Artikel

Strategi Membaca Teks Akademik

oleh Helmi pada 20 Jul 2004

BUDAYA membaca teks akademik di kalangan masyarakat tidak hadir tanpa persediaan dan perancangan yang sistematik. Membaca sebagai budaya yang boleh wujud melalui amalan suka akan aktiviti membaca yang konsisten yang tersebar secara menyeluruh dan tidak mudah ditinggalkan begitu sahaja. 

Persoalannya ialah sejauh manakah kesan yang diperoleh semasa membaca. Apakah yang pembaca lakukan semasa membaca? Pembaca sering berhadapan dengan kesukaran membaca terutama yang melibatkan teks akademik. Keadaan akan menjadi lebih sukar apabila pembaca mengalami kesukaran memahami konsep yang abstrak dan memerlukan pemikiran yang mendalam. Manakala bagi pembaca peringkat rendah, fokus diberikan kepada aspek konkrit teks tersebut, fakta, perkara yang mudah difahami. 

Selain itu, membaca di peringkat kolej memerlukan pembaca menggunakan strategi metakognisi yang merupakan kebolehan menguruskan pembelajarannya sendiri. Pembaca perlu berfikir akan gaya pembelajaran mempunyai interaksi dengan teks yang dibaca sehinggakan strategi yang digunakan dapat membantu pembaca berhadapan dengan cabaran yang lebih hebat apabila membaca teks akademik. 


Strategi Pembaca Berjaya
Terdapat empat pemboleh ubah yang perlu diberikan perhatian apabila pembaca berhasrat menjadi pembaca yang berjaya iaitu aspek pembaca, teks, strategi dan matlamat membaca. Ciri-ciri pembaca pula termasuklah kemahiran membaca, minat terhadap topik tersebut, faktor fizikal seperti tidur yang mencukupi atau masalah perut yang lapar. Pemboleh ubah teks pula terdiri daripada jenis teks seperti novel, sains, permainan, psikologi dan sebagainya serta faktor kesukaran teks yang dibaca. Bagi sesetengah pembacaan boleh berlangsung dalam masa yang singkat manakala terdapat juga masa membaca yang padat dengan isi dan menjemukan akibat teks yang sarat dengan maklumat. 

Sementara itu, faktor strategi membaca pula dimiliki oleh pembaca yang berbeza daripada segi pelaksanaannya. Terdapat beberapa strategi yang sangat sesuai digunakan semasa membaca bagi menjadikan bacaan suatu pengalaman akademik yang menyeronokkan. Pemilihan strategi membaca juga perlu disesuaikan dengan matlamat membaca tersebut. Persoalannya mengapakah saudara membaca teks ini? Apakah yang saudara inginkan melalui teks yang dibaca?

Sesetengah pelajar adalah pembaca yang baik. Berkemungkinan keluarga mereka sering membacakan buku kepada mereka semasa zaman kanak-kanak dan sesudah dewasa mereka mampu membaca bacaan yang lebih mencabar, membaca bagi tujuan kerehatan dan mendapati aktiviti membaca adalah sesuatu yang menyeronokkan dan mudah dilakukan. Mereka didorong supaya memahami cara menggunakan strategi membaca yang sesuai. Secara umum-nya, apabila membaca akhbar, pelajar tidak memerlukan kemahiran membuat bacaan sekilas muka surat dengan cepat dan kemudian beralih kepada artikel yang diminati.

Terdapat juga pelajar yang malas dan kurang memberikan perhatian terhadap membaca atau merasakan rasa tidak selamat dan takut apabila berhadapan dengan teks yang kompleks. Mereka sebenarnya tidak membaca teks yang sukar seperti teks akademik bagi tujuan pengajian dan bahan-bahan penyelidikan. Bagi sesetengah pelajar amat jarang mempelajari strategi membaca.


Strategi Memudahkan Proses Pembacaan
Setiap kali membaca kita sebenarnya mengajar diri sendiri cara membaca. Secara ringkasnya, apabila kita membaca bahan pembelajaran di atas katil sebelum tidur beberapa minit, kita sebenarnya mengajar diri kita sendiri supaya tidak mengambil berat dan tidak membantu untuk membaca.

Membaca teks akademik bukanlah proses yang mudah. Untuk membaca dengan lebih baik, pembaca perlu menggunakan strategi membaca yang boleh membantu memudahkan proses membaca. Sukar bagi seseorang mendapatkan sesuatu makna yang terkandung dalam teks dengan sekali baca. Disebabkan teks akademik dibicarakan dengan cara disiplin yang mementingkan pemahaman aras tinggi maka pembaca sewajarnya sudah dapat mengagak kesukaran yang bakal dihadapinya. Pelajar yang berjaya belajar cara membaca yang efektif dan mengingat kandungan yang dibaca. Pembaca perlukan cara yang sesuai untuk membaca, sentiasa membaca, menyudahkan pembacaan, membuat ringkasan serta mengaitkan maklumat yang baru dengan pengetahuan yang lain yang diperoleh.


