Artikel

Karya Chomsky kritik AS

oleh Helmi pada 02 Oct 2006

Oleh SHAHAROM TM SULAIMAN


PRESIDEN Venezuela, Hugo Chavez semasa berucap pada Perhimpunan Agung Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) baru-baru ini mengkritik keras dasar luar Amerika Syarikat (AS) dan menyifatkan George W. Bush sebagai iblis.

Semasa berucap, Chavez memegang sebuah buku Noam Chomsky yang mengkritik AS. Memang nama Chomsky tidak menyenangkan benak pemerintah AS, terutama bagi mereka yang terlibat dalam menentukan dasar luar negara itu.

Ini disebabkan Chomsky selalu mengkritik dasar luar dan kebijakan kuasa besar itu yang sentiasa menindas. Bahkan kini, kritikan tersebut sudah menjadi semacam trademark bagi Chomsky yang sentiasa berlawanan arah dengan dasar kebijakan luar AS.

Chomsky bahkan berani berhujah untuk membetulkan dasar luar AS yang dilihatnya sentiasa merugikan negara lain.

Antara sekian banyak isu yang melibatkan Amerika yang dikritik oleh Chomsky ialah tentang penggunaan bahasa terorisme dalam perspektif AS. Menurut Chomsky, istilah terorisme pada mulanya bererti tindakan kekerasan dan sadisme untuk menakut-nakutkan. Akan tetapi, dalam kamus negara kuasa besar, terorisme adalah tindakan protes yang dilakukan oleh negara-negara atau kelompok-kelompok kecil. Pembunuhan tiga orang Israel di Lanarca adalah terorisme, sedangkan pembantaian di Sabra dan Satila adalah pembalasan atas tindakan teror.

Begitu juga pembunuhan terhadap orang awam di Afghanistan yang tidak berdosa oleh tentera AS adalah serangan balas, walaupun dilakukan tanpa bukti.

Dalam sebuah bukunya yang menarik, Pirates and Emperors: International Terrorism in the Real World, Chomsky cuba menunjukkan bahawa AS adalah teroris dan penganjur terorisme. Menurut Chomsky, AS tidak pernah henti-henti bergelumang dengan aksi teroris baik ketika menyokong rejim teroris Gracian di Guatemala mahupun melaksanakan aparteid di Afrika Selatan. Begitu juga menyokong terorisme yang berlaku di Israel, sekutu kesayangan Amerika, terhadap rakyat Palestin.

Ironisnya, aksi teror yang dilakukan oleh sekutu Amerika ini tidak dikategorikan sebagai terorisme. Dengan kata lain, sebutan teroris sering merupakan alat untuk menggambarkan lawan politik yang dianggap membahayakan AS. Setelah Rusia jatuh, Amerika memandang Islam sebagai lawan berikutnya.

Noam Chomsky sebenarnya amat prihatin dengan keadaan sebegini. Mengapa? Kerana rasional manusia itu telah dikendalikan oleh kekuatan raksasa AS. Fikiran manusia telah dikuasai melalui penggunaan kata-kata dan pemberian makna-makna tertentu.

Chomsky menyebutnya the American Ideological System, satu sistem yang mampu merancang dan menghasilkan kata-kata dan ungkapan baru yang indah seperti tata dunia baru atau the New World Order. Chomsky juga menyebutnya dengan meminjam istilah George Orwell sebagai Newspeak.

Sejumlah Newspeak telah dirancang untuk membatasi pandangan anda tentang realiti. Sekarang ini, anda mempunyai dua dunia: Dunia yang sebenarnya dan dunia yang terbentuk dalam fikiran anda atau dunia real dan dunia Newspeak. Chomsky telah menghimpun sejumlah kata atau ungkapan yang maknanya telah disimpangkan. Proses perdamaian bererti susulan perdamaian yang ditunjukkan oleh AS.

