Artikel

Rahsia Jodoh: Bagaimana Akhirnya Aku Bernikah

oleh Muhamad Syarafuddin Sulaiman pada 24 Oct 2014

Bahruddin Bekri jarang mengecewakan. Membawakan cerita-cerita penuh makna sejak buku seperti Lelaki Berkasut Merah, Penulis yang Disayang Tuhan dan pelbagai lagi, kisah yang dirakam beliau selalu membuai, serta menarik.

Kali ini, Bagaimana Akhirnya Aku Bernikah membawakan himpunan kisah inspirasi dalam tema jodoh. Dalam kata penulis, ini adalah kisah inspirasi daripada pelbagai jenis manusia yang mencari rahsia Tuhan yang paling manis. Jodoh itu, kata Bahruddin Bekri, adalah rahsia Tuhan. Dan ia rahsia yang manis.

Bukunya juga cantik. Aturan grafik di dalamnya romantis dengan bunga-bunga dan tulisan berwarna merah jambu serta hijau lembut.

Dalam novel ini, ada pelbagai kisah. Ada kisah perempuan baik yang patah hatinya, ada kisah lelaki yang terkenang dosa silam, ada kisah orang yang perlu menanggung keluarga, ada cerita insan yang berasa wajahnya tidak cantik, ada pula yang sudah tidak percaya kepada cinta, dan segala macam cerita serta kisah lagi, yang membuatkan jodoh itu awalnya, terasa jauh daripada mereka.

Seronoknya naskhah ini adalah pada ‘twist’-nya. Rahsia Tuhan, siapa yang tahu? Soal jodoh yang datang kepada siapa yang mencari dan kepada yang yakin bahawa pada ketika ini, pada saat ini, jodohnya berada di belahan dunia yang lain, tetapi Tuhan belum mempertemukan mereka, kerana mereka sedang diuji.

Indahnya naskhah ini adalah pada nilai harapan yang sentiasa hadir dalam tulisan yang dihidang. Pahit dan pedih, bukan tiada makna. Kerana manisnya berdua, tidak akan terasa, sekiranya sebelum ini tidak diuji dengan pahitnya sepi.

 

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024