Artikel

Menyingkap Rahsia: 7 Keajaiban Surah Al-Baqarah

oleh Muhamad Syarafuddin Sulaiman pada 23 Oct 2014

Tahukah kita apakah surah terpanjang dalam Al-Quran?

Sesuai dengan reviu buku 7 Keajaiban Surah Al-Baqarah, tentulah jawapannya ada kaitan dengan Surah Al-Baqarah. Dalam buku ini, bukan sahaja fakta-fakta trivial seperti Al-Baqarah sebagai surah terpanjang, dihidangkan.

Ada banyak lagi.

Kelebihan utama buku ini adalah ia bertindak sebagai bahan penting dalam memahami surah Al-Baqarah. Dengan ayat-ayat daripada surah Al-Baqarah di-highlight secara jelas dalam kotak, mudah untuk kita mula memahami surah Al-Baqarah dalam konteks yang jauh lebih luas, melebihi daripada sekadar membaca teks Arab, mahupun maknanya semata-mata.

Dalam perkataan Dr. Danial Zainal Abdin, 7 Keajaiban Surah Al-Baqarah “menekankan tentang kefahaman Al-Quran, khususnya surah Al-Baqarah dan kefahamanlah yang perlu kita fokuskan pada hari ini.”

Selain mengetengahkan penjelasan yang terperinci, namun mudah difahami dan menggunakan bahasa yang ringkas, 7 Keajaiban Surah Al-Baqarah juga membawakan kepada kita secara langsung mukjizat-mukjizat yang wujud dalam Surah Al-Baqarah. Mukjizat ini tidak kira daripada aspek bahasa, sains, mahupun pelbagai lagi.

Sebagai bonus, penulis memetik doa-doa terpilih yang wujud dalam surah Al-Baqarah dan kemudiannya dimuatkan dalam naskhah ini. Bukan sahaja doanya lengkap dengan teks Arab dan makna, doa yang dimuatkan juga datang dengan huraian.

Sejujurnya, ini memang sebuah naskhah penting supaya kita tidak lagi sekadar mengaji, bahkan mampu mengkaji.

 

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024