Artikel

Model-model Bacaan

oleh Helmi pada 20 Jul 2004

MODEL bacaan adalah teori yang melibatkan idea atau pandangan dalam proses membaca yang digunakan oleh pembaca yang berbeza. Model-model yang utama dalam membaca adalah dalam proses pembacaan. Terdapat beberapa model atau teori yang berkaitan dengan membaca yang dikemukakan. Konsep model membaca adalah berkaitan dengan cara yang dilakukan oleh seseorang pembaca semasa membaca dalam usaha mendapatkan makna daripada teks yang dibaca. Usaha secara grafik menggambarkan cara memahami perkataan, memproses klausa dan memahami teks.


Jenis-jenis Model Bacaan
Terdapat tiga model utama dalam membaca teks. Model-model ini dikemukakan oleh ahli dalam bidang bacaan dan sering dirujuk bagi menunjukkan proses dalam pembacaan itu sendiri.

Model atas-ke-bawah (Top-down model)
Model bacaan ini berasaskan model psikolinguistik oleh Goodman (1967,1970) dan Smith (1971, 1978). Model ini memfokuskan peranan pembaca dan bacaannya yang bersifat linear tetapi bergerak daripada atas ke bawah. Pembaca memainkan peranan utama semasa memahami teks yang dibaca. Pembaca menggunakan pengetahuan bahasa bagi meramalkan teks dan mengurangkan kebergantungannya pada cetakan teks dan bunyi bahasa. Pembaca terlibat dalam suatu pusingan yang bermula dengan pembentukan hipotesis yang berkaitan makna dan kemudian memberikan contoh hipotesis itu membuat pengesahan ataupun tidak mengesah-kan hipotesis itu sebelum membuat semakan atau membetulkan mana yang perlu. Oleh kerana pembaca mengambil sampel kiu tekstual bagi mengesahkan ataupun menolak hipotesis, membaca dikatakan sebagai psikolinguistik permainan tekaan.

Peranan utama pembaca adalah mengawal keseluruhan maklumat visual dan bukan visual semasa membaca. Maklumat visual merujuk kepada bahan bercetak manakala maklumat bukan visual merujuk kepada pemahaman bahasa yang berkaitan dengan pengetahuan kandungan dan kebolehan membaca secara umum. Lebih banyak pembaca memahaminya semakin kurang keperluan mendapatkan maklumat dan begitulah sebaliknya. Oleh yang demikian, apabila pembaca membaca teks, maksud dan jangkaan pembaca dapat membantu menghuraikan anggapan maklumat yang dibaca sama ada dalam bentuk visual ataupun bukan visual.

Kedua-dua jenis maklumat itu boleh saling bertukar ganti antara satu dengan yang lain. Pembaca yang menggunakan pengetahuan lalu kurang bergantung kepada teks. Dengan membawa lebih banyak pengetahuan lalu dalam proses membaca, pembaca memperoleh jawapan pada soalan dan jangkaan berkenaan teks dengan memilih kiu bahasa yang paling produktif di dalam teks. Soalan dan jangkaan dapat dijawab dengan memuaskan, pembaca dikatakan sudah memahami teks.

Walau bagaimanapun, dalam membaca bahasa kedua, terdapat juga kelemahan dan batasannya. Sebagai contoh, penekanan secara tunggal dalam membuat ramalan yang dibuat semasa membaca mengelirukan pembaca. Kajian menunjukkan pembaca yang baik mendapat maklumat visual dengan tepat dan cepat sementara pembaca yang lemah membaca dengan menggunakan strategi membaca tahap tinggi (Devine, 1988). Sementara itu, pembaca yang ber-gantung hanya berasaskan jangkaan ke atas pengetahuan lalunya mungkin membina makna yang mempunyai hubungan yang sedikit dengan makna pengarang. Keadaan ini mempengaruhi pemahaman teks yang dibaca (Campbell & Malicky, 2000).

Pandangan lain dalam membincangkan model ini merujuk kepada pandangan oleh Goodman (1967) yang menyatakan pembaca membawa bersama mereka pengetahuan, jangkaan, andaian dan soalan pada teks dan memberikan pemahaman yang asas berhubung dengan perbendaharaan kata. Mereka membaca sehinggalah jangkaannya diperakukan. Model ini mencadangkan pemprosesan teks bermula dalam minda pembaca. Menurut perspektif ini, pembaca mengenal pasti huruf dan perkataan hanya bagi memastikan andaian yang dibuat ke atas isi kandungan teks itu wujud.

