Artikel

Novel Terbaru Bahruddin Bekri Jadikan Pembaca Sebagai Penulis

oleh Roziyah pada 15 Oct 2010

Penulis novel remaja popular, Tuan Bahruddin Bekri mmbuat pembaharuan apabila menghasilkan novel yang mampu menjadikan pembacanya menjadi seorang penulis.

Novel terbaru yang akan terbit tidak lama lagi ini memaparkan kisah seorang penulis yang kecewa dengan hasil tulisannya.

Tuan Bahruddin Bekri yang bercerita mengenai hasil tulisan terbaru beliau berkata novel ini mengenai seorang lelaki yang berjumpa dengan sasterawan setelah kecewa dengan hasil tulisan beliau.

“Apabila lelaki itu bertemu dengan sasterawan terbabit, sasterawan itu menyuruhnya berjumpa dengan 5 manusia yang berbeza. Lelaki itu hanya boleh bertanya satu soalan sahaja.

“Dia hanya boleh bertanya ‘Apa yang kamu buat dan mengapa kamu buat?” kata Bahruddin yang menjelaskan keunikkan karya terbaru beliau.

Dalam masa yang sama, lelaki terbabit diarahkan oleh sasterawan itu bagi melatih seorang wanita yang tidak dibenarkan keluar daripada rumah dan langsung tidak tahu menulis.

“Wanita itu mengalami alahan yang teruk terhadap lebah (Anaphylaxis) dan boleh membawa maut. Jadi wanita terbabit tidak dibenarkan keluar rumah,” jelas beliau lanjut.

Novel bertajuk Penulis yang DIsayangi Tuhan ini memaparkan cabaran yang perlu dihadapi lelaki terbabit apabila terpaksa mengajar wanita yang tidak tahu menulis langsung.

“Saya hasilkan novel ini agar dapat mengajar pembaca di luar menulis,” kata Tuan Bahruddin lagi.

Novel yang akan terbit tidak lama lagi ini juga memaparkan mengenai kehidupan watak utama di rumah setinggan. Lebih menarik apabila watak tinggal di kawasan pendatang tanpa izin dan dia dianggap penduduk sekitar sebagai polis di situ.

Tuan Bahruddin Bekri juga sedang menhasilkan sambungan Diari Mat Despatch. Melalui Diari Mat Despatch siri kedua ini, Bahruddin Bekri memaparkan situasi Rayyan iaitu watak utama yang mencari penyelesaian bagaimana menjadi lelaki yang baik.

Beliau yang menghasilkan 11 novel bersama PTS ini mempunyai pengikutnya yang tersendiri yang terdiri daripada pelbagai peringkat umur.

Tuan dan puan juga boleh mengikuti perkembangan terkini Bahruddin Bekri melalui facebook di  Bahruddin Bekri FC

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024