Artikel
Menghayati Sastera Korea di Persada Antarabangsa
oleh Helmi pada 02 Oct 2006
BULAN lepas saya menghadiri persidangan perpustakaan dan maklumat dunia (WLIC) di Seoul, Korea bersama delegasi 26 ahli Persatuan Pustakawan Malaysia. Tahun ini Korea Selatan menjadi tuan rumah bagi persidangan antarabangsa terbesar di dunia dengan kehadiran lebih 5,000 peserta.
Tahap kualiti perpustakaan dan industri buku tempatan serta aktiviti terjemahan bahasa asing kepada bahasa Korea dan sebaliknya begitu prolifik dan mencerminkan suatu budaya masyarakat yang meletakkan nilai tinggi ke atas institusi dan aktiviti keilmuan.
Saya mengambil kesempatan berada di Seoul untuk melawat Korea Literature and Translation Institute (KLTI). KLTI memainkan peranan penting dalam memperkenalkan budaya ilmu Korea dengan mempromosikan buku dan penerbitan sastera Korea ke seluruh dunia. Melalui aktiviti 100 Books from Korea (2004) dan Books from Korea, 2005, buku-buku yang dipilih oleh pakar-pakar dari pelbagai bidang telah dibawa menjelajah bandar-bandar di Liepzig sempena Liepzig Book Fair, 2004.
Siri program pembacaan awam sastera Korea (Public readings of Korean literature) berjaya menarik minat serta menanam penghayatan sastera Korea di kalangan penduduk di negara tersebut. Tidak hairanlah Korea dipilih sebagai Negara Tetamu atau Guest Country di Frankfurt Book Fair 2005, pesta buku terbesar di dunia. Sastera Korea mendapat perhatian ramai di Frankfurt apabila kesemua dewan persidangan penuh semasa pembacaan buku terjemahan dari Korea. Ahli industri buku dan masyarakat awam Eropah telah mula dapat membezakan sastera Korea daripada sastera Cina dan Jepun.
KLTI sebenarnya tidak menjalankan sebarang aktiviti terjemahan di institut itu sendiri. Akan tetapi, selaras dengan misinya untuk berkongsi sastera Korea dengan dunia (Sharing Korean Literature with the World) ia mengadakan pelbagai program di peringkat kebangsaan dan antarabangsa bagi menyokong aktiviti penulisan, penterjemahan dan penerbitan sastera Korea. Program ini merangkumi pemberian geran untuk terjemahan dan penerbitan karya sastera dan umum di Korea, geran pemasaran, Program Bantuan Jualan Untuk Hak Asing, Pertandingan Terjemahan Sastera Korea untuk Penterjemah Baru, Geran Pertukaran Antarabangsa, Program Kediaman Luar Negara, Fellowship Terjemahan Sastera Korea dan Siri Ceramah mengenai Sastera Korea dan Terjemahan. KLTI juga menerbitkan LTI buletin tahunan berjudul Korea Newsletter memuatkan artikel menarik berkaitan sastera Korea dan aktiviti terjemahan.
Saya telah dihadiahkan dua buah buku terjemahan sastera Korea yang diterbitkan di luar negara, iaitu Modern Korean Fiction: An Anthology, suntingan Bruce Fulton dan Youngmin Kwon, terbitan Columbia University Press, New York, 2005. Kedua, buku berjudul The Depths of a Clam: Selected Poems tulisan Kim Kwang-Kyu terjemahan oleh Brother Anthony of Taize dan Kim Young-Moo terbitan White Pine Press, Buffalo, New York, 2005, yang diterbitkan dengan bantuan kewangan KLTI. Selain dari KLTI, institusi luar negara seperti Pushkin Fund Foundation menyokong usaha menterjemah dan menerbitkan karya sastera sesebuah negara atas dasar negara-negara yang kaya dengan sasteranya wajar diketahui dan dikongsi bersama dunia.
Kumpulan cereka moden Korea adalah sebahagian usaha memenuhi kekurangan yang ketara dalam terjemahan dan penerbitan sastera cereka kontemporari Korea. Antologi ini lebih seimbang kerana meliputi juga karya penulis wanita.
Usaha yang lebih teliti juga dibuat untuk menemukan penulis dan penterjemah yang sesuai. Karya penulis dari Korea Utara juga telah dimasukkan dalam antologi ini. Kebanyakan cerita dalam antologi ini bertemakan kesengsaraan dan kesakitan jiwa manusia. Contohnya, A Lucky Day oleh Hyon Chingon menceritakan kisah seorang penarik beca yang berhempas-pulas untuk menyara hidup. Dia menghadapi dilema pada satu hari apabila bernasib baik mendapat penumpang yang bersetuju membayar tambang yang mahal kerana hari hujan. Akan tetapi dia terpaksa membelakangkan pesanan isterinya yang sakit tenat supaya pulang awal. Apabila dia pulang pada lewat petang isterinya telah meninggal dunia.
The Depths of a Clam adalah koleksi puisi Kim Kwang-Kyu, penyair revolusi terkenal di Korea. Koleksi ini telah diterjemahkan daripada bahasa Korea ke dalam Bahasa Inggeris. Dilahirkan pada tahun 1941, Kim Kwang-Kyu mengkaji bahasa dan Kesusasteraan German di Seoul National University di mana beliau turut menyertai demonstrasi April Revolution 1961 yang mengakibatkan pembunuhan ratusan pelajar universiti dan kejatuhan Presiden Korea Syngman Rhee. Karya Kim Kwang-Kyu dipengaruhi oleh sastera Jerman dengan penggunaan bahasa yang mudah dan jelas serta mengandungi humor yang tidak terdapat dalam sastera Korea sebelum itu. The Depths of a Clam, judul sebuah puisi dalam buku ini menceritakan betapa sukarnya sepasang suami isteri untuk melahirkan perasaan dan rahsia pengalaman mereka dan mereka gagal berbuat demikian sehingga mereka meninggal dunia.
Tema revolusi juga sering berulang dalam karya Kim Kwang-Yu seperti Faint Shadow of Old Love yang menceritakan pertemuan semula sekumpulan sahabat yang pernah menyertai demonstrasi April Revolution 1961 18 tahun kemudian. Mereka semua memakai tali leher dan telah menjadi generasi lama yang takutkan revolusi. Mereka bertukar maklumat tentang keadaan kesihatan masing-masing dan keluarga, pendapatan dan kos saraan hidup. Mereka mengkritik keadaan ekonomi dunia dan merendahkan suara apabila membincangkan khabar angin. Kehidupan mereka seperti semata-semata untuk terus hidup, tanpa idealisme dan harapan semasa mereka penuntut universiti.
Keseluruhannya, kedua-dua buku terjemahan ini berjaya menyampaikan keindahan sastera Korea dalam bentuk cerita pendek dan puisi. Pembaca dapat merasai perasaan, pemikiran, sinis dan humor dalam karya penulis yang dipaparkan. Tanpa terjemahan ini, keindahan dan impak sastera Korea tidak dapat dihayati dan dimanfaatkan oleh audiens yang lebih meluas dan sekali gus mengangkatnya sebagai sastera antarabangsa.