Artikel

Mengurus Penglibatan Ibu Bapa

oleh Helmi pada 15 Jul 2004

Pendahuluan
Walaupun ibu bapa sedar mereka perlu melibatkan diri dalam persekolahan kanak-kanak bermasalah pembelajaran, namun masih ramai ibu bapa yang tidak memenuhi tanggungjawab itu. Comer (1993) mendapati hanya 1 hingga 5 peratus ibu bapa di Amerika Syarikat terlibat dalam aktiviti persekolahan kanak-kanak. Malah, mengikut Comer lagi, ada di kalangan ibu bapa yang tidak mahu ke sekolah untuk mewakili rakan-rakan mereka yang lain dalam apa saja bentuk aktiviti. Kajian lain melaporkan, daripada 46, 000 pelajar yang disoal selidik di Amerika Syarikat, hanya 26 peratus menyatakan mereka memperoleh sokongan yang kuat daripada ibu bapa mereka dalam aktiviti persekolahan.

Ibu bapa sebenarnya mengetahui pentingnya penglibatan mereka dalam persekolahan anak, tetapi kebanyakan responden masih tidak pasti sama ada mereka terlibat ataupun sebaliknya dalam persekolahan kanak-kanak. Wanat (1997) dalam kajiannya menyatakan daripada 57 responden, hanya 18 peratus menyatakan mereka terlibat, 25 peratus tidak terlibat, 11 peratus menyatakan mereka hanya terlibat di rumah. Hampir setengah ataupun 46 peratus gagal menyatakan sama ada mereka terlibat ataupun tidak dalam persekolahan anak-anak mereka.

Menurut Coots (1998), penglibatan ibu bapa dalam persekolahan kanak-kanak bermasalah pembelajaran adalah perlu kerana golongan ibu bapa adalah golongan yang memiliki banyak kelebihan berbanding guru khas dalam menjalankan fungsi ataupun tanggungjawab pada persekolahan. Guru khas bertugas secara formal dan dibatasi oleh faktor-faktor seperti masa, tempat dan peraturan. Manakala ibu bapa berhubung secara tidak formal dan mempunyai peluang lebih luas melibatkan diri dalam persekolahan.

Konsep Penglibatan
Konsep penglibatan ibu bapa seperti yang dipaparkan dalam beberapa penyelidikan dalam tahun 90-an menampakkan beberapa bentuk penglibatan. Angkubah-angkubah seperti persepsi, sikap, interaksi, faktor latar belakang dan ciri kanak-kanak itu sendiri banyak digunakan ketika menentukan penglibatan ibu bapa dalam persekolahan anak.

Coots (1998) dalam kajiannya menyatakan status kanak-kanak, kepercayaan dan sosioekonomi, sikap dan persepsi ibu bapa kepada sekolah adalah faktor utama menentukan penglibatan mereka di sekolah. Menyorot pada kajian lepas, Grossman, Osterman dan Schmelkin (1999) masih tidak dapat menentukan penglibatan ibu bapa di sekolah. Walau bagaimanapun kajian mereka merumuskan sumber keluarga, kepercayaan dan status ekonomi, status anak, sikap dan persepsi ibu bapa terhadap sekolah adalah penyumbang utama bagi ibu bapa dalam melibatkan diri mereka di sekolah. Seterusnya mereka mendapati ibu bapa mempunyai sikap positif untuk terlibat dalam aktiviti-aktiviti yang dilakukan di sekolah. Walau bagaimanapun guru-guru tidak menampakkan kesungguhan dalam menggalakkan ibu bapa melibatkan diri di sekolah.

Penglibatan ibu bapa dapat dibahagikan kepada tiga peringkat iaitu penglibatan di rumah, penglibatan di sekolah dan kedua-duanya. Di rumah ibu bapa dapat mengawasi kerja rumah anak yang diberi oleh guru. Di sekolah, ibu bapa membuat temu janji dengan guru khas bagi membincangkan pelajaran si anak, menghadiri mesyuarat, membuat keputusan, meneliti rancangan dan memeriksa rekod anaknya yang disimpan di sekolah. Ibu bapa juga berhak membantah mana-mana catatan yang dianggap tidak sepatutnya disertakan dalam rekod berkenaan.