Strategi Membaca yang Efektif
Terdapat beberapa strategi yang boleh digunakan untuk membaca dengan efektif. Bagi pembaca yang baik, penggunaan sekurang-kurangnya tiga strategi sudah memadai. Percubaan dengan menggunakan strategi yang berbeza sangat sesuai digunakan dan ini akan membantu pembaca yang bersifat kritikal terhadap bacaannya. Membaca bukan hanya berfaedah untuk jangka masa tertentu sahaja namun bagi kehidupan yang lebih ke hadapan. 

Membaca sesuai dilakukan sambil duduk di kerusi atau meja, dengan cukup pencahayaan pastikan kebisingan pada tahap minimum. Bunyi yang kuat daripada muzik rock tidak akan membantu pembaca menjadi pembaca yang baik. Di samping itu, bunyi-bunyi bising yang boleh mengganggu pembaca juga perlu dihindari. Contohnya bunyi kanak-kanak menangis, perbualan rakan sebilik, bunyi televisyen ataupun radio. Maka pembaca perlu mewujudkan suasana yang benar-benar dapat membantu proses membaca dapat berlangsung dengan baik supaya pembaca dapat menumpukan kepada teks yang dibaca.

Pembaca juga digalakkan menyediakan pen dan kertas bagi memudahkan pembaca menggunakannya apabila diperlukan. Ini disebabkan semasa membaca pembaca sering mencatatkan perkara-perkara penting untuk dirujuk apabila diperlukan. Membuat catatan semasa membaca banyak memberikan kelebihan kepada pembaca terutama bagi tujuan mengingat fakta penting.

Sebelum membaca, pembaca disarankan supaya memikirkan atau menetapkan matlamat setiap kali membaca. Kemukakan persoalan mengapa guru meminta tugasan itu dibuat, apakah yang akan pembaca peroleh daripada teks tersebut catatkan isi penting yang barkaitan setiap kali semasa membaca terutama bagi mendapatkan maklumat berkaitan persoalan yang sudah dikemukakan.

Bagi memastikan proses membaca berlangsung dengan baik, sesuai jika pembaca melakukan tinjauan sebelum membaca. Bagi tujuan membaca yang bersifat kritis, pembaca boleh meneliti tajuk dan subtajuk yang terdapat dalam teks. Jika teks tersebut ditulis dengan huruf tebal maka pembaca perlu memberikan tumpuan ketika membaca. Kadangkala terdapat juga teks yang disertai ilustrasi atau graf bagi mengukuhkan lagi konsep yang dihuraikan. Semua sumber ini perlu diberikan perhatian supaya pembaca dapat memanfaatkan kandungan teks dengan lebih berkesan.

Semasa membaca teks, pembaca perlu membaca pengenalan dan kesimpulan. Selepas itu kembali semula membaca keseluruhan teks tersebut. Di samping itu, pembaca juga disarankan supaya membaca baris pertama setiap perenggan bagi mendapatkan idea serta perkembangan isi kandungan teks tersebut. Selepas itu pembaca boleh membaca semula teks tersebut. Aktiviti membaca dengan memberikan tumpuan kepada pengenalan dan baris pertama setiap perenggan boleh membantu pembaca membuat inferens terhadap isi kandungan keseluruhan teks yang dibaca.

Bagi mendapatkan kesan yang lebih mendalam, pembaca boleh mengimbas teks yang dibaca. Strategi ini boleh membantu pembaca mendapatkan fokus bagi perkara penting atau relevan. Dengan cara tersebut maklumat yang penting dapat diberikan perhatian utama sebelum pembaca membaca secara keseluruhan. 

Pembaca juga boleh melakukan strategi skimming terutama bagi memastikan maklumat yang hendak dicari dalam teks. Bagi tujuan tersebut, pembaca perlu membaca setiap perkataan yang terdapat dalam teks serta menumpukan sepenuh perhatian bagi tujuan mendapatkan maksud. Walaupun pembaca akan berhadapan dengan perkataan yang sukar, namun melalui strategi penumpuan ini pembaca akan dapat mengenal pasti maksud teks dengan lebih jelas lagi.

Menulis semula pemahaman teks adalah strategi yang sesuai digunakan bagi memahami teks. Pembaca digalakkan menulis nota dan menyatakan semula secara lisan. Terangkan dengan jelas maksud teks dan tandakan muka surat yang berkaitan. Tuliskan juga perkara yang diminati dan membosankan semasa membaca teks tersebut. Di samping itu, pembaca juga boleh membuat spekulasi berkaitan perkara tersebut.


