Artikel

Mimpi Seram : Lembaga Kerusi Belakang

oleh Chayu Afifi Noordin pada 12 Jan 2016

Latihan matematik, kerja sekolah serta buat nota, memang tidak disukainya. Sanggup didenda, dihalau dari kelas dan dijerkah garang.

Nadiya memang sudah lali sangat dengan semua itu.

Watak Nadiya seperti watak dalam cerita kartun ‘Chibi Maruko Chan’ iaitu  Maruko. Ya, seperti Maruko yang malas membuat kerja sekolah, tidak minat belajar dan juga nakal.

Mesti adik-adik dapat bayangkan watak Nadiya seperti mana bukan?

Tapi kelainan dalam cerita Lembaga Kerusi Belakang adalah kisah cerita seram. Lembaga Kerusi Belakang adalah kisah seorang gadis tingkatan tiga yang sering tidak menyiapkan kerja sekolah.

Hampir setiap hari didenda guru dan ditertawakan oleh rakan-rakan sekelasnya. Namun, nasib Nadiya Risa berubah apabila sebuah kelas itu ada sebuah meja berkerusi biru yang mampu menunaikan sebarang hajat.

Lalu Nadiya Risa mencuba nasib. Diletakkan buku latihan matematik di meja berkerusi biru. Biar siap segala kerja sekolah tanpa perlu bersusah payah.

Siapa sangka, pelik bin ajaib. Esoknya semua siap terisi tanpa Nadiya Risa perlu bermata panda dan pecah kepala. Nadiya Risa semakin senang hati.

Namun, kebahagiaan Nadiya hanya sementara. Rupanya, lembaga penjaga meja biru mula menghantui Nadiya setelah hajat Nadiya dimakbulkan olehnya. Nadiya sering terlihat lembaga mengekori dirinya.

Telinga disapa bisikan memanggil namanya. Meja biru itu mula beralih tiba-tiba. Siapakah lembaga tersebut dan apa yang akan terjadi kepada Nadiya?

Kisah ini akan membuatkan bulu roma berdiri, pada masa yang sama membuatkan kita menginsafi hakikat yang sering kali dilupa oleh insani.

Jangan pernah meminta bantuan selain daripada Tuhan kerana itu syirik namanya. Mohonlah segalanya pada Tuhan Pencipta setelah kita berusaha sehabis baik dalam yang dikerjakan.

Pasti akan berjaya dunia dan akhirat.

Baca dan dapatkan jawapannya dalam novel seram Lembaga Kerusi Belakang. Semoga tidak mimpi seram ya.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024