Seterusnya ibu bapa juga dipelawa ke sekolah memberi sumbangan mengajar anak mereka membaca misalnya dalam kelas seterusnya menyambung aktiviti itu di rumah. Sejauh manakah kemampuan ibu bapa memberi pengaruh yang positif pada anak ini perlu dikaji dengan lebih mendalam supaya ibu bapa mendapat gambaran yang lebih jelas peranan mereka.

Faktor Penglibatan
Antara faktor yang dikenal pasti adalah seperti berikut:

Umur
Umur mempengaruhi penglibatan ibu bapa baik di rumah ataupun di sekolah. Semakin tinggi umur seseorang ibu ataupun bapa, semakin banyak ibu ataupun bapa itu memikirkan pembelajaran anaknya dan semakin rapat hubungannya dengan kegiatan anak. Walau bagaimanapun ibu bapa yang tua sedar sumbangan, pengetahuan dan kemahiran mereka tidak lagi dihargai. Mereka juga didapati kurang aktif dalam hal persekolahan anaknya. Mereka lebih terlibat dalam hal keagamaan dan kebajikan diri sendiri dan komuniti.

Bilangan anak
Bilangan anak yang ramai menghalang ibu bapa memberi tumpuan yang sama rata kepada anak. Semakin ramai bilangan anak, semakin kurang penglibatan ibu bapa dalam aktiviti pembelajaran. Ini kerana mereka terpaksa memikirkan pembahagian masa yang lebih dalam hal mencari sumber rezeki untuk anak-anak yang ramai. Dalam hal ini, bapa didapati lebih komited kepada kerja berbanding persekolahan anak. Walau bagaimanapun bapa yang mempunyai anak yang tidak ramai didapati lebih bertanggungjawab dalam persekolahan anaknya.

Pendapatan
Menurut Teori Keperluan Maslow, keperluan fisiologi seperti makanan, pakaian dan tempat kediaman perlu dipenuhi terlebih dahulu sebelum individu itu dapat memenuhi keperluan-keperluan lain seperti melibatkan diri secara aktif di sekolah dan sebagainya. Penglibatan ibu bapa tidak bermakna sekiranya tidak mendapat sokongan terutama daripada segi kewa-ngan dan kebendaan. Banyak kajian lepas yang mendapati faktor ekonomi keluarga memberi kesan pada peranan ibu bapa dalam persekolahan anak (contoh Troph,1984: Furstberg dan Nord, 1985: Noraini, 1994). Ini jelas menunjukkan faktor ekonomi keluarga mempunyai pengaruh yang amat penting menentukan penglibatan ibu bapa di sekolah.

Walaupun kadar kemiskinan di Malaysia secara keseluruhannya berkurangan daripada 42.4 peratus pada tahun 1976 kepada 17.5 peratus pada tahun 1990 (Rancangan Malaysia Ketujuh, 1996) namun kekayaan yang dinikmati oleh satu-satu keluarga masih tertumpu kepada beberapa golongan keluarga.

Abdul Rahman (2000) menyatakan bagi golongan kelas menengah rendah ataupun kelas menengah bawahan yang berpendapatan bulanan sebanyak RM2000 ke bawah sebulan, sebahagian mereka tidak memiliki rumah dan tekanan ekonomi ke atas kehidupan mereka amat berat.

Keluarga yang mempunyai rumah mempunyai kesan pada perkembangan kanak-kanak terutama meningkatnya masalah hubungan dengan rakan sebaya, akademik dan kehadiran di sekolah (Heflin dan Rudy, 1991). Bagi mereka yang mempunyai rumah tetapi sesak terutama apabila bilangan ahli dalam keluarga ramai dan pendapatan terhad, ibu bapa tidak ada masa hendak memikirkan bagaimana dan bila mereka akan melibatkan diri dalam persekolahan kanak-kanak. Kurangnya perhubungan ibu bapa dengan anak-anak boleh menyebabkan kurangnya galakan dan rangsangan ibu bapa ini ke atas anak-anak mereka.

