Artikel

Anugerah Pilihan Pembaca POPULAR -Berita Harian 2010 Tingkatkan Semangat Penulis Malaysia

oleh Helmi pada 07 Sep 2010

Anugerah Pilihan Pembaca POPULAR - Berita Harian 2010 menjadi penyuntik semangat bagi penulis-penulis buku di Malaysia bagi menghasilkan tulisan yang lebih baik dari semasa ke semasa.

Bagi Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said program yang dianjurkan oleh POPULAR ini mampu memperkayakan lagi sektor buku di Malaysia.

Beliau yang merasmikan Anugerah Pilihan Pembaca POPULAR- Berita Harian 2010 ini beranggapan dunia buku berbahasa melayu mengalami lonjakan yang luar biasa hebat.

"Ada juga penulis muda yang naik hanya dengan 2 atau 3 buah buku sahaja. Kita berharap lebih ramai yang mahu masuk ke dunia buku di Malaysia," jelas beliau lagi.

Anugerah Pilihan Pembaca POPULAR -Berita Harian kali ini membawa tema 'Buku Mendakap Dunia' menjadi satu langkah baik kepada penulis buku Malaysia menonjolkan bakat dalam bidang penulisan.

Beberapa penulis PTS juga turut tercalon dalam senarai 10 pilihan pembaca popular bagi kali ini.

Antara buku yang tercalon dalam anugerah tersebut adalah Hulagu Khan : Khabar Hitam dari Timur oleh Tuan Abdul Latip Talip, Bagaikan Khadijah di Hati Rasulullah oleh Tuan Zamri Mohamad dan Tuan Imran Yusof serta Hamas: Pejuang Kota Suci Baitulmuqaddis oleh Maszlee Malik.

Bagi Tuan Zamri Mohamad dan Tuan Imran Yusof, pencalonan Anugerah Buku POPULAR merupakan kemenangan para pembaca yang mengubah lanskap budaya dan menjadikan buku sebagai bahan bacaan.

"Apa juga keputusan hari ini, ia tetap menjadi kemenangan para pembaca kerana tanpa pembaca semua ini tidak akan berjaya. Apabila buku Berbunga Cinta Aisyah di Hati Rasulullah tercalon dalam Anugerah Pilihan Pembaca POPULAR - Berita Harian 2010 menjadi satu bonus hasil sokongan pembaca yang tidak putus-putus menyokong buku ini selama ini," jelas Tuan Zamri.

Bagi beliau anugerah buku seperti ini menjadi langkah besar agar penulisan bukanlagi dijadikan sebagai hobi malah mampu dijadikan sebagai satu kerjaya profesional kepada penulis.

Tuan Abdul Latip Talip atau lebih dikenali sebagai Pak Latip pula beranggapan yang anugerah seperti ini menjadi suntikan semangat kepada penulis bagi menghasilkan karya yang lebih baik.

Walaupun tidak terpilih sebagai pemenang, namun bagi Pak Latip, kehadiran beliau pada hari ini merupakan tanda penghargaan kepada pembaca yang selama ini menyokong semua buku hasil tulisan beliau.

"Apabila wujudnya anugerah seperti ini, kita sebagai penulis akan rasa lebih dihargai. Saya mengucapkan terima kasih kepada semua peminat yang sentiasa menyokong usaha saya sehingga buku Hulagu Khan tercalon dalam anugerah ini," jelas beliau lagi.

Antara pemenang yang tersenarai dalam Anugerah Pilihan Pembaca POPULAR - Berita Harian ini termasuklah Anis Ayuni melalui buku Sungguh Aku Cinta, Siti Rosmizah dengan bukunya Cinta Kau dan Aku serta Aisyah Sofea melalui buku Yang Sebenarnya.

Buku bukan fiksyen pula dimenangi oleh Puan Siti Nor Bahiyah melalui buku Mak, Abah, Belailah Anakmu dan buku Rahsia Minda Hebat. Datuk Zaid Ibrahim pula terpilih sebagai pemenang melalui buku Saya Pun Melayu.

Majlis penganugerahan tersebut berlangsung dengan meriah di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) pada 10.30 pagi tadi. Pemenang anugerah dipilih berdasarkan undian peminat melalui borang penyertaan yang disiarakan dalam akhbar Berita Harian bermula 7 hingga 31 Julai 2010 lalu.

Anugerah anjuran Popular dengan kerjasama Berita Harian itu, memberi peluang kepada pembaca untuk memilih pengarang pujaan mereka melalui Kategori Bukan Fiksyen dan Kategori Fiksyen sudah berlangsung tiga tahun berturut-turut.

Majlis penganugerahan tersebut berlangsung dengan meriah di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) pada 10.30 pagi tadi sempena BookFest @ Malaysia yang berlangsung pada 4 sehingga 12 September ini.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (198801006125) © 2000 - 2025