Pengkaji bersetuju pemahaman adalah asas bagi kemahiran mengekodkan grafik yang terdapat dalam teks. Makna dibawa ke dalam teks dan bukannya berpunca daripada cetakan teks itu. Model ini menghuraikan beberapa perkara penting sebagai panduan. Antaranya ialah:

a. Model ini menegaskan perkara atau makna yang pembaca bawa pada teks yang dibaca.

b. Menyatakan pembaca membaca teks dengan dipandu oleh makna.

c. Timbul daripada aspek keseluruhan teks pada bahagian-bahagian yang akhirnya mewujudkan makna.

d. Dikenali juga sebagai model ‘Dalam Ke Luar’, ‘Berpandukan Konsep’ atau ‘Keseluruhan ke Bahagian’.

Frank Smith merumuskan terdapat beberapa ciri yang ber-kaitan dengan model membaca ini, iaitu:

a. Membaca bukan hanya mengekodkan bahasa tulisan pada bahasa lisan.

b. Membaca tidak melibatkan memproses setiap huruf dan setiap kata.

c. Membaca adalah proses membawa makna dalam teks dan bukannya mengeluarkan makna daripada teks bacaan.

Oleh itu matlamat membaca model ini mementingkan pembinaan makna bagi memberikan tindak balas daripada teks. Ini memerlukan penggunaan pembacaan secara interaktif dengan menggunakan grafemik, sintaksis dan isyarat semantik bagi membina makna.

Selain daripada itu, model ini menganjurkan aktiviti membaca bersifat interaktif iaitu seseorang yang menggunakan teks yang dicetak sebagai input dan makna sebagai hasil. Di samping itu, pembaca juga menetapkan input semasa berinteraksi dengan teks.

Berdasarkan model tersebut, pendekatan mengajar membaca berdasarkan prinsip berikut:

a. Pembaca dapat memahami bahan daripada teks yang dibaca walaupun tidak mengenali setiap perkataan yang dibaca.

b. Pembaca perlu menggunakan makna dan isyarat tatabahasa bagi mengenal pasti perkataan yang tidak dikenali.

c. Membaca bagi tujuan mendapatkan makna adalah objektif utama dan lebih baik daripada menguasai huruf, hubungan bunyi dan perkataan.

d. Membaca memerlukan penggunaan aktiviti mencari makna lebih daripada menguasai kemahiran mengenali perkataan sahaja.

e. Fokus utama dalam pengajaran adalah membaca ayat, paragraf dan keseluruhan bahan.

f. Perkara penting berhubung membaca adalah jumlah dan jenis maklumat yang diperoleh melalui pembacaan.

Rumusan model ini adalah:

a. Menegaskan perkara yang dimiliki oleh pembaca seperti pengetahuan terdahulu dan pengalaman pada teks yang dibaca bagi tujuan pemahaman.

b. Menyatakan yang kefahaman bermula dalam minda pembaca yang mempunyai beberapa gugusan idea mengenai makna teks yang dibaca.

c. Makna diterbitkan daripada aspek keseluruhan teks pada bahagian-bahagian kecil. Contohnya daripada penguasaan semantik pada isyarat sintaksis.

Model bawah-ke-atas (Bottom-up model)
Model ini dibincangkan dengan meluas oleh beberapa pengkaji. Antaranya adalah Gough (1972, 1985) iaitu tokoh utama teori ini. Model ini menyatakan individu memulakan proses membaca apabila matanya mengenal pasti maklumat visual yang tertera dalam teks yang dibaca melalui suatu siri perlakuan yang berurutan. Berdasarkan dapatan pemerhatian, tumpuan mata pembaca ke atas teks menghala kepada maklumat secara relatif. Gough juga mengandaikan bagi setiap penetapan membaca teks, pembaca memberikan tumpuan kepada teks, masa yang diambil oleh seseorang pembaca adalah 100 milisaat bagi memproses 15 sehingga 20 huruf dan ruang sebelum maklumat bagi penetapan seterusnya diproses.

Pemprosesan membaca bergerak secara linear, iaitu dimulai dengan mengecam huruf, mengekodkan pada tahap fonem, mengecam perkataan-perkataan dan akhirnya hubungan sintaksis dan semantik. Ini bermakna maklumat yang baru diterima sebelum itu ditransformasikan dan direkodkan selanjutnya. Bagi menginterpretasikan dan memahami ayat, pembaca perlu memproses huruf, perkataan, frasa, klausa dan ayat secara berurutan bagi mendapatkan makna teks. Keadaan ini kelihatan menyusahkan kerana tidak melihat kepentingan peranan pengetahuan lalu pelajar dalam membina makna.