Di US, kebanyakan kanak-kanak yang menerima program pendidikan khas terdiri daripada keluarga yang mempunyai pendapatan $25,000 ke bawah setahun. Dianggarkan 25 peratus kanak-kanak di Amerika Syarikat hidup dalam kemiskinan. Keadaan menjadi bertambah buruk apabila 25 peratus daripada kanak-kanak itu adalah di bawah umur 6 tahun (Children’s Defense Fund, 1996). Kebanyakan keluarga daripada golongan ini tidak berminat berbincang ataupun mengambil tahu pergolakan ataupun perkembangan dalam pendidikan khas di sekolah.
Kemiskinan juga mempengaruhi sajian makanan yang dimakan (Sherman, 1994). Ibu bapa yang miskin mempunyai sajian makanan yang tidak seimbang dengan kadar protein yang tidak mencukupi. Protein amat penting bagi pertumbuhan mental seseorang, terutama dalam masa dua tahun pertama pertumbuhan. Kekurangan protein di peringkat ini menyebabkan pertumbuhan otak menjadi terbantut. Selain itu kanak-kanak yang datang daripada keluarga miskin turut menggambarkan kurangnya bahan-bahan bacaan dan rangsangan lain bagi meningkatkan kemahiran asas 3M selain peluang melawat ke tempat-tempat lain adalah kurang serta tidak mampu membeli komputer.

Jenis pekerjaan
Bapa sering dikaitkan dengan tugas mencari rezeki dalam sesebuah keluarga. Bapa yang terpaksa meninggalkan rumah disebabkan oleh tugas tidak mampu melibatkan diri sepenuhnya dengan program-program yang dijalankan oleh pihak sekolah. Menurut Lareau (1989), status pekerjaan ibu bapa didapati mempunyai kaitan dengan tahap penglibatan mereka di sekolah. Ini menunjukkan status pekerjaan ibu bapa turut mempengaruhi penglibatan mereka di sekolah. Ibu bapa yang terikat dengan masa kerja didapati lebih sukar menghadiri sebarang aktiviti persekolahan anak. Walau bagaimanapun ini tidak bermakna mereka langsung tidak memperuntukkan masa untuk pendidikan anaknya.

Ibu bapa yang bertanggungjawab selalu memikirkan masa terbaik untuk anaknya, mengikuti setiap perkembangan dan meneliti keperluan pembelajaran yang mesti dipenuhi. Penglibatan secara langsung di rumah seperti melihat kerja sekolah yang diberi oleh guru selain membantu menyelesaikan kerja sekolah itu dikira sebagai penglibatan akademik anak.

Ibu bapa dikehendaki melibatkan diri dalam kewajipan pada pembelajaran seperti menyiapkan kerja sekolah, menyiapkan kelengkapan sekolah, kewajipan berkomunikasi dengan guru: kewajipan membantu guru dan pelajar belajar seperti lawatan, membantu mentadbir perpustakaan, menambah tabung kewangan, hubungan komuniti, kesedaran politik dan program pembangunan sekolah, dan kewajipan menyertai kumpulan pembuat keputusan pentadbiran dan undang-undang.

Walaupun bagaimanapun, penglibatan ibu bapa di sekolah menunjukkan perkembangan yang dapat meningkatkan kerjasama ibu bapa dan guru. Di Malaysia sebarang kenyataan ataupun statistik mengenai penglibatan ibu bapa dalam aktiviti yang dijalankan di sekolah tidak diperoleh.

Pendidikan bapa
Penglibatan bapa pada persekolahan anak turut dipengaruhi oleh tahap pendidikan ibu bapa. Pendidikan yang tinggi mendorong bapa menjawat jawatan yang tinggi setara dengan kelayakan yang ada. Mereka terpaksa bertungkus lumus dan mengejar segala peluang yang ada untuk mengejar status hidup. Peruntukan masa untuk pihak sekolah bagi membincangkan pelaksanaan RPI menjadi terbatas. Pengabaian tanggungjawab ke atas anak istimewa berlaku secara tidak disedari. Mereka menyerahkan segala-galanya yang berhubung dengan pelajaran anak-anak mereka kepada guru dan sekolah.

