Artikel

Novel Pahlawan Mampu Tangkap Hati Pembaca

oleh Roziyah pada 20 Oct 2010

Idea memperkenalkan novel superhero dilihat mampu menangkap hati pembaca yang terdiri daripada pelbagai golongan peringkat umur.

Menurut Pengurus Penerbitan PTS Fortuna, Tuan Faizal Mukhtar, idea memperkenalkan genre novel pahlawan ini datang bagi menangkap pembaca lelaki yang sinonim dengan cerita aksi.

“Sejak daripada kecil, kita banyak dihidangkan dengan cerita-cerita aksi yang bermain dengan imaginasi. PTS Fortuna mengambil inisiatif memulakan siri pahlawan dalam dunia melayu kita,” jelas Tuan Faizal.

PTS Fortuna kini mengorak langkah menghasilkan siri pahlawan moden yang mampu membuka lembaran baru dalam dunia penulisan di Malaysia.

Bagi beliau, falsafah PTS Fortuna menghasilkan siri pahlawan Melayu ini bertujuan mendekatkan pembaca di Malaysia dengan pahlawan Melayu.

“Bagi mengembangkan siri pahlawan ini, Fortuna mengambil langkah memulakan siri pahlawan moden,” jelas Faizal lagi.

PTS Fortuna sebelum ini menerbitkan buku Takluk Jagat dan Adi Gempa yang jelas keluar daripada kepompong novel di Malaysia dengan menghidangkan imaginasi dan aksi dalam karyanya.

Terbaru, PTS Fortuna menerbitkan karya untuk pembaca lelaki dengan terhasilnya Kesatria Ajaib: Kuasa Lobak Kecil yang pastinya menjanjikan kelainan kepada pembaca.

PTS Fortuna akan terus menghasilkan karya-karya berbentuk aksi pahlawan ini bagi mempelbagaikan lagi genre buku di Malaysia ini.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024