Walau bagaimanapun, model bawah-ke-atas sangat berguna dalam usaha menghuraikan tabiat membaca bagi kebanyakan pembaca bahasa pertama dan kedua yang lemah. Golongan pembaca itu lebih memfokuskan tahap perkataan bagi teks daripada makna secara global.

Pembaca membina teks daripada unit yang terkecil bermula daripada huruf, kemudian menjadi perkataan dan seterusnya membentuk ayat. Proses membina kefahaman teks terjadi secara automatik (Eskey 1988; Stanovich 1990). Antara inti pati yang terkandung dalam model ini adalah:

a. Memberikan penegasan pada teks bertulis.

b. Membaca dipandu oleh proses yang bertujuan mencari makna.

c. Timbul daripada bahagian pada keseluruhan teks.

Model ini dapat dirumuskan menurut pandangan-pandangan seperti yang dihuraikan seperti di bawah:

a. Membaca adalah proses yang bersiri. Analisis visual huruf demi huruf, membawa kepada mengenal pasti secara positif setiap perkataan melalui pengekodan fonemik.

b. Peraturan yang leksikal, sintaksis dan semantik diaplikasikan pada penghasilan fonemik yang dinyatakan dalam bentuk cetakan.

c. Tujuan pertama membaca adalah mempelajari kod atau prinsip abjad.

d. Makna teks diharapkan hadir secara semula jadi yang diasaskan pada pengetahuan lalu pembaca berkaitan perkataan, makna dan pola sintaksis bahasa itu.

e. Menulis hanya bagi merekodkan pertuturan.

f. Teks bertulis diorganisasikan secara berhierarki iaitu pada tahap grafemik, fonemik, suku kata, morfem, kata dan ayat.

g. Pembaca memproses unit linguistik yang terkecil dahulu dan beransur-ansur menyusun unit terkecil bagi memahami unit yang lebih besar iaitu binaan ayat.

h. Pembaca mesti belajar mengubah daripada simbol auditori kepada isyarat bahasa.

i. Pembaca mesti belajar menguasai secara automatik tindak balas ke atas pola-pola visual teks.

j. Belajar membaca bertujuan memperkembangkan jarak tindak balas secara kebiasaan pada pola yang lebih khusus dalam bentuk grafik.

Daripada segi pendekatan mengajar, pendukung model ini percaya pembaca perlu:

a. Mengenal pasti ciri huruf.
b. Menghubungkan ciri ini bagi memilih huruf.
c. Menggabungkan huruf bagi memilih pola ejaan.
d. Menghubungkan pola ejaan bagi memilih perkataan.
e. Menimbulkan proses membina ayat, paragraf dan tahap sesebuah teks.

Model membaca interaktif
Berdasarkan gabungan kedua-dua model yang dibincangkan, model membaca interaktif dikatakan lebih berpengaruh di kalangan pembaca bahasa pertama dan kedua. Perkembangan awal model ini banyak dibincangkan oleh Rumelhart (1977) dan Stanovich (1980, 1981). Menurut Rumelhart, membaca adalah proses perseptual dan kognitif. Tambahan pula, pembaca yang mahir perlu menggunakan maklumat deria, semantik dan pragmatik bagi menyempurnakan tugasan dalam membaca yang ditetapkan. Sumber maklumat yang pelbagai digunakan dengan cara yang kompleks semasa proses membaca.

Model ini mengandaikan membaca sebagai proses yang aktif bagi membentuk makna melalui interaksi antara pembaca dengan teks. Berbeza dengan model membaca atas-ke-bawah dan bawah-ke-atas, model interaktif melihat proses membaca sebagai pola berbentuk pusingan dengan maklumat tekstual dan aktiviti mental pembaca wujud pada kedua-dua tahap atas-ke-bawah dan bawah-ke-atas secara serentak.