Ibu bapa yang tidak berpendidikan tinggi hanya berpengetahuan menyekolahkan anak dan melepaskan diri daripada tanggungjawab penjagaan di rumah yang panjang. Mereka kurang memberi kerjasama pada guru-guru di sekolah sekiranya diperlukan oleh guru. Tahap pendidikan yang rendah sering dikaitkan dengan status pekerjaan yang rendah juga. Ibu bapa yang berpendidikan rendah biasanya mempunyai persepsi yang negatif pada sekolah. Ini berlaku disebabkan pengalaman mereka semasa zaman persekolahan dahulu. Umpamanya ibu bapa yang pernah didenda oleh guru pada zaman persekolahannya didapati kurang menunjukkan komitmen kepada sekolah. Ini semata-mata hanya dipengaruhi oleh pengalaman bapa itu semasa persekolahannya yang secara tidak langsung memberi kesan yang negatif pada persekolahan anaknya.

Pengetahuan bapa
Perasaan ibu bapa kepada kanak-kanak bermasalah pembelajaran berkait rapat dengan banyak manakah pengetahuan ibu bapa mengenai kanak-kanak bermasalah pembelajaran, program di sekolah, guru khas dan bentuk pengajaran yang digunakan.

Ibu bapa memerlukan maklumat yang terperinci mengenai keistimewaan yang bakal anak peroleh, maklumat penggunaan RPI, maklumat penggunaan alatan khas, maklumat pengurusan tingkah laku, agensi yang dapat memberi latihan dan maklumat yang sesuai untuk anak-anak mereka. Pengetahuan bapa mengenai keperluan persekolahan anak akan menarik minat mereka supaya lebih terlibat dalam pendidikan ini.

Anak
Seperti yang dijelaskan masalah pembelajaran adalah gangguan minimum pada sistem saraf deria ataupun saraf otak yang meng-ganggu prestasi normal individu dalam pembelajaran, khususnya pada aspek penanggapan, pengkonsepsian, pembacaan, bahasa dan bermatematik. Bapa berperanan memberikan rangsangan dan menyediakan persekitaran yang sihat bagi pertumbuhan dan perkembangan anak-anak. Justeru itu, bapa dikehendaki juga terlibat dengan program-program yang dianjurkan oleh sekolah bagi meningkatkan perkembangan kanak-kanak itu. Ini kerana kanak-kanak bermasalah pembelajaran yang diabaikan akan membentuk sikap-sikap liar, nakal dan tidak mempunyai disiplin pada diri mereka. Keadaan ini menjejaskan pembelajaran, keluarga dan masa depannya.

Banyak kajian yang mendapati faktor anak seperti umur dan tahap kecergasan minimum memberi kesan pada penglibatan bapa dalam persekolahan anak sehingga mengganggu fungsi keluarga. Selain itu jantina anak juga mempunyai kaitan dengan peranan bapa di mana bapa didapati lebih suka kepada anak lelaki berbanding anak perempuan.
Faktor Psikologikal

Interaksi
Interaksi yang berkesan adalah interaksi yang merapatkan hubungan antara bapa dengan guru, sama ada bersifat verbal ataupun tidak. Walau bagaimanapun, interaksi yang berkesan kurang dipraktikkan oleh bapa kerana mereka sibuk dengan tugas harian di samping itu keadaan diri mereka sendiri yang bersikap tidak mengambil peduli ataupun menyedari cara interaksi berkenaan. Ini menyebabkan mereka sering melakukan kesilapan ketika berinteraksi dengan guru-guru khas. Antaranya kurang menjadi kawan kepada guru, menegur secara negatif dan enggan berbincang.

Persekitaran rumah yang disediakan untuk anak seharusnya berkualiti bagi memastikan ia memberi kesan yang positif kepada pembelajaran anak-anak. Persekitaran rumah ini dipengaruhi juga oleh ciri-ciri yang terdapat pada bapa, kanak-kanak dan perhubungan antara kedua-duanya.

