Artikel

Bagaimana Memahami Bacaan

oleh Helmi pada 02 Jun 2004

Skema dalam Pemahaman Teks

Skema sering dikatkan dengan proses membaca bagi tujuan pemahaman (Marohaini Yusuf, 1999). Dengan mengaitkan skema dengan maklumat baru yang terdapat dalam teks, seseorang dapat memahami sesuatu perkara, mereka perlu mengisi kekosongan slot maklumat yang terdapat dalam mindanya dengan menggunakan set skema yang lain.

Apabila pengalaman yang ada tidak dapat membantu memahami maklumat sedia ada, pembaca mengalami masalah ketika berhadapan dengan maklumat baru pada masa akan datang. Apabila skema yang sesuai gagal diwujudkan ketika pembaca berusaha memahami teks, sesetengah pengalaman yang baru tidak dapat diwujudkan ketika itu. Keadaan ini menyukarkan pemahaman pembaca.

Oleh yang demikian, pembaca perlu menggunakan pengetahuan sedia ada dan dapat memperluaskan lagi idea yang disampaikan oleh penulis. Adalah penting pembaca perlu mengaitkan bahan tekstual dengan pengetahuan dan pengalamannya. Ini kerana membaca bagi tujuan pemahaman melibatkan bukan hanya yang terdapat dalam teks, tetapi juga pengetahuan yang pembaca miliki. Ini bermakna, bagi tujuan memahami perkataan, ayat dan wacana melibatkan tidak hanya kemampuan aatau pengetahuan linguistik semata-mata, tetapi juga meliputi pengetahuan dunia luas.

Dalam hal ini, pembaca yang baik adalah mereka yang dapat mengaktifkan skema melalui kedua-dua proses iaitu proses ‘Bawah-Ke-Atas’ dan ‘Atas-Ke-Bawah’. Proses ‘Bawah-Ke-Atas’ dimulai dengan pengenalan huruf beralih kepada mengenal pasti perkataan, struktur sintaksis dan semantik. Manakala proses ‘Atas-Ke-Bawah’ pula bermula dengan pengetahuan pembaca ke atas bahasa dan pandangan dunianya, serta bertujuan menguji hipotesis tertentu yang berlawanan dengan teks.

Bacalah buku Mengajar Membaca untuk mendapat lebih gambaran bagaimana untuk memahami sesuatu bahan bacaan-editor.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024