Artikel

Ubah Lelah Jadi Lillah

oleh Waridah Lothpi pada 01 Feb 2021

Asalnya macam nak marah juga. Sudah kenapa tulis buku tebal-tebal begini? Tak bolehkah diringkaskan sahaja untuk menyampaikan wacana? Di zaman netizen sikit-sikit minta lukis, minta lukis jika bacaan panjang; Ustaz Dwi Suwiknyo tampil menyanggah kebiasaan.
Tertamparlah muka saya setelah mula membaca. Tak terasa ia panjang lebar. Setiap helaian dijaga ‘flow’nya, dan perkataan yang dipilih sungguh bermakna. Tak sampai 2 hari untuk sudahkan bacaan dengan izin Allah SWT.
Kalau sesiapa pernah baca, Ustaz Suwiknyo ialah penulis bersama untuk 4 siri buku Ustazah Asma Harun. Daripada buku itu lagi, dah rasa cantiknya gaya bahasa beliau. Penulis Indonesia, biasanya susunan kata mereka memang lunak belaka.
---
Saya cuba merenung di manakah istimewa yang pada “Ubah Lelah jadi Lillah”? Mengapa usai membaca teringat-ingat?
Kesimpulan mudah; ia menawarkan apa yang jiwa benar-benar perlu.
Buku ini mengandungi 16 bab, dan bab awalan menyampaikan “big picture” untuk pembaca menyemak kembali diri sendiri.
Prinsip pertama, memastikan aktiviti kita terarah. Bagaimana cara diri memandang dan mendepani ujian dan cabaran hidup? Apa yang kita anggap sebagai isu besar, kadang-kadang tidak serius seperti yang kita khuatirkan. Sayangnya kita sering berfikir, bersikap serta beremosi secara berlebihan.
Banyak contoh yang disampaikan dalam bentuk cerita, tak terkira. Metod bercerita memang dekat di hati sesiapa saja. Salah satunya kisah berikut;
“Konflik batin pun berlangsung begitu lama sehingga membuatkan kerja dan ibadahnya jadi serba salah. Hidupnya benar-benar goyah. Sampai suatu ketika, dia memberanikan diri memberitahu isterinya tentang kegundahan itu. Kata isteri, “Harus pilih salah satu. Pilih ibadah khusyuk atau kerja sahaja.” Dia berpendapat itu bukan pilihan sebab kedua-duanya penting. Ibadah itu kewajipan, kerja pun kewajipan.
Dia merasakan sudah mendapat jawapan selepas beberapa kali solat tahajud. Dilepaskan jawatannya, meninggalkan jutaan gaji bersama segala bonus, pendek kata, kesemuanya.
Semua bermodalkan Bismillah sahaja, demi kehidupan yang lebih barakah.”
Allah SWT inginkan kita kembali ke syurga-Nya, lalu kenapa perilaku kita di dunia seakan-akan menginginkan neraka?
---
Prinsip kedua; “Sesungguhnya, apalah erti segala yang kita miliki di dunia ini, yang tampak indah dalam pandangan orang lain tetapi ternyata tidak mampu membawa kita ke jalan yang diredhai Allah SWT?”
Bolehlah rujuk gambar di bawah untuk melihat isi kandungan setiap bab. Cantik sekali aliran dan susunan buku. Bermula dengan bagaimana mahu mengoptimumkan kelebihan yang Allah beri dan terbang tinggi, tetapi bab demi bab yang muncul kemudian; menarik kita untuk kembali ke bumi. Masih ada Tuhan yang perlu ditaati. Ada tujuan sebenar hidup yang perlu kita raih.
Secara peribadi, saya amat malu pada bahagian ini. Baru tahu terdapat dua kelompok manusia dalam melakukan ibadah dan beramal;
1.Taklif, orang yang beribadah hanya untuk menggugurkan kewajipan.
2.Ta’rif, beribadah untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT.
Malangnya, terasa diri ini masih dalam kelompok pertama. Padahal sudah tua, nasi yang Tuhan beri pun tak terkira banyaknya, belum lagi dihitung nikmat yang lain. Tapi, masih sekadar melunaskan yang wajib-wajib.
Selepas berilmu dan beramal, tugas yang seterusnya ialah menjaga amal itu supaya diterima Tuhan. Imam Adz Dzahabi berkata, “Seorang yang ikhlas adalah apabila dia menyembunyikan amal solehnya sebagaimana dia menyembunyikan semua kemaksiatan dan dosa-dosanya.”
“Beribadahlah tanpa berasa diri lebih suci daripada orang lain.” tulis Ustaz Dwi.
“Kalau baru beramal sedikit terus dihebahkan di media sosial, terus disampaikan kepada orang lain, lalu apakah yang akan kita laporkan kepada Allah SWT? Amal untuk ditabung, dijadikan teman di alam kubur, bukan menjadi asbab takabur. Tetap ingat dan waspada yang salah satu penghapus amal adalah sifat riak, keinginan untuk dipuja dan dipuji manusia.
Cuba kita renungkan sejenak. Gula pasir memberi rasa manis kepada kopi, kita menyebutnya sebagai kopi manis, bukan kopi gula. Gula pasir memberi rasa manis kepada teh, kita pun menyebutnya teh manis, bukannya teh gula. Semua minuman yang manis, nama gula tidak pernah disebut, hanya rasa manisnya kita sebut. Seperti itulah, tidak perlu nama kita dikenal banyak orang, yang penting kebaikan dapat kita rasakan dalam hati dan manfaatnya dapat dinikmati oleh orang ramai.”
Bagaimana tuan puan, enak kan? Ini baru sedikit, bayangkan apa lagi yang terhimpun dalam ratusan mukasurat yang lain.
Berbaloi inshaAllah.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (198801006125) © 2000 - 2025