Persepsi
Pengalaman yang dilalui oleh ibu bapa kanak-kanak istimewa adalah kurangnya sokongan dan nasihat daripada kaum keluarga, sahabat dan masyarakat untuk berbincang mengenai kanak-kanak istimewa. Salah tafsir ibu bapa mengenai masalah itu mendorong bapa mempunyai persepsi yang sama kepada sekolah. Justeru, mereka tidak berhubung dengan guru khas dan tidak bersedia menyelesaikan kesulitan anak mereka. Sistem pendidikan yang juga sering mengadakan maklumat yang tidak jelas sekali gus menambah persepsi bapa yang salah terhadap sekolah.

Selain itu ada di kalangan bapa yang memberi pandangan mereka kepada sekolah berdasarkan pengalaman mereka yang lepas. Pengalaman semasa mengalami proses pembelajaran yang negatif turut mendapat reaksi yang negatif di kalangan ibu bapa ini. Dalam hal ini para bapa perlu membuka minda masing-masing. Persepsi yang negatif mendorong kepada implikasi yang negatif juga pada penglibatan bapa itu dalam persekolahan anaknya.

Sikap
Sikap mempunyai kaitan yang signifikan dalam menjayakan aktiviti-aktiviti dan program di sekolah khas bermasalah pembelajaran khususnya RPI. Sikap yang ditunjukkan oleh bapa kepada pekerjaan, anak, guru dan pentadbir mendatangkan kesan kepada pembelajaran anak-anak. Bapa seharusnya menunjukkan sikap yang bersesuaian kerana ia dapat dikaitkan dengan faktor penggalak dan berkesan dalam mempengaruhi keinginan kanak-kanak belajar. Sikap bapa dapat memberi kesan yang kuat bagi meningkatkan potensi dan pembelajaran anak.

Sikap yang realistik ke atas kanak-kanak terutamanya oleh bapanya membantu meningkatkan pencapaian akademik anak-anak mereka. Sungguh pun demikian, bapa perlu berhati-hati supaya tidak meletakkan harapan yang terlalu tinggi ataupun terlalu rendah kepada anak-anak mereka. Di samping itu, kepercayaan bapa turut mempengaruhi tindakan mereka kepada kanak-kanak. Ini menyebabkan perubahan dalam kepercayaan kanak-kanak dan seterusnya mempengaruhi tingkah laku kanak-kanak dalam pembelajaran mereka di sekolah dan di rumah.

Penglibatan dalam Rancangan Pendidikan Individu (RPI)
Polisi Rancangan Pendidikan Individu (RPI) menggalakkan penglibatan ibu bapa. RPI adalah rancangan pengajaran bertulis yang disediakan khusus untuk setiap pelajar. Ia mengandungi garis panduan yang dibentuk khusus bagi mendidik kanak-kanak istimewa ini menguasai kemahiran asas pembelajaran. RPI mengandungi komponen seperti tahap pencapaian terkini, tahap kefungsian kanak-kanak daripada segi mental, fizikal, emosi, sosial, aspek-aspek lain yang berkaitan dengan pendidikannya, matlamat jangka panjang dan pendek, struktur perkhidmatan pendidikan dan sokongan, penilaian dan tindakan susulan.

Berdasarkan komponen RPI itu, kejayaan RPI yang dijalankan di kelas khas bermasalah pembelajaran bukan hanya bergantung kepada kecekapan dan ketabahan guru khas semata-mata, malah merangkumi kerjasama dan penglibatan ibu bapa itu sendiri. Ibu bapa mesti memberi sumbangan yang wajar dan memainkan peranan masing-masing menyokong usaha guru khas dan bukannya secara pasif. Ini bermakna bagi menentukan kejayaan RPI dan menentukan kejayaan pembelajaran kanak-kanak bermasalah pembelajaran, ianya perlu dikongsi bersama.

