Artikel
Mengatasi Writer Block dalam Penulisan Gaya Para Ulama
oleh Zahiruddin Zabidi pada 06 Oct 2011
Oleh : Zahiruddin Zabidi
ANTARA cabaran sebagai seorang penulis adalah apabila mereka dalam situasi yang dipanggil writer block. Gambarannya adalah seperti sebuah komputer yang terlalu macet sehingga menyebabkan hang atau kaku tidak berfungsi. Mungkin sahaja ia hanya sebentar iaitu dalam kadar beberapa minit, mungkin juga beberapa jam malah mungkin sahaja tidak boleh berfungsi terus.
Namun sebenarnya, sebagai seorang penulis yang punya matlamat dan wawasan yang jelas mengenai dunia penulisan, writer block tidak boleh menjadi suatu halangan dan alasan buat mereka. Ini adalah kerana bagi seorang penulis sepenuh masa genre fiksyen atau non-fiksyen, pastinya gejala tersebut akan mendatangkan kesan yang buruk kepada produktiviti dan momentum berkarya.
Justeru, pemahaman dan perancangan dalam sepak terajang dunia penulisan wajib difahami dan dihadami oleh mereka yang akan, sedang dan sudah menulis. Dalam isu ini para ulama silam dan mutakhir wajar diteladani. Bagaimana bermula daripada abad pertama hijrah lagi, para ulama dalam semua cabang ilmu Islam terus gesit menghasilkan maha karya mereka yang masih tekal sehingga ke hari ini.
Selain daripada itu, ketekalan mereka berkarya juga boleh dilihat daripada jumlah karya yang banyak dan sangat tebal serta panjang perbahasannya. Bagaimana dalam bidang tafsir yang memperlihatkan antara cabang ilmu Islam yang terawal ditulis dan dibahaskan seperti Tafsir at-Tabari oleh Imam Ibnu Jabir at-Tabari, begitu juga dengan siri Sunan Sittah (kitab hadis muktabar yang enam) yang dikarang oleh Imam Bukhari, Muslim, Ibnu Majah, an-Nasaie, at-Tirmizi dan Abu Daud dan banyak lagi.
Apakah kaedah yang mereka gunakan selain daripada niat yang ikhlas bagi merekod dan menyampakan ilmu-ilmu Allah kepada umat manusia sepanjang zaman? Mereka dilihat sangat-sangat konsisten dalam penulisan antaranya seperti Imam an-Nawawi yang mati dalam usia muda iaitu 45 tahun namun meninggalkan jujukan khazanah ilmu yang banyak malah masih ditelaah dan dirujuk sehingga hari ini. Beliau dalam hayatnya sempat mensyarahkan hadis yang dihimpunkan oleh Imam Muslim.
Justeru, menjadikan para ulama ini sebagai sumbu motivasi dan teladan adalah suatu perkara yang sangat bermanfaat kepada para penulis pada hari ini. Mencontohi metode pemikiran dan pengkaryaan mereka memungkin penulis pada hari ini mempunyai jujukan karya bagi disumbangkan kepada ummah.
Dalam penelitian saya, paling kurang secara asasnya ada tujuh kaedah dalam disiplin penulisan para ulama dahulu dan kini:
Memanjangkan yang pendek – Tafsir dan syarah, contohnya syarah Tafsir Ibnu Kathir, Sahih Bukhari, Muslim dan lain-lain.Memendekkan yang panjang – Mukhtasar atau ringkasan, contohnya kitab Ihya Ulumuddin dan Zaadul Maad yang diringkaskan kemudiannya.Menyaring dan menyemak kembali fakta – Tahqiq dan takhrij.Menjawab, mewacanakan dan mengembangkan idea asal – Radd iaitu menjawab hujah.Menterjemahkan manuskrip-manuskrip ke dalam bahasa ilmu kita sendiri iaitu bahasa Melayu – Dalam konteks dunia Islam dahulu (zaman Baitul Hikmah) sehingga kejatuhan khilafah Uthmaniyah, 1924 adalah bahasa Arab.Mengadaptasi – Olahan idea daripada luar bagi kesesuaian semasa, lokasi dan budaya, sebagai contoh Ibnu Qudamah al-Maqdisy mendapat inspirasi bagi mengarang kitab besarnya Minhajul Qasidin selepas mendalami kitab agung Imam al-Ghazali, Ihya Ulumuddin.Mengelompokkan satu tema dalam satu kitab hadis – Semisal hadis Matan Arbain dan Riyadhus Solihin oleh Imam An-Nawawi.
Saya yakin, andai seorang penulis itu boleh memahami dan mengamalkan ketujuh-tujuh disiplin ini. Tiada istilah kering idea atau writer block lagi. Dalam masa yang sama, mereka juga boleh bergantung harap kepada penulisan bagi kelangsungan hidup hasil daripada penulisan tersebut bagi terus menulis sebagaimana para penulis barat yang mampu menulis dengan selesa dan profesional kerana produktif dan konsisten dalam berkarya.
Di Malaysia hanya segelintir sahaja yang mengambil jalan itu, namun kebelakang ini nampak ada perubahan yang positif di mana semakin ramai penulis dan editor yang mengambil jalan itu. Hakikatnya di Malaysia, dengan hanya menulis sepenuh masa, amat payah bagi menjadi sumber utama kelangsungan hidup melainkan dalam masa yang sama perlu juga melakukan pekerjaan sampingan lain seperti menjadi editor bebas, penceramah dan mungkin juga menjadi penjual buku!
Zahiruddin Zabidi merupakan editor di PTS Islamika Sdn bhd dan juga menghasilkan novel bersama PTS. Baca lanjut hasil tulisan beliau di kalamkhalifah.com