Tahap membaca pemahaman teks dihuraikan dengan sejauh mana pemboleh ubah pembaca seperti tahap minat ke atas teks, tujuan membaca teks, pengetahuan berkenaan topik, kecekapan bahasa, kesedaran proses membaca, tahap kesanggupan menerima risiko dan sebagainya, berinteraksi dengan pemboleh ubah teks iaitu jenis teks, struktur, sintaksis, perbendaharaan kata dan sebagainya. Oleh itu, bagi membina makna, proses membaca bertugas secara bersama-sama pada tahap teks yang berbeza-beza. Proses membaca dikatakan bermula dengan maklumat grafemik didaftarkan dalam simpanan maklumat visual. Daripada bentuk kritikal input grafemik bergerak dalam alat pencerakin yang berfungsi menginterpretasikan maklumat pembaca yang lalu.

Model atas-ke-bawah dan bawah-ke-atas boleh timbul secara silih berganti ataupun pada masa yang sama dalam proses membaca. Model ini menghuraikan proses membaca yang bergerak daripada atas-ke-bawah dan bawah-ke-atas bergantung kepada jenis teks yang dibaca. Keberkesanan penggunaan model ini bergantung kepada latar belakang pembaca, tahap kefasihan membaca, motivasi, strategi yang digunakan dan kepercayaan budaya yang dianuti.

Model interaktif mencadangkan pembaca membina makna dengan cara mempunyai kuasa memilih maklumat daripada semua sumber makna seperti grafem, fonemik, morfem, sintaksis dan semantik tanpa mematuhi mana-mana set arahan. Pembaca pada masa yang sama menggunakan semua peringkat proses membaca.

Model ini juga menggunakan cetakan teks sebagai input dan makna sebagai output. Bagaimanapun pembaca yang menetapkan input dan mereka berinteraksi dengan teks, memilih menggunakan sedikit isyarat daripada teks bagi tujuan membina makna. Membaca adalah proses membuat tanggapan dan proses kognitif. Ia adalah proses yang menggabungkan atau menjadikan kedua-duanya berbeza.

Pembaca yang mahir mesti dapat menggunakan pancaindera, sintaksis, semantik, maklumat pragmatik bagi menyempurnakan matlamat. Sumber maklumat yang pelbagai timbul bagi berinteraksi dalam pelbagai cara yang kompleks semasa proses membaca.

Terdapat beberapa teori atau model membaca yang dapat membantu pembaca memahami proses membaca. Teori-teori ini dapat menggambarkan proses membaca sama ada pada peringkat rendah mahupun pada tahap yang lebih tingi. Wakzyk (2000) menghuraikan proses membaca secara automatik dan kawalan seperti dihuraikan di bawah:

Teori memindahkan maklumat
Teori yang berasaskan pandangan La Berge dan Samuel (1985) dan Gough (1985) ini dipengaruhi oleh psikologi kognitif dan bertanggungjawab secara meluas menyatakan aktiviti membaca adalah proses memindahkan maklumat. Mereka mengandaikan membaca sebagai proses mengenali huruf demi huruf dan perkataan demi perkataan. Mereka juga percaya pembaca berinteraksi dengan teks dengan tujuan mendapatkan makna daripada muka surat yang dibaca kepada pemikirannya. Bagi melakukannya, pembaca memerlukan kemahiran khusus yang membolehkan mereka melakukan proses pemindahan tersebut.

Teori ini berpendapat, aktiviti membaca bertujuan membentuk peningkatan kebolehan pembaca memindahkan maklumat daripada teks. Pembaca yang baik, efisien ketika memindahkan maklumat, manakala pembaca yang lemah tidak dapat melakukannya sedemikian. Selalunya kemahiran ini dibina dengan memberikan pelajar petikan ringkas dan diikuti dengan beberapa soalan yang khusus yang menumpukan kepada beberapa kemahiran membaca bagi kefahaman seperti membuat kesimpulan.

Teori membaca secara automatik
La Berger dan Samuel (1974) menganjurkan teori membaca secara automatik. Teori ini menganggap wujudnya per-kembangan dalam penguasaan kemahiran membaca secara automatik. Di samping itu, model ini juga menganggap wujud perbezaan antara proses bersifat automatik dan proses kawalan ketika membaca. Sub komponen dalam kemahiran membaca seperti mengecam huruf dan seterusnya mengecam perkataan dikuasai secara automatik melalui latihan. Oleh itu, sumber-sumber ini diperlukan bagi membantu menguasai kemahiran asas membaca.

Sehubungan dengan itu, model ini meramalkan hubungan yang positif antara kemahiran pemahaman membaca teks secara automatik dengan latihan yang dijalankan. Pembaca yang mempunyai lebih kemahiran membaca secara automatik berupaya mengawal teks serta mempunyai lebih sumber dan lebih faham. Oleh itu, ketika membaca teks, pembaca perlu menekankan pengawalan eksekutif supaya dapat membantu pembaca memahami teks dengan lebih berkesan.

