Artikel

Memperkenalkan Produksi PTS.fm: Dunia Buku Kita

oleh [email protected] pada 17 May 2010



Studio PTSBerkonsepkan radio yang menyampaikan ilmu daripada sumber buku dan mewujudkan platform promosi baru bagi buku-buku terbitan PTS Publications & Distributors Sdn Bhd. Jabatan Pemasaran menerajui podcast yang diberi nama PTS.fm: Dunia Buku Kita.

Menggunakan tema Dunia Buku Kita mengajak pendengar berasa bersama-sama mewakili dunia buku dan terus setia mendengar buku-buku pilihan mereka. Selain itu PTS.fm juga membuka peluang kepada penerbit buku dan pekedai buku yang mahu menguarkan produk mereka melalui PTS.fm.

PTS.fm bersiaran secara podcast melalui web rasmi www.pts.com.my dan akan selalu diselang seli pada paparan Facebook: Buku PTS.

Menghargai sokongan pembaca tegar buku PTS, PTS.fm menerbitkan pelbagai segmen melalui program Wahyu, Buku, Srikandi, Majalah dan Sastera.

Segmen Mari Ingati dan Pesan Nabi mendidik jiwa ke arah Islam berserta bacaan al-Quran dan diskusi agama melalui program Wahyu. Kandungan program ini akan dimurnikan oleh Tuan Imran Azmi yang selalu mendengar radio kandungan agama.

Segmen Dedikasi meraikan pembaca bagi memberi dedikasi buku kepada insan yang tersayang. Aku, Kau  & Buku mewarnai dunia buku yang memaparkan komen peminat FB: Buku PTS, Fragmen Penulis memaparkan sisi lain personaliti penulis, Lensa Buku melaporkan dari lapangan dunia buku, Bicara Produksi mendedahkan cara menerbitkan buku dan  KOMIK@Radio menghiburkan pendengar melalui dialog ataupun nasihat yang lucu tetapi bermesej. Dengarkannya melalui program Buku bersama Tuan Wahyudi Mohd Yatim, Tuan Aliff Azis, Tuan Aizat Razak dan Tuan Roslan Isa.

Pendengar wanita akan berasa dihargai apabila program Srikandi memaparkan segmen Keluarga membincangkan hal ehwal dan panduan mengurus keluarga, mengetahui citarasa wanita PTS.fm mewujudkan segmen Glamor supaya wanita sentiasa berketerampilan dan pastinya segmen Aroma! menghidangkan pelbagai resipi masakan mereka. Bersama Puan Mazniza Mohd Nor dan Cik Marliana Abu Bakar.

Program Majalah yang bakal diterajui oleh Tuan Faizal Mukhtar yang tangkas dan pintar berbicara akan memandu segmen Dari Studio PTS bagi mengundang penerbit, penulis, pekedai buku dan pembaca menjawab soalan yang berbentuk mencabar minda dan keupayaan menahan hujahan demi hujahan. Selain itu, segmen Teknologi dan Trivia Hari Ini juga akan memberi informasi berbeza bagi mencetus minda mahu tahu dan seterusnya berfikir bersama Tuan Wahyudi.

Program Sastera mengangkat platform diskusi karya-karya bermutu melalui segmen Fragmen Novel mengumpul karya seperi sajak, pusi dan drama radio yang dipetik daripada novel pilihan. Berserta diskusi dunia sastera yang bakal diterajui oleh Tuan Syafiq Zulakifli.

Kru produksi PTS.fm ini dinasihatkan oleh Puan Norhazizam selaku Penerbit Eksekutif, Tuan Hisham Salmin selaku Pengarah Teknikal dan Tuan Roslan Isa selaku Penerbit PTS.fm. Penulis, penerbit, pekedai buku dan pembaca buku yang mahu menjadi tetamu, mohon emel ke roslan @pts.com.my. 

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024