Artikel

Nasihat Buat Hati + Nasihat Buat Diri

oleh Waridah Lothpi pada 25 Feb 2021

Kecut perut baca cerita Tsa’labah yang bertemu Rasulullah, dan meminta didoakan agar kaya raya.
(Kisah yang popular, tetapi mohon sahabat baca link Mufti Wilayah ini terlebih dahulu)
https://muftiwp.gov.my/.../1512-irsyad-al-hadith-siri-ke...
Pun begitu tetaplah ada sesuatu kita belajar.
Jangan menganggap bahawa banyaknya harta bererti Allah memuliakan, dan kurang harta bukanlah bermaksud Allah tidak sayang dan tidak cinta. Menurut Imam Ali bin Muhammad, “Jikalau permintaan kamu belum makbul, maka hendaklah kamu merasa selesa kerana apa yang disimpan oleh Allah itu adalah perkara yang baik.”
“Yang Allah telah tentukan untuk orang lain, tidak akan sampai kepada kamu. Yang sudah ditentu oleh Allah untuk kamu, pasti akan sampai kepada kamu,” kata Imam Abdullah Al Haddad.
Sentiasa berwaspada dengan harta yang dimiliki. Jangan pula tanpa segan silu menganggap kesemua rezeki dan harta sebagai hak sendiri saja. Barangkali ia milik orang lain yang kita belum pulangkan, atau mungkin hutang orang lain yang belum kita lunaskan.
---
Kedua-dua buku disasarkan pada orang yang sama; iaitu diri sendiri. Nasihat Buat Hati ialah versi awal yang diterbitkan pada 2016, dan Nasihat Buat Diri terbitnya 2 tahun kemudian.
Seakan tak percaya ia cuma RM10 senaskhah, sedangkan kesan “ketukan” ke hati bukan sedikit. Buku yang disusun berdasarkan catatan daripada majlis-majlis ilmu Habib Ali Zaenal Abidin, dan Nasihat Buat Diri ialah kesinambungan daripada buku yang pertama.
Hampir segala yang diperlukan hati untuk hidup dengan benar, terkandung di dalamnya. Topik yang merangkumi segenap lapangan, insha-Allah.
Ada juga cerita comel rumahtangga Rasulullah dan isterinya ‘Aisyah. ‘Aisyah mahu kemelut antara mereka diselesaikan oleh pihak ketiga, dan baginda rasul menurut saja apabila yang dipilih ialah Saidina Abu Bakar, bapa isterinya itu.
Kata ‘Aisyah kepada baginda, “Kamu dahululah yang bercerita, tapi cakap yang benar,”
Marah bukan kepalang Saidina Abu Bakar.
“Kenapakah kamu wahai ‘Aisyah menyuruh Rasulullah bercakap benar? Pernahkah baginda berdusta?”
Muncullah karakter Rasulullah yang mencairkan hati; “Aku memanggil engkau bukan untuk memarahinya, akan tetapi untuk menyelesaikan masalah.” Sebelah petangnya Rasulullah sudah kembali mesra dengan isterinya. Tidaklah baginda merajuk ataupun berdendam lama-lama.
Di zaman manusia dirahmati dengan limpahan maklumat dan ilmu, ruang untuk berselisih faham semakin besar. Apa kata Habib?
“Usah pula kamu berpegang bahawa hanya apa yang difahami kamu adalah yang paling benar. Ketahuilah, apa yang bercanggah dengan kefahaman kamu, belum tentu lagi ia bercanggah dengan Al Quran dan hadith. Sepertimana kat Imam Syafie, “Apa yang aku faham dan dianggap benar oleh aku, boleh jadi salah oleh orang lain. Dan apa yang dianggap salah oleh orang lain, mungkin benar bagi aku.”
Ertinya kebenaran mutlak, bukanlah milik sesiapa.
Antara nasihat yang terngiang-ngiang pada saya ialah Nasihat 11 dalam buku Nasihat Buat Hati. Ada insiden yang berlaku ketika Rasulullah di masjid dengan para sahabat. Apa kisahnya, perlulah dibaca sendiri.
“Jangan memandang orang yang melakukan kesilapan seolah-olah mereka begitu hina dan berdosa.” Astaghfirullah, jahatnya hati selama ini.
Jemput baca. Dan pasti perlu dibaca lagi ketika hati terasa gelita.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (198801006125) © 2000 - 2025