Susulan usaha perdamaian yang dikemukakan oleh negara-negara Arab apalagi Palestin (betapa pun realistiknya) dianggap sebagai penolakan. Untuk itu diciptakan kata baru buat susulan yang tidak sama dengan susulan Amerika yakni rejectsionisme. Melalui pengendalian makna seperti itu, kita akan bersimpati dengan Amerika yang selalu bersusah payah menciptakan perdamaian. Pada saat yang sama, kita membenci negara-negara Arab yang selalu menolak perdamaian.

Apabila negara-negara Arab mengikut kehendak Amerika, mereka disebut sebagai moderate. Bila mereka menolaknya, mereka tentu saja disebut ekstremis. Tidak hairanlah bila dalam benak anda sekarang, ketika anda merujuk kata ekstremis, anda akan memasukkan ke dalamnya Hamas, Hizbullah, Pertubuhan Pembebasan Palestin, Libya, Iran dan Syria.

Bila beberapa orang Palestin mengarahkan pesawat penumpang ke tujuan tertentu, mereka dikatakan melakukan hijacking, tetapi apabila Angkatan Tentera Laut Israel menambak kapal-kapal kecil milik orang Islam, mereka dikatakan sedang melakukan penangkapan atau interception. Dalam buku ini, Chomsky melaporkan peristiwa-peristiwa penangkapan yang dilakukan oleh Amerika dan Israel. Dan, ternyata hijacking lebih sering dilakukan oleh Amerika dan Israel berbanding dengan negara-negara kecil.

Dalam buku ini, Chomsky secara tegas dan berani menuduh Amerika sebagai kekuatan teroris utama dunia. Melalui permainan bahasa, Amerika sebenarnya menentukan hala tuju dunia menurut kehendak mereka. Tidak hairanlah Chomsky muncul sebagai sosok yang dibenci oleh pemerintah Amerika.

Siapakah sebenarnya Noam Chomsky? Chomsky sebenarnya seorang pakar bahasa atau linguistik yang luar biasa dan mempunyai kelas tersendiri di kalangan intelektual Amerika. Chomsky meraih Ph.D di Universiti Pennsylvannia untuk kajian linguistik, matematik dan falsafah. Kajiannya tentang generative grammar telah meletakkan Chomsky pada kelas tersendiri dalam bidang linguistik. Penemuan itu bermula daripada perhatiannya yang tinggi pada dasar-dasar logik moden dan matematik. Hasil penemuan itu diaplikasikan dalam bentuk deskripsi dalam bahasa-bahasa secara alamiah. Bagi Chomsky, bahasa adalah fenomena generative tinggi yang sifatnya abstrak.

Di Massachusetts Institute of Technology, Chomsky memegang kerusi Ferrari P. Ward untuk bahasa moden dan linguistik. Beliau menerima berbagai penghargaan akademik dari universiti ternama dunia, antaranya, Universiti London (1969), Universiti Chicago (1960), Universiti Oxford dan Universiti California Berkeley.

Kecemerlangannya dalam dunia akademik tidak membuat fikiran-fikirannya terbelenggu dalam lingkungan terbatas. Esei-eseinya yang terkumpul dalam buku American Power and the New Mandarins menjadi sebuah jawapan yang bermakna bagi penentangannya terhadap dasar luar Amerika pada Vietnam.

Kritik yang muncul pada 1965 itu makin meneguhkan sosok Chomsky sebagai penganalisis politik luar Amerika yang bukan saja berani bicara berbeza tetapi juga lantang mengecam setiap kesalahan yang ada.

Kecenderungannya dalam politik juga telah memberi warna tersendiri pada bidang linguistik yang dikuasainya. Sejak kritikannya terhadap pemerintah AS pada tahun 1965, tidak kurang daripada 30 buah buku lahir dari tangannya dengan ragam dan tema yang makin meneguhkan kepakarannya dan kejernihan fikirannya tentang kebijakan dasar luar negara Amerika.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (198801006125) © 2000 - 2025