Artikel

Kerjasama PTS Fortuna dan Dato’ A. Samad Said Lestarikan Dunia Sastera di Malaysia

oleh Roziyah pada 14 Oct 2010

Melalui kerjasama antara PTS Fortuna dengan Wira Bukit Sdn. Bhd, karya tulisan sasterawan negara, Dato’ A. Samad Said mampu tersebar luas kepada masyarakat luar sekaligus melestarikan dunia sastera di Malaysia.

Menurut pengurus Wira Bukit Sdn. Bhd, Tuan Helmy Samad, persepsi yang mengatakan buku sastera sukar dijual di pasaran tidak boleh diterima kerana buku-buku sasterawan di negara ini mempunyai pengikutnya yang tersendiri.

“Buku-buku sastera ini sendiri harus wujud dan nampak di pasaran agar ia dilihat oleh masyarakat. Di antara penulis dengan penerbit harus ada keserasian agar kepercayaan antara mereka kukuh,” jelas Tuan Helmy.

Tuan Helmy yang juga anak kepada Dato’ A. Samad Said berkata penerbit dan penulis di Malaysia harus bersatu agar karya yang dihasilkan sampai kepada masyarakat luar.

“PