Artikel

Mengapa Jatuh Cinta

oleh Helmi pada 04 Jun 2004

Fenomena cinta pandang pertama berlaku antara dua orang individu yang memiliki kuasa tarikan ke atas satu sama lain dengan kekuatan yang serupa tingginya. Dengan lain perkataan, mereka saling menyukai antara satu sama lain. Segala-galanya bermula apabila mereka mula-mula berkenalan. Kita sentiasa mengukur tinggi rendah kuasa tarikan pasangan-pasangan yang kita kenal di sekeliling kita.

Salah satu teori berkaitan dengan cinta ialah teori ambang cinta. Ini kerana setiap orang pernah mengalami keadaan yang dipanggil ‘kesediaan’ untuk bercinta, ataupun berada di ambang cinta. Keadaan ini berlaku apabila seseorang individu itu mengalami adanya pertembungan dua dorongan dalam diri ataupun jiwanya.

Keadaan pertama, dia mengalami perasaan yang inginkan kehadiran cinta dalam hidupnya. Maknanya pada waktu ini, dia sedang bersendirian dan tidak memiliki sesiapa pun untuk dicintai. Keadaan seperti ini biasa dialami oleh si bujang dan mereka yang sudah bercerai dengan pasangan masing-masing. Rasa sepi menyebabkan mereka sentiasa mengharap agar ada insan lain yang sudi mendampingi dan meyintai mereka. Mereka yang kesepian ini terbahagi kepada tiga golongan iaitu mereka yang cintanya tidak berbalas, mereka yang sedang menghadapi krisis percintaan dan mereka yang sedang menghadapi masalah dalam rumah tangga.

Dorongan yang kedua, untuk jatuh cinta seseorang itu mesti bertemu dengan orang yang pada penglihatannya mampu memenuhi keperluannya. Bermakna, bagi yang sedang mencari cinta, mereka perlu melihat faktor penarik yang ada pada orang yang ingin dimiliki cintanya.Dua jenis faktor penarik iaitu yang pertama, keperluan-keperluan am seperti wang, seks, pekerjaan, jawatan, taraf sosial dan lain-lain. Faktor kedua adalah keperluan-keperluan psikologi seperti emosi, intelek dan rohani.

Kita memulakan proses tertarik, berkenalan, jatuh cinta dan seterusnya berkahwin kerana didorong oleh semua keperluan ini. Kita sentiasa mengharap pasangan kita akan memenuhi keperluan kita yang begitu mendalam. Bagi sesetengah pasangan, itu yang dicari, itu yang dinikmati.

Selamat bercinta dan selamat menikmati keindahan cinta!

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024