Konsep perkongsian dapat diaplikasikan melalui proses perbincangan terutama dalam mencari formula meningkatkan pencapaian 3M. Sejauh mana kemampuan perkongsian itu dapat bertahan, ianya banyak bergantung kepada cara RPI dan ahli anggotanya mengendalikan RPI itu. Sekiranya pihak sekolah memandang perkongsian sebagai perkara yang global tanpa ada sekatan dan perlu diambil berat, ianya dapat berjalan dengan baik. Jika sebaliknya iaitu terlalu rigid dan tidak pernah mengambil kira pandangan ibu bapa, perkongsian tetap gagal (Dryfoos, 1994). Pendek kata, perkongsian mesti dijalankan secara tulus dengan melibatkan penyertaan kedua belah pihak iaitu ibu bapa dan guru.

Bagi ibu bapa yang melibatkan diri dalam aktiviti persekolahan, kanak-kanak akan melihatnya sebagai pendorong dan pengukuh kepada kejayaan pembelajaran. Dorongan dan pengukuhan yang banyak dan kuat menghasilkan kanak-kanak yang berani mengambil risiko melalui percubaan dan kesilapan yang dilakukan, walaupun pada peringkat awalnya kanak-kanak bermasalah pembelajaran melalui kesukaran menguasai kemahiran yang diberi. Ibu bapa menjadi jurutunjuk dalam membantu anak-anak mencapai kejayaan. Sikap terbuka ini secara tidak langsung memberi semangat kepada anak-anak terus mencuba yang akhirnya menjadi orang yang kreatif dan berjaya. Apabila ibu bapa mengambil kira pendapat ataupun pandangan kanak-kanak dan membenarkan mereka menyatakan perasaan dan pemikirannya, kanak-kanak itu merasakan diri mereka penting dan dihargai seterusnya membentuk estim diri yang baik dalam diri dan berkeyakinan apabila melakukan apa saja aktiviti.

Dapat dirumuskan penglibatan ibu bapa dalam persekolahan kanak-kanak adalah dengan menyediakan persekitaran yang memberangsangkan, memberi sokongan dan seliaan, menentukan jadual menonton televisyen, memastikan kerja rumah dapat disiapkan, melibatkan diri dalam aktiviti pembelajaran di rumah, menekankan keupayaan mendidik serta meningkatkan latihan keibubapaan. Pendek kata, penglibatan ibu bapa umpama suatu prinsip kepada ibu bapa, iaitu apabila kanak-kanak bersekolah ibu bapa tidak harus lepas tangan. Ibu bapa harus terlibat secara langsung dengan meminta kanak-kanak melakukan tugasan yang diberi secara aktif menerusi aktiviti yang berkait rapat dengan apa yang diajari oleh guru khas di sekolah. penglibatan seperti ini memberi kanak-kanak kefahaman yang lebih baik, di samping memberi bimbingan yang nyata kepada kanak-kanak itu bagaimana menguasai kemahiran asas membaca.

Hubungan Ibu Bapa dan Sekolah dalam RPI
Ibu bapa mempunyai peranan yang penting kepada pembangunan pendidikan anak. Ini bermakna hubungan ibu bapa dengan pihak sekolah selain membantu anak di rumah dalam hal persekolahan anak, mereka dapat membantu ke arah pendidikan yang lebih baik di kalangan anak-anak ini.

Di sekolah khas, penglibatan ibu bapa amat diperlukan sebagai sokongan pada pencapaian akademik anak-anak mereka. Peranan yang dimainkan oleh para bapa terutamanya, memberi erti yang begitu besar pada pembentukan estim diri di kalangan pelajar seterusnya berupaya membantu daripada segi pencapaian akademik pelajar berkenaan. Dalam kaedah menggalakkan penglibatan ibu bapa dalam program berbentuk sokongan ini, pihak sekolah khas membentuk program yang dikenali sebagai Rancangan Pendidikan Individu (RPI).

Dalam program ini, para ibu bapa amnya digalakkan supaya melibatkan diri bagi memberi sokongan kepada pihak sekolah, seterusnya membantu anak mereka meningkatkan lagi prestasi akademik. Salah satu matlamat RPI adalah sokongan yang diperlukan di kalangan ibu bapa supaya melibatkan diri, di mana penglibatan ini memberi faedah kepada ibu bapa dan pelajar itu sendiri sekiranya ia dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh para ibu bapa itu.