Teori kecekapan verbal
Perfetti (1985, 1988) memperkenalkan teori yang penting dalam kemahiran membaca iaitu teori kecekapan verbal yang menekankan kemahiran membaca dengan meluaskannya melangkaui proses mentafsirkan kod. Selain daripada ciri automatik dalam menguasai bahasa, aspek lain yang berkaitan dengannya adalah resolusi anafora, membuat kenyataan atau cadangan secara bersepadu, aktiviti yang berkaitan dengan ingatan dan strategi meta kognitif yang digunakan. 

Berdasarkan teori ini, setiap pembaca mempunyai profil yang tersendiri bagi tujuan menguasai kecekapan verbal. Bertambah efisien seseorang pembaca dalam kecekapan verbal, bermakna lebih banyak perhatian dan sumber ingatan bagi rujukan. Selain daripada itu, teori ini berdasarkan kapasiti tanggapan bagi sesuatu pemerhatian, merujuk kepada perhatian dan sumber ingatan yang terhad yang terdapat dalam diri pembaca (Benjafield, 1997). Teori ini juga membincangkan sejauh mana sesuatu sub komponen membaca berhubung dengan pemahaman. Pembaca yang tidak cekap selalunya lebih mudah lupa perkara yang sudah dibacanya. Tidak cekap dalam membaca juga disebabkan oleh skemata yang terhad. Kekurangan pengetahuan lalu berkaitan dengan teks yang dibaca juga akan menyukarkan pembaca memahami kandungan teks.

Berdasarkan teori membaca di atas, nyata wujud kepentingan membaca bagi tujuan pemahaman dan kelancaran pembacaan. Dalam kajian ini, penggunaan teori membaca yang melibatkan ciri automatik dan kecekapan penggunaan perbendaharaan kata membantu keberkesanan penguasaan membaca. Model-model lain dalam proses membaca dapat dihuraikan seperti berikut:

Model psikolinguistik
Goodman (1994) menghuraikan aktiviti membaca sebagai permainan bercorak ‘teka-teki psikolinguistik’. Pandangan ini dikaitkan dengan tugas pembaca membina makna sebaik mungkin daripada mesej yang dikodkan oleh penulis melalui grafik yang dipaparkan. Ketika mengaitkan aktiviti membaca dengan proses psikolinguistik, Rigg (1986) menyatakan proses membaca bukan sekadar menukarkan huruf pada bunyi atau mengecam dan menuturkan semula perkataan, tetapi melibat-kan proses komunikasi antara penulis dan pembaca. Oleh itu komunikasi yang diwujudkan adalah aktiviti membina makna berdasarkan teks yang dibaca.

Sehubungan dengan itu, Goodman (1984) menyatakan makna dibina melalui transaksi antara pembaca dan teks melalui pertukaran skemata pembaca dan teks. Mereka menegaskan makna tidak terdapat dalam teks. Di samping itu, makna wujud dalam diri penulis dan pembaca dan teks mempunyai potensi membentuk makna. Walaupun makna terbina melalui transaksi antara pembaca dan teks, makna yang lahir bergantung kepada ciri-ciri pembaca dan teks.

Goodman (1984) menegaskan, semasa proses transaksi antara pembaca dengan kandungan teks dan penulis teks, sistem kiu dan strategi pengisian diaktifkan. Sistem kiu dalam membaca meliputi sistem grafonik, sintaksis dan semantik. Grafonik adalah sistem bahasa penulisan dan berkaitan dengan sistem tulisan dan sistem bunyi. Manakala sistem sintaksis pula merangkumi tatabahasa bahasa itu sementara sistem semantik merujuk kepada makna bahasa yang terkandung dalam sistem pragmatik bahasa.

Sehubungan dengan itu, strategi kognitif pembaca memainkan peranan yang penting dalam membina makna melalui model ini. Menurut Goodman (1984), memandangkan aktiviti membaca sebagai ‘permainan’ bercorak tekaan psikolinguistik, pembaca yang efisien sering tidak mem-berikan perhatian ke atas setiap huruf dan perkataan yang terkandung dalam teks. Sebaliknya, mereka secara efisien menggabungkan contoh-contoh idea atau isi kandungan daripada teks dan membuat ramalan ke atas maklumat yang diperoleh. 

