasukan, pemimpin perlu bertindak sebagai ahli dalam pasukan dan bukannya diterima sebagai pemimpin. Jika pemimpin diterima sebagai ahli pasukan, komunikasi antara ahli lebih mudah dan berkesan. Sebaliknya apabila saudara dianggap sebagai pemimpin, saudara sebenarnya membina halangan komunikasi dengan ahli-ahli pasukan.


Mengapa Pasukan Penting

Hanya kambing biri-biri yang berseorangan sahaja yang akan dimakan oleh serigala. Biri-biri dalam kumpulan kelihatan ramai dan mereka selamat daripada serigala. Franklin Covey menulis, Tiada yang boleh menghabiskan hidangan bufet sendiri. Membina pasukan adalah bertujuan untuk sama-sama menghabiskan hidangan bufet itu. Kita perlu mengakui dalam melaksanakan sesuatu, kita tidak mampu melakukannya seorang. Kita memerlukan orang lain membantu dalam melaksanakan sesuatu. Oleh itu, membina pasukan dengan objektif yang jelas dapat melaksanakan tujuan sesebuah organisasi. Apabila pemimpin gagal melihat kepentingan membina pasukan yang kuat, arah tuju organisasi menjadi tidak menentu.

Tips-tips Membina Pasukan

Membina nilai dalam pasukan
Selalu kita menggunakan istilah dream team atau pasukan impian, tetapi kita tidak berkata nilai apa yang dibawa oleh pasukan impian itu. Karisma dalam kepimpinan menuntut pemimpin membina nilai impian kepada pasukannya terlebih dahulu dalam The Book of Virtues, William Bennett menegaskan bagi membina nilai impian ia mesti dizahirkan kepada orang di dalam lingkungannya. Jika bapa menggariskan panduan yang boleh dilakukan dan yang tidak, ia mesti disampaikan kepada anak dengan jelas. Tetapi nilainya mestilah harmoni dengan perilaku ketua. Bapa yang perokok susah melarang anaknya daripada merokok. Pemimpin yang berkarisma membina keyakinan bahawa apa yang pasukan mereka sedang lakukan ini sebenarnya suatu usaha yang murni yang lebih besar daripada hidup. Terdapat banyak nilai yang mungkin bersesuaian bagi melambangkan pasukan anda:

Bekerja keras
Saling percaya
Gembira
Bersemangat
Bantu-membantu
Produktif
Kreatif
Sasaran yang sama
Persahabatan
Melakukan yang terbaik
Impian yang jelas
Tekanan luaran
Tekanan masa
Keutamaan
Positif
Terbuka
Disiplin
Komunikasi yang empati
Komitmen
Suka membantu
Tugas yang jelas
Tugas yang rencam
Saling hormat
Menghargai kepelbagaian
Jujur
Ganjaran
Adil
Bermotivasi
Berolak-ansur dengan kekurangan
Bertolak ansur dengan kepelbagaian
Suka meraikan kemenangan

Cipta slogan
Slogan membawa nilai emosi. Jika kita menggunakan slogan yang sama, bermakna kita memiliki persamaan. Seperti pasukan bola sepak, mereka mempunyai slogan yang melambangkan kekuatan mereka. Jika anda ingin membina pasukan yang kuat, cipta satu slogan yang bersesuaian dengan organisasi saudara.

Cari orang bijak dan berbakat
Terdapat sindrom sesetengah pemimpin tidak suka membina pasukan daripada individu yang cerdik, kreatif, berbakat dan berjiwa besar. Mereka takut kedudukan mereka akan dicabar oleh individu-individu ini. Ini adalah satu pendapat yang salah dan lebih mementingkan diri sendiri. Menurut Steve Ballmer, keputusan yang paling bijak Microsoft lakukan adalah membina pasukan daripada orang-orang yang bijak dari seluruh pelosok dunia.

Jangan pisahkan aktiviti organisasi dengan peribadi
Syarikat gergasi berjaya membina pasukan yang kuat kerana mereka tidak pernah memisahkan kerja di pejabat dan masa-masa santai bagi memupuk keseronokan dalam bekerja. Xerox International mengendalikan hari keluarga syarikat besar-besaran termasuk seluruh keluarga pekerja. Mereka dipupuk dengan rasa bangga menjadi sebahagian daripada syarikat. Mereka membina suatu komuniti dalam syarikat yang mengendalikan hal ehwal pusat penjagaan kanak-kanak, supaya pekerja-pekerja boleh menghantar anak mereka ke pusat penjagaan itu. Dengan cara itu, pekerja mereka lebih tenang dan selesa untuk bekerja.

Menjadi pendengar yang baik
Pemimpin berkarisma membina pasukan yang kukuh untuk keberkesanan organisasi. Mereka mampu mendengar naluri pengikut yang mendalam. Pepatah Arab ada berkata, Orang yang berakal itu memadailah baginya memahami sesuatu dengan isyarat-isyarat.

Merangka piagam pasukan
Rangka piagam tentang apa yang disasarkan oleh organisasi saudara. Edarkan kepada setiap orang supaya mereka dipandu oleh kompas tujuan yang sebenar. Contohnya;

Penyataan bermisi
Asas tujuan
Sumber kekuatan
Hasil yang dijangka
Operasi

Membangunkan potensi orang lain
Pemimpin berkarisma dalam membina pasukan yang kuat adalah orang mementingkan peningkatan prestasi orang lain. Ia amat berlainan dengan amalan biasa kita yang mementingkan hal peribadi seperti naik pangkat dan lain-lain.

Disiplin pasukan
Dalam World Class Team, Katzenbach juga berpendapat kualiti yang penting dalam pembangunan objektif pasukan adalah disiplin pasukan itu sendiri. Ia bermula daripada disiplin individu dan menjadi disiplin pasukan. Resort Tenco Berhad meng-gariskan disiplin yang diterima oleh semua kakitangannya berkenaan dengan kehadiran di tempat kerja. Akhirnya semua pekerja berlumba-lumba untuk datang awal.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024