Terdapat analisis daripada beberapa kajian menyatakan RPI itu sendiri dilaksanakan tidak seperti yang dirangka. Ianya tidak lengkap, tidak efektif dan banyak kesilapan. Misalnya, objektif yang ada dalam RPI tidak jelas dan tidak sesuai. Guru tidak merekodkan objektif yang sempurna dan secara umumnya pengawalan usaha adalah kurang. Ada antara RPI itu tidak mengikut prosedur yang ditetapkan, termasuklah tidak mempunyai matlamat yang jelas, hanya sedikit objektif yang ditentukan tercapai dan beberapa kesilapan berhubung dengan pencapaian kanak-kanak itu sendiri dengan matlamat jangka panjang RPI itu. Turut dipertikaikan adalah tentang kebolehpercayaan, ketepatan dokumen dan kesinambungan proses RPI yang dijalankan.

Sehingga keutuhan kajian diperoleh, RPI masih dilaksanakan oleh guru khas di sekolah-sekolah. Ini kerana RPI berjaya menghubungkan ibu bapa dan guru Walaupun tidak ada suatu kaedah pun yang dikatakan sesuai untuk kanak-kanak bermasalah pembelajaran meningkatkan pencapaian akademik mereka (Deno, 1990: Green & Shinn, 1994, Kavale, 1990) namun RPI membuktikan banyak manfaat sekiranya dilaksanakan dalam pendidikan khas dan memberi banyak perlindungan kepada kanak-kanak istimewa yang memerlukan pendidikan. Ini bermakna RPI adalah program terbaik dalam pengajaran dan pembelajaran kanak-kanak bermasalah pembelajaran.

Satu perkara yang jelas dalam program RPI ini adalah kebanyakan program RPI yang dirancang menunjukkan kesan yang baik dan berpanjangan apabila ianya mendapat sokongan daripada pihak ibu bapa. Seperti yang dimaklumi, ibu bapa adalah guru yang terdekat dalam kehidupan anak-anak. Mereka yang membentuk sikap-sikap asas, semangat berusaha dan pandangan pada diri kanak-kanak yang masih kecil. Kegagalan ibu bapa mendidik anak-anak sering dikaitkan dengan kegagalan dalam pencapaian akademik. Di sinilah letaknya tugas dan tanggung-jawab ibu bapa sebagai individu yang memainkan peranan penting memberikan pendidikan kepada anak-anak. Pendek kata, “….ibu bapa mestilah mempunyai motivasi tinggi dan menyediakan keperluan kanak-kanak bermasalah pembelajaran”.

Tidak diragukan lagi, banyak faedah dapat diperoleh daripada RPI. Sekurang-kurangnya ibu bapa dan guru dapat berbincang mengenai perkara-perkara biasa serta mengawasi perkembangan kemajuan akademik anak mereka. Pakatan terperinci dan spesifik ini hanya dapat memberi faedah kepada kanak-kanak. Tetapi tidak seperti yang kita lihat, ia kelihatan lebih sukar dibuat untuk menjadi fleksibel dan pemusatan kepada kanak-kanak bagi mencapai tujuan pemahaman individu.

Penutup
Penglibatan bapa dalam persekolahan anak sememangnya menguntungkan banyak pihak sama ada sekolah, ibu bapa seterusnya pelajar itu sendiri. Hubungan yang baik antara ibu bapa dan pihak sekolah memberi kesan yang positif pada tingkah laku serta pencapaian akademik anak. Selain itu suatu kajian di Amerika oleh Metropolitan Life pada tahun 1987 turut mendapati hal yang sama di mana 77% daripada responden kajiannya yang terdiri daripada kalangan ibu, bapa dan guru menyatakan hubungan antara kedua-duanya adalah baik dan amat diperlukan. Selain itu 60% daripada mereka juga berpendapat hubungan yang wujud antara mereka dapat memberi sokongan antara satu sama lain.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024