Artikel
Memupuk minda kelas pertama melalui pembacaan
oleh Helmi pada 05 May 2006
Walau apa pun infrastruktur yang dibina, hakikatnya ialah untuk menambah ilmu pengetahuan, seseorang itu perlu mengamalkan membaca, menulis dan berdiskusi. Ketiga-tiga aktiviti ini menggalakkan seseorang itu berfikir, satu kegiatan yang mesti menjadi kebiasaan bagi golongan minda kelas pertama. Oleh itu program dan pengisian yang berkaitan dengan ketiga-tiga aktiviti ini hendaklah diperbanyakkan dan diperhebatkan supaya menjadi budaya bangsa dan masyarakat kita.
Saya ingin meminjam di sini kata-kata Francis Bacon ( 1561-1626), penulis dan ahli falsafah British dalam koleksi esei berjudul Selections yang diterbitkan pada tahun 1597 yang amat relevan dalam konteks ini, iaitu:
“Membaca menjadikan seseorang itu lengkap (dengan ilmu), berdiskusi itu menjadikan seseorang itu bersedia, dan menulis itu menjadikan seseorang itu tepat”.
Membaca membolehkan kita mengetahui pendapat dan pengalaman orang lain yang boleh dimanfaatkan dalam menjana idea, membentuk pendapat kita sendiri selain dari manambah ilmu. Rajin berbincang dan bertukar pendapat pula melatih kita bersedia mengutarakan idea atau pendapat, berkongsi pengetahuan dan pengalaman secara berhadapan dan interaktif. Manakala menulis melatih kita mencapai ketepatan dalam menyampaikan pendapat dan idea dengan menggunakan perkataan dan ayat yang paling sesuai. Minda kelas pertama perlu cekap dalam ketiga-tiga aspek ini.
Semasa melawat Aceh selepas tsunami, kami melihat pendekatan yang digunakan oleh badan-badan sukarela untuk memulihkan masyarakat Aceh ialah melalui program literasi dan membaca.
Dengan slogan Aceh Bangkit Aceh Membaca’ badan-badan seperti Phi Beta Learning Centre, Forum Lingkaran Pena, Yayasan Anak Bangsa, Children Media Centre dengan kerjasama Yayasan 1001 Buku mengendalikan bengkel menulis dan aktiviti membaca untuk remaja dan kanak-kanak di Banda Aceh dan kawasan pedalaman Aceh Besar. Ahli-ahli kumpulan ini terdiri hampir keseluruhan dari golongan muda di Aceh yang turut menulis dan menghasilkan buku-buku untuk projek mereka selain dari buku yang disumbangkan. Melihat respons daripada anak-anak dan remaja Aceh kami turut yakin pembinaan minda adalah pendekatan yang paling baik dalam membangkitkan semula masyarakat Aceh dan perlu dibantu.
Usaha-usaha berterusan yang dibuat oleh kedai buku seperti MPH dan Silverfish untuk memupuk perasaan cinta kepada buku, program Resensi di RTM dan ruang khas harian dan mingguan mengenai buku oleh surat khabar Utusan Malaysia, projek ‘Jom Baca’ oleh Puteri UMNO adalah contoh-contoh ketara yang patut dipuji dan dicontohi serta diperbanyakkan. Baru-baru ini ada rancangan untuk mengadakan Akademi Al-Quran di salah sebuah stesyen televisyen tempatan. Ini satu perkembangan inovatif yang dialu-alukan walaupun setakat ini belum dilihat pelaksanaannya.
Media massa perlu memainkan peranan penting dengan menambah program yang boleh memupuk ‘minda kelas pertama ini. Contohnya mengadakan program kreatif dan menarik di televisyen mengenai cerita-cerita dari sumber-sumber sejarah dan sastera negara. Penerbit filem tempatan juga patut menangani cabaran menerbitkan filem-filem sejarah dan dari cerita buku.
Rebutan
Di negara Barat hak cipta novel-novel yang laris menjadi rebutan pembuat filem kerana telah terbukti filem-filem yang dibuat daripada buku-buku ini seperti Lord of the Rings, Oliver, Gone With The Wind juga mendatangkan keuntungan box-office yang lumayan. Hak-hak buku yang dimaksudkan ini menjadi rebutan ajen penerbit filem di pesta buku antarabangsa seperti Frankfurt dan London.
Jika disamakan “minda kelas pertama” ini sebagai “bertaraf dunia” kita boleh mengimbas kembali apa yang disarankan oleh Rosabeth Moss Kanter dalam bukunya berjudul “World Class: Thriving Locally in a Global Economy” yang diterbitkan dalam tahun 1995. Buku ini mempelopori konsep pekerja dan syarikat bertaraf dunia pada masa itu. Kanter berpendapat bahawa konsep bertaraf dunia itu bermaksud keupayaan memenuhi standard yang paling tinggi di mana saja dan suatu kumpulan sosial yang mempunyai keupayaan menguasai sumber-sumber dan beroperasi di luar sempadan serta merintasi kawasan yang luas.
Kanter mengenal pasti wujudnya segolongan profesional yang dinamakan kosmopolitan yang menganggotai kumpulan bertaraf dunia ini. Kosmopolitan kaya dengan tiga aset penting yang dinamakan 3C oleh Kanter. Aset yang diterjemahkan kepada keunggulan dan kekuasaan dalam ekonomi global adalah:
(i) Konsep - iaitu mempunyai ida dan pengetahuan yang terbaik dan terkini dalam bidangnya;
(ii) Kecekapan - keupayaan beroperasi atau berkhidmat di tahap standard yang paling tinggi di mana saja;
(iii) Rangkaian - mempunyai hubungan yang terbaik yang memberi akses kepada sumber-sumber orang dan organisasi lain di merata dunia.
Cosmopolitan mudah dikenal pasti di mana-mana negara kerana sering bergaul dengan orang tempatan yang berpengaruh. Mungkin golongan profesional “berminda kelas pertama” yang dihasratkan harus setanding dengan Cosmopolitan. Apabila masa kritikal golongan profesional tempatan mencapai taraf ini, jelaslah ini petanda Malaysia telah mencapai tahap negara maju.