Artikel

Mengenal Wanita Bernama Aisyah binti Abu Bakar As-Siddiq r.a.

oleh Fazzira Ghazali pada 25 Mar 2020

Saidatina Aisyah binti Abu Bakar As-Siddiq r.a, nama yang tidak asing lagi sebagai tokoh wanita yang agung. Beliau juga diberi gelaran As-Siddiqah yang bermaksud ‘perempuan yang berkata benar’, ataupun nama timangannya ialah Humaira, di mana ianya bermaksud kemerah-merahan. Aisyah merupakan contoh, ikutan, dan rujukan umat Islam seluruh dunia. Martabatnya diangkat kerana dia menjadi isteri kepada manusia yang agung, dan menjadi contoh sepanjang zaman, iaitu Rasulullah s.a.w. Wanita ini tiada tandingannya. Siapa sahaja yang tidak menginginkan peribadi persis sepertinya? Sungguh hebat, mashaa Allah!

Sejarah telah mencatatkan bahawa pelbagai masalah agama dan hukum-hakam agama dipelajari para sahabat daripada Aisyah. Beliau juga merupakan guru kepada Sheikh Abdul Hasan Ali al-Hasani an-Nadwi. Di dalam buku Aisyah: Ummul Mukminin, Keanggunan Sejati, karya Sulaiman An-Nadawi ini mengupas kehidupan Aisyah r.a, pengetahuan agamanya yang tinggi, dan juga mengenai keistimewaan serta peribadi mulianya. Kita juga akan mengetahui sedikit sebanyak mengapa beliau sering dicemburui dengan kurniaan yang Tuhan telah berikan padanya.

Pada pendapat saya, buku ini sangat menarik dan tersusun kerana dibahagikan kepada lima bahagian termasuklah mengenai sejarah hidup beliau, karakter dan juga keistimewaan beliau, biografi intelektual beliau, bagaimana Aisyah mendidik, memberi fatwa dan membimbing orang Islam dan yang terakhir mengenai pelbagai jasa yang ditabur kepada kaum perempuan. Sungguh, buku ini tersangatlah kita perlukan sementelah kaum wanita sering dianggap lemah dan ditindas kian lama. Karya ini bakal membuka minda kita semua kerana wanita itu sewajarnya diangkat martabatnya, dan dilindungi, bukannya ditindas.

Tambahan pula, penulis menggunakan ayat dan gaya bahasa yang mudah untuk difahami. Sebelum ini, saya agak tertanya-tanya mengapakah Aisyah sangat diagungkan dan menjadi tokoh kepada wanita? Setelah saya membaca dan mendapatkan gambaran yang sebenar, wajarlah namanya disebut-sebut dan diagung-agungkan. Selain daripada memiliki rupa paras yang menawan, Aisyah juga sangat berani, pemurah, tidak rela dipuji, dan sering membantu kaum wanita yang dalam kesusahan. Apabila bercakap mengenai pujian, sudah semestinya manusia sangat menyukainya. Siapa yang tidak sukakannya, bukan? Akan tetapi, sangat berbeza dengan Aisyah. Beliau menyedarkan saya bahawa segala pujian makhluk Tuhan itu haruslah dikembalikan semula pada penciptanya yang Maha Agung. Sungguh, hati saya sangat terusik ketika membaca bait-bait yang ditulis di dalam buku ini. Sebagai seorang wanita, kita semestinya tidak lari dengan perasaan cemburu, terutamanya pada insan yang kita sangat sayangi. Namun yang demikian, Aisyah mengajar saya tentang walaupun hati kita berasa sangat cemburu, kita haruslah sentiasa taat kepada seorang lelaki bernama suami. Jangan sesekali meninggikan suara seakan terikut dengan emosi, tetapi lebih kepada berkomunikasi mengenai perasaan dengan pasangan. Jangan biarkan nafsu mengawal minda kita. Sungguh benar, sifat Aisyah yang sangat bijak yang bukan sahaja daripada aspek agama, malah beliau juga sangat menjaga fikirannya untuk sentiasa berfikiran positif.

Selain itu juga penulis menceritakan bagaimana Aisyah berjaya membimbing dan mengurus umat Islam. Walaupun memiliki raut wajah yang lembut, dan beliau memang seorang wanita yang sangat sopan, beliau mampu mencurahkan segenap tenaga serta berusaha bersungguh-sungguh untuk menegakkan hukum dan ajaran agama Islam itu tidak hilang. Kebanyakan yang berjumpa dengan Aisyah adalah kaum wanita. Sebagai contoh, saya ambil kisah yang telah diceritakan di dalam buku ini mengenai bagaimana penduduk Madinah membawa bayi yang baru lahir kepadanya bagi didoakan. Kemudian apabila Aisyah mengalihkan bantalnya, beliau terjumpa pisau yang sengaja diletakkan di bawah bantal. Setelah bertanya kepada orang tuanya, pisau itu sebenarnya diletak bertujuan untuk menghalang gangguan jin. Apabila Aisyah mendengar penjelasan itu, beliau terus mengalihkan dan membuang pisau tersebut kerana beliau berkata Rasulullah s.a.w. melarang perbuatan tersebut. Pelbagai kisah lain yang ditunjukkan dalam naskhah ini mengenai kehebatan ilmu beliau dalam bidang hukum dan agama Islam sehingga menjadi rujukan utama kepada mereka yang memerlukan jawapan dan fatwa, setelah kewafatan Rasulullah s.a.w.

Secara keseluruhannya, buku ini sangat padat dengan kisah peribadi dan karakter Aisyah yang umum mahupun secara terperinci. Ianya telah dihuraikan dengan lebih panjang lebar di dalam buku ini. Bertemakan bunga dahlia yang menjadikan buku ini lebih nampak menarik dan eksklusif, sesuai dengan keanggunan sejati Saidatina Aisyah r.a. Jadi, jangan lupa untuk dapatkan buku Aisyah: Ummul Mukminin, Keanggunan Sejati ini dengan segera di kedai buku berhampiran dengan. Semoga kita sama-sama memperoleh manfaat dan semakin berkobar-kobar untuk menjadi insan yang baik. Dengan izin Tuhan.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024