Artikel

Ulasan Buku PTS di Berita Harian: Maryamah Karpov: Mimpi-Mimpi Lintang

oleh Helmi pada 21 May 2010

Ilmu perkapalan, pelayaran, geografi jadi latar mencari cinta sejati

MARYAMAH Karpov: Mimpi-Mimpi Lintang karya Andrea Hirata yang menjadi tetralogi novel terlaris di pasaran, Laskar Pelangi, membawa pembaca melayari pengembaraan Ikal untuk mencari kekasih yang dianggap cinta sejati, A Ling dengan latar tradisi dan budaya hidup penduduk pelbagai kaum di Belitong. 

Kepulangan Ikal ke Belitong setelah menamatkan pengajian di Universiti Sorbone, Perancis rupa-rupanya memerangkap diri dengan gaya hidup masyarakat Melayu Belitong yang gemar menghabiskan masa berbual dan bersantai di warung kopi.Kisah percintaannya yang sudah lama tertanam mula membara selepas warga Belitong dikejutkan dengan penemuan jenazah berbentuk kupu-kupu yang kononnya menjadi penunjuk dari A Ling yang menghilangkan diri selama beberapa tahun.Berbekalkan keyakinan A Ling masih berada di Pulau Batuan, Ikal bertekad untuk berlayar mengharungi Pulau Batuan meskipun terpaksa mengharungi kesukaran yang mengundang bahaya kerana pulau berkenaan menjadi persembunyian lanun. 

Cabaran awal yang terpaksa ditempuh ialah membina perahu dengan bantuan beberapa sahabatnya kerana tiada seorang nelayan pun yang sanggup menumpangkan Ikal ke pulau yang memang menjadi igauan ngeri penduduk sekitar pulau berkenaan. 

Hasil bantuan Kalimut, Lintang dan Chung Fa yang setia mengharungi kesusahan dan kegembiraan dengannya seperti dalam novel Laskar Pelangi serta pertolongan kelompok manusia aneh yang dianggap petualang dunia ghaib pimpinan Mahar, akhirnya perahu yang dinamakan Mimpi-Mimpi Lintang berjaya dibina. 

Pertemuan Ikal dengan Dayang Kaw membawa kepada titik pengakhiran pencarian A Ling yang sebenarnya ditangkap oleh lanun diketuai Tambok tetapi kegembiraan pertemuan antara dua kekasih itu ibarat kapal yang hanya berlabuh buat seketika apabila bapa Ikal tidak mengizinkannya mengikat ikatan perkahwinan dengan A Ling. 
Secara dasarnya, karya ini dianggap lebih menarik kerana penulis tidak hanya memaparkan semangat perjuangan Ikal dalam mengejar cinta, bahkan dalam tempoh menghasilkan perahu, beliau sempat mengenali wanita tua, Maryamah dan anaknya, Nurmi, selain mempelajari ilmu perkapalan dan mendalami gaya hidup orang pulau. 

Kebijaksanaan Andrea Hirata dalam mengolah ilmu perkapalan, pelayaran, geografi, perubatan dan pergigian sudah pasti menjadikan karya ini tampil lebih hebat daripada karya cinta lain yang hanya meletakkan elemen percintaan semata-semata. 

Meskipun Maryamah Karpov agak sukar difahami kerana penggunaan dialek dan bahasanya yang terlalu tinggi tetapi penghayatan sebenar dalam pengembaraan Ikal lebih mudah dirasai kerana setiap kalimat yang diciptakannya memiliki kekuatan tersendiri untuk membuat pembaca tersihir. 

Karya ini sudah pasti tidak mengecewakan pencinta karya Laskar Pelangi yang sudah membaca Sang Pemimpi, Edensor, dan Laskar Pelangi kerana Maryamah Karpov menghidangkan pembaca kesinambungan kisah Ikal dan nasib A Ling serta watak penting seperti Lintang dan Belitong dalam Laskar Pelangi. 

Bagaimanapun perwatakan Maryamah, iaitu wanita yang pandai bermain catur Karpov sehingga mendapat panggilan Maryamah Karpov, tidak banyak disebut dalam kisah relatif yang panjang ini sekali gus menimbulkan kekeliruan antara judul dan isi. 

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024