Artikel

Mengenali penulis India

oleh Helmi pada 02 Nov 2006

Dari London, New York dan belahan kota Eropah yang lain, mereka menulis karya-karya sastera yang bermutu. Dan, Salman Rushdie adalah sang peneraju yang menggoncang sastera dunia melalui karya kontroversinya, The Satanic Verses, dan kemudian memenangi anugerah buku Booker Prize pada tahun 1981 melalui buku Midnights Children.  Setelah Rushdie, berbaris nama pun lahir: Amitav Ghosh, Vikram Seth, Jhumpa Lahiri, Hanif Kureishi, Arundhati Roy, Kiran Desai, Anita Desai dan Amit Chaudri adalah sebahagian di antara nama-nama besar yang telah mencipta nama dalam persada sastera antarabangsa.  Mereka lahir dari kelas menengah, berdarah India, terpelajar dan fasih berbahasa Inggeris, bahkan lebih fasih dari berbicara bahasa ibundanya sendiri. Mereka membentuk barisan sastera India pascakolonial dan menerobos masuk tempat-tempat terhormat dalam khazanah sastera dunia. Sastera diaspora yang mereka lahirkan tumbuh dan berbicara kepada dunia.  Bagaimanapun, satu hal yang pasti, sentakan utama terhadap dunia sastera India pascakolonialisme tidaklah bersumber semata dari kehebatan para penulis India, kreativiti penerbit tempatan, ataupun liputan media luar negara. Akan tetapi, perhatian besar penerbit-penerbit Inggeris seperti Penguin yang menjadi peneraju utama perkembangan tersebut. Dan hal ini tidak akan terjadi tanpa Salman Rushdie. Lupakan kisah Satanic Verses yang melukakan hati, namun, tolehlah kepada karya-karyanya yang lain.  Tahun 1981, Rushdie menarik perhatian sastera dunia ketika karyanya Midnights Children, memenangi anugerah Booker Prize, penghargaan hadiah sastera paling berprestij di dunia. Kemenangan tersebut melambangkan banyak hal sekali gus, yang kesemuanya penting dalam menentukan arah dan bentuk sastera India-Inggeris selanjutnya.  G.R. Taneja dan R.K. Dhawan dalam The Novels of Salman Rushdie (1993), menegaskan Midnights Children merupakan karya orang India pertama yang menerobos pasaran antarabangsa, dan yang dinilai berdasarkan satu parameter tertinggi kesusasteraan.  Kedua, karya tersebut memberikan sastera India sebuah paradigma baru dalam menghadapi dunia luar; tidak lagi apologetik, catatan kaki, perbendaharaan khusus pada halaman-halaman akhir. Di tangan Rushdie, tema-tema India melebur menjadi sebuah entiti yang lentur dan tidak terbatas. Ketiga, dengan pengaruh realisme magis penulis Amerika Latin yang memang terkenal dengan karya bertemakan pembebasan dan penindasan ternyata mempengaruhi Rushdie serta turut membebaskan sastera India, paling tidak dalam tahap-tahap awal, dari belenggu propaganda, dan fantasi. Rushdie seolah-olah ingin mengatakan bahawa hanya dalam kerangka demikianlah, realiti India dapat dimengerti.  Seterusnya menurut Taneja dan Dhawan, karya Rushdie membawa sikap baru yang berani dan asertif: Orang India berada dalam kedudukan untuk menakluk sastera Inggeris. Kedengarannya agak sombong, tetapi sikap inilah memperkukuhkan kepercayaan diri generasi penulis India tahun 1950-an ke atas. Rushdie pun hidup sesuai dengan kata-katanya: Menetap di London, New York, dan Mumbai, berpidato dan berceramah di sana sini, layaknya seorang duta kehormat.  Seterusnya pengaruh luar biasa Midnights Children menjadi acuan dan sumber inspirasi kepada generasi penulis-penulis India kebelakangan seperti Amitav Ghosh, Jhumpa Lahiri untuk menerobos sastera antarabangsa.  Sebenarnya kesan Midnights Children, baru benar-benar terasa sekitar tahun 1986, ketika Amitav Ghosh menulis The Circle of Reason. Tahun berikutnya, Vikram Seth menyusul dengan The Golden Gatenya yang unik. Pada tahun 1988, beberapa karya penting telah terbit: The Trotternama oleh Allan Sealy, The Shadow Lines oleh Amitav Ghosh, English August: An Indian Story oleh Upamanyu Chaterjee, dan Such a Long Journey oleh Rohinton Mistry.  Dikatakan bahawa pada tahun 1992, apabila lahirnya karya besar Vikram Seth, A Suitable Boy, telah dianggap tonggak bersejarah sastera India pascakolonialisme yang kedua setelah Midnights Children. Tidak saja hak ciptanya dibeli oleh Penerbit Orion berharga 250 ribu pound sterling, tetapi yang pentingnya kepengarangan sasterawan India semakin kukuh di dunia sastera antarabangsa.  Kejayaan A Suitable Boy diikuti oleh beberapa karya hebat yang lain seperti; Red Earth, Pouring Rain oleh Vikram Chandra, The Thousand Faces of Night oleh Githa Hariharan, Ravan and Eddie oleh Kiran Nagarkar. Tahun 1995, terbit pula The Ghost of Vasu Master oleh Githa Hariharan dan Byculla Boy karya Ashok Banker.  Tahun berikutnya, dua karya mendapat sambutan luar biasa iaitu A Fine Balance oleh Rohinton Mistry dan The Calcutta Chromosome oleh Amitav Ghosh. Dalam masa yang sama, penerbit-penerbit Barat, terutama di England mulai agresif memancing para penulis muda India.  Di antaranya, terdapat penulis yang benar-benar berjaya di pasaran antarabangsa iaitu Vikram Chandra, Mukul Kesavan dan Amit Chaudri. Tahun 1997, menjadi tahun bersejarah bagi penulis India, apabila The God of Small Things karya Arundhati Roy memenangi Booker Prize dan memecahkan harga hak cipta AS$1 juta. Tahun 2000 pula, Jhumpa Lahiri meraih anugerah Pulitzer Prize dengan antologi cerita-cerita pendek yang memikat, Interpreter of Maladies.  Namun, kejayaan para penulis India di luar, tetap mendapat kritikan dari dalam India sendiri. Mereka dianggap terlalu keras, elit dan kurang mendalami masalah sosial-politik India atau kurang menyedari peranan mereka sebagai komentator sosial. Teknik dan tema mereka terlalu kosmopolitan dan tidak kreatif. Mereka lebih terkenal di luar negara daripada dalam negaranya sendiri.  Oleh itu, dianggap karya-karya mereka miskin dimensi spiritual, dan tidak dapat menghalusi jiwa India dan akar mereka dalam tradisi kesusasteraan India tidak cukup kuat. Lebih penting dari itu, mereka dianggap kurang patriotik dan luntur nasionalismenya. Sebaliknya Salman Rushdie menolak kritikan itu dengan mengatakan, literature has little or nothing to do with a writers home address.  Oleh SHAHAROM TM SULAIMAN

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (198801006125) © 2000 - 2025