Artikel
Menjawab Persoalan Penting Ummah: Fatwa Untuk Wanita
oleh Amiratul Awatif Ghazali pada 07 Jan 2014
“Sesiapa yang beramal soleh daripada lelaki ataupun perempuan, sedangkan dia beriman, sungguh, Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik. Sesungguhnya Kami akan membalas mereka dengan pahala yang lebih baik daripada apa yang mereka sudah kerjakan.” (Surah An-Nahl, ayat 97)
Buku Fatwa untuk Wanita adalah hasil terjemahan daripada buku asal Dr. Yusuf Al-Qaradhawi.
Ia menghimpunkan beberapa fatwa yang menjawab persoalan penting yang dilontarkan oleh golongan wanita dan lelaki.
Bahan bacaan ini juga menjawab persoalan daripada individu yang prihatin terhadap agama, keredhaan Tuhan, serta pengetahuan berkenaan halal dan haram.
Dengan berpandukan Al-Quran dan sunnah, fatwa ini dikeluarkan bagi menjaga maqasid syariah demi kemaslahatan ummah.
Apabila membaca buku ini, kita akan mendapat jawapan terhadap persoalan-persoalan berikut:
- Adakah suara wanita itu aurat sebagaimana pendapat sebahagian daripada ulama?
- Apakah hukum lelaki melihat wanita dan hukum wanita melihat lelaki?
- Apa hukum ikhtilat, iaitu pergaulan antara lelaki dan perempuan? Adakah semua jenis ikhtilat hukumnya haram?
- Apakah yang dimaksudkan oleh Islam dengan berhati-hati daripada terjebak ke lembah fitnah wanita dan adakah wanita begitu berbahaya kepada golongan lelaki?
- Apakah hukum lelaki memberi salam kepada wanita, terutamanya antara mereka yang mempunyai hubungan seperti jiran, guru, ataupun sahabat?
- Apakah hukum wanita menziarahi lelaki dan lelaki menziarahi wanita yang bukan mahram ketika sakit?
- Apakah hukum bersalaman antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram, sekiranya dalam keadaan terdesak dan selamat daripada fitnah?
- Apakah hukum dan syarat-syarat sekiranya wanita bekerja di luar rumah?
Buku ini menggunakan konsep soal jawab yang mudah difahami, santai, dan ringkas. Jawapan yang diberikan adalah menggunakan dalil yang sahih dan disepakati oleh ulama.
Ia sangat sesuai dimiliki oleh semua golongan sama ada lelaki ataupun perempuan.