Artikel

Mustafa Kamal Ataturk sang penegak agenda Yahudi @ PBAKL 2012

oleh [email protected] pada 05 Apr 2012

Abdul Latip Talib, seorang penulis yang tidak asing lagi dalam dunia penulisan novel. Karya beliau seperti Umar Abdul Aziz: Bayangan Khalifah al-Rasyidin, Imam Syafie: Pejuang Kebenaran, Sultan Muhammad Al-Fateh: Penakluk Konstantinopel dan banyak lagi mendapat tempat di kalangan pembaca. Plot ceritanya yang disusun teratur dan menarik, sudah pasti membuatkan pembaca dapat mengetahui dengan mendalam.

Buku siri novel Islami Mustafa Kamal Ataturk ini merupakan salah satu daripada beberapa novel Islami yang lain yang cuba merungkai sejarah latar belakang kehidupan seorang yang di gelar penegak agenda Yahudi ini. Sejarah telah membuktikan bahawa Mustafa yang dilahirkan pada 19 Mei 1881 ini merupakan individu yang bertanggungjawab dalam menghapuskan sistem pemerintahan Islam di Turki dan banyak melakukan perkara-perkara yang bertentangan dalam Islam seperti menjadikan masjid sebagai muzium dan gudang, menukarkan azan ke dalam bahasa Turki, membiarkan maksiat berleluasa dan sebagainya.

Rentetan peristiwa ini, Mustafa menjadi sanjungan barat yang menganggap beliau penggerak dalam menghancurkan Islam. Dengan pelbagai aturan dan sistem di ubah, beliau menjadikan sistem khalifah yang menjadi teras dalam pentadbiran sebelum ini, hilang begitu sahaja.

Latar pendidikan Mustafa sedikit sebanyak mempengaruhi kehidupan beliau. Mendapat pendidikan Inggeris setelah berkeras mahu menyambung pengajian dalam aliran itu berbanding saranan ibunya yang mahu beliau menjadi seorang berilmu dalam agama, beliau seterusnya melanjutkan pengajian di dalam akademi tentera.

Bertitik tolak dari inilah, beliau dapat menempatkan diri ke dalam pemerintahan khalifah secara ‘perlahan-perlahan’ dalam usaha ingin menghapuskan institusi khalifah ini.

Dengan menggunakan kelicikan dalam mempengaruhi sesuatu keputusan, beliau juga terkenal dengan sikap tidak berputus asa dan sanggup melakukan apa sahaja walaupun bertentangan dengan prinsip hidup.

Memilih sistem presiden dalam pentadbiran, ianya dengan mudah meluaskan lagi cita-cita beliau yang ingin menjadi seorang ketua negara yang berkuasa mutlak walaupun tidak disukai oleh rakyat Turki.

Novel Islami yang sarat dengan kisah-kisah petualang yang khianat terhadap agama Islam ini,wajar dijadikan iktibar generasi muda. 

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024