Di samping itu, pembaca juga secara tekal membuat pengesahan berdasarkan ramalan yang dibuat. Apabila ramalan atau hipotesis yang dibina itu tidak dapat disahkan, mereka membetulkan ramalan itu sesuai dengan pengetahuan sedia ada pembaca. Pembaca yang efisien juga memenuhkan kekosongan yang terdapat dalam maklumat yang tidak wujud semasa ramalan itu dibuat. Daripada mula membaca sehingga tamat, semua strategi yang digunakan seperti memilih sampel, ramalan, mengesahkan ataupun tidak mengesahkan ramalan, pembetulan dan membuat kesimpulan, digunakan oleh pembaca secara konsisten. Oleh itu, ketika membincangkan proses membaca teks, pembaca menggunakan strategi yang sesuai memahami serta membuat ramalan bagi menjangka maklumat atau idea yang disampaikan oleh pengarang.

Model membaca Clay (1991)
Menurut Clay (1991), membaca melibatkan aktiviti melahirkan semula mesej menggunakan bahasa. Model ini banyak dikaitkan dengan aktiviti membaca teks secara mekanis. Selalunya, pembaca berhadapan dengan situasi pengawalan ke atas penggunaan bahasa lisan terutamanya ketika membaca secara mekanis. Bagaimanapun bahasa lisan itu berbeza dengan dialek yang sering digunakan oleh pembaca. Ini disebabkan penguasaan bahasa lisan ketika membaca mekanis memerlukan pembaca menggunakan kemampuan menuturkan bahasa itu dengan baik. Ketika membaca secara mekanis, pengawalan penggunaan bahasa lisan dapat membantu pembaca membina makna dan menyusun ayat dengan baik.

Menurut Clay (1991) lagi, membaca juga melibatkan pengetahuan pembaca ke atas peraturan-peraturan yang digunakan ke atas bahasa tulisan yang dicetak. Peraturan yang dimaksudkan termasuklah arahan yang melibatkan peraturan, format ruang dalam penulisan, persoalan yang dikemukakan dan sebagainya. Aspek ini sering tidak diberikan perhatian oleh pembaca kerana mereka menganggap proses membaca adalah mudah. Sehubungan itu, membaca bagi tujuan mendapatkan makna sangat penting diberikan penekanan di samping penguasaan membaca secara mekanis.

Model membaca Schraw dan Bruning (1996)
Berdasarkan model ini, Schraw dan Bruning (1996) menyatakan pembaca berpegang kepada beberapa jenis fahaman yang memberi kesan kepada cara bagaimana mereka membaca. Model itu mencadangkan supaya setiap pembaca mengamalkan ‘model mental’ bagi proses membaca yang menekankan interaksi pembaca dengan teks. Model ini lebih mementingkan kekuatan mental pembaca dalam menanggapi teks yang dibaca. Dalam kajian yang dilakukan, pengkaji menggunakan terminologi ‘teks epistemologi’ bagi mem-bayangkan sistem kepercayaan pembaca. Pembaca sebagai penganalisis teks, mempunyai pegangan yang tersendiri pada sesuatu perkara yang dibentangkan dalam teks. Oleh itu, kekuatan mental pembaca mengolah idea penulis serta menanggapi isi kandungannya merujuk kepada pegangan atau anutannya ke atas sesuatu konsep.

Schraw dan Burning (1996) juga membincangkan kesan model membaca itu dalam proses membaca teks. Mereka menganggap apabila pembaca menggunakan model mental, pembaca perlu berhadapan dengan teks dengan merujuk kepada model atau pegangannya. Kajian-kajian yang dijalankan juga melibatkan cara pembaca membina makna, memberikan respons ke atas teks dan semua itu bergantung kepada jenis model yang dipegang oleh pembaca semasa proses membaca. Di samping itu, mereka juga menganggap pembaca tidak secara eksplisit sedar berhubung model yang digunakannya ketika membaca. Oleh itu, semasa membaca sering kali pembaca tidak dapat membina makna akibat tidak dapat mengawal pembacaannya melalui strategi yang sesuai.


Kesimpulan
Dalam proses membaca, model yang dibincangkan tadi memberikan panduan kepada pembaca sejauh manakah mereka dapat melihat teknik yang digunakan dalam aktiviti membaca. Dengan pemahaman itu pembaca dapat menentukan corak bacaan yang sesuai digunakan dan mereka dapat memanfaatkan bahan bacaan dengan baik.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024