Strategi Menghadapi Kesukaran Ketika Membaca
Apabila pembaca menghadapi kesukaran semasa membaca, fikirkan dan tuliskan di mana kesukaran tersebut berlaku. Fikirkan faktor yang menjadikan sesetengah bahagian didapati sukar difahami. Sebagai pembaca yang baik, fikirkan juga cara yang sesuai memecahkan kebuntuan semasa membaca. Oleh itu, pembaca juga disarankan menggunakan penulisan sebagai strategi yang berkesan apabila berhadapan dengan kesukaran memahami teks.

Di samping menulis mengenai kesukaran tersebut, pembaca juga boleh menggunakan strategi merekodkan dan meneroka perkara yang mengelirukan. Maka semasa membaca, kekeliruan yang dihadapi penting kepada pembaca kerana itu adalah tahap pertama dalam memahami teks. Pembaca yang baik seharusnya dapat mewujudkan kesedaran yang mendalam semasa membaca teks. Oleh itu, keupayaan pembaca menimbulkan kekeliruan menunjukkan pembaca dapat mengaitkan pengetahuan lalunya dengan maklumat baru yang diperoleh.
Antara strategi membaca yang sesuai digunakan apabila sukar memahami teks ialah dengan memperlahankan kelajuan membaca. Pembaca juga disarankan supaya membaca semula bahagian tersebut. Memperlahankan kelajuan bacaan serta membaca semula boleh dilakukan dengan tujuan memberikan peluang menyemak semula bacaan. Sementara itu, pembaca juga boleh membahagikan bacaan kepada beberapa segmen. Contohnya, apabila teks yang dibaca itu panjang, pembaca boleh membahagikannya kepada sepuluh muka surat. Selepas membacanya, pembaca boleh melakukan kerja lain. Selepas merasai kelapangan, pembaca boleh menyambung semula bacaannya bagi sepuluh muka surat yang lain. 

Bagi pembaca yang baik, buku yang dibaca akan digarap kandungannya secara menyeluruh. Ini bermakna, pembaca perlu membaca prakata dan ringkasan yang boleh membantu mempelajari kandungan buku tersebut secara terperinci. Perhatikan juga jadual kandungan buku tersebut bagi mengetahui struktur dan perkembangan buku tersebut. Di samping itu, lihat juga indeks bagi tujuan melihat nama-nama yang spesifik, nama tempat, istilah dan sebagainya. Secara umumnya, pembaca perlu menggunakan sepenuhnya buku yang dibaca bagi memudahkan pemahaman.

Manakala bagi teks yang sukar difahami, pembaca boleh menterjemahkan bahan yang dibaca kepada bahasa yang mudah difahami pembaca. Ini bermaksud pembaca perlu menulis sebuah teks alternatif yang bertujuan memudahkan pemahaman. Keadaan ini menunjukkan perlunya kemahiran bahasa yang tinggi bagi menggambarkan maksud teks dengan mudah. 
Bagi teks yang mempunyai soalan pemahaman di akhir setiap bab, pembaca disarankan supaya cuba menjawab soalan-soalan yang dikemukakan. Bagi menjawab soalan-soalan tersebut, pembaca perlu menggunakan perkataan sendiri yang mudah difahami. Nyatakan perkara atau isi yang ditekankan oleh penulis. Nyatakan juga pandangan bagi persoalan yang dikemukakan oleh penulis bagi perkara yang ingin pembaca mengetahuinya. Ini melibatkan daya cerapan pembaca yang tinggi kerana pembaca perlu menunjukkan respons yang mendalam terhadap teks yang dibaca. 

Selepas tamat membaca, pembaca disarankan membuat semakan berkaitan idea yang dibaca. Bagi menunjukkan kemantapan pemahaman pembaca, ajukan soalan-soalan yang boleh menterjemahkan sejauh mana pembaca dapat menguasai teks tersebut dengan baik. Bagi pelajar, mereka boleh mencatatkan persoalan yang tidak terjawab semasa membaca dengan mengemukakannya kepada guru semasa pengajaran di dalam kelas.  Pembaca juga boleh menggunakan sumber yang lain yang boleh membantu pembaca menyelesaikan kesukaran yang dialami semasa membaca. 


Kesimpulan
Berdasarkan strategi membaca yang dinyatakan di atas, pembaca boleh memilih strategi yang sesuai dengan keperluan semasa membaca. Ini disebabkan terdapat perbezaan daripada segi penerimaan pembaca terhadap strategi terutama masalah membaca yang dihadapi tidak sama antara seorang pembaca dengan pembaca yang lain.  Maka dalam usaha membudayakan aktiviti membaca dalam kehidupan, pembaca perlu memiliki strategi membaca yang sesuai supaya tujuan membaca akan dapat dicapai dengan berkesan dan dengan itu dapat mewujudkan masyarakat berpengetahuan dan ini akan menggambarkan kematangan masyarakat tersebut.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (198801006125) © 2000 - 2025