Artikel
Pesta Buku Kanak-kanak Kuala Lumpur Janji Kelainan
oleh Roziyah pada 21 Oct 2010
Pesta Buku Kanak-kanak Kuala Lumpur (PBKKL) yang akan diadakan pada Disember ini menjanjikan kelainan kepada pengunjung dan peminat buku di Malaysia.
Jurucakap PBKKL, Puan Zainora Muhamad berkata, pesta buku kanak-kanak kali ini mampu menggamit rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama.
"Sebelum ini, kita melihat lebih ramai bangsa Melayu yang datang ke pesta buku. Kali ini kita mencipta kelainan dengan menampilkan lebih banyak buku daripada bahasa lain," jelas Puan Zainora lagi.
Selain menampilkan penerbit-penerbit yang menghasilkan buku kanak-kanak dan remaja, pesta buku kanak-kanak ini juga menyediakan pelbagai aktiviti menarik yang pastinya memberi ilmu dalam bentuk yang menghiburkan kepada kanak-kanak.
"PBKKL juga menjemput Petrosains bagi mengadakan aktiviti dan demonstrasi yang memberi manfaat dan hiburan kepada semua pengunjung yang hadir.
"Selain itu, kita juga mencipta kelainan dengan menjemput pihak Zoo Negara bagi mengadakan aktiviti menarik kepada pengunjung yang hadir. Zoo Negara akan buat pendidikan tentang alam sekitar," jelas Puan Zainora lagi.
PBKKL yang berlangsung selama lima ini mempromosikan keseronokan dunia buku kanak-kanak yang pastinya memberi manfaat kepada seluruh keluarga.
PBKKL juga menerima penyertaan daripada penerbit luar negara seperti Singapura bagi memeriahkan lagi PBKKL sekaligus merapatkan hubungan antara penerbit Malaysia dan luar negara.
Program yang diadakan pada 22 hingga 26 Dosember 2010 ini menjangkakan 300 ribu orang pengunjung yang akan hadir bagi memeriahkan PBKKL.
PTS selaku penerbit buku bahasa Melayu nombor satu di Malaysia juga tidak melepaskan peluang menampilkan pelbagai buku menarik yang boleh dibaca dan memberi hiburan bermanfaat kepada kanak-kanak.
Portal PTS juga akan menyediakan berita-berita dan maklumat terkini berkaitan PBKKL kepada tuan dan puan dari semasa ke semasa.
PBKKL ini akan diadakan di Dewan Tun Razak 3, PWTC dan PTS akan membuka booth di A49-A51, A70-A72.
Nantikan penampilan dan kemeriahan PTS di PBKKL yang mampu mendekatkan anak-anak dengan dunia buku yang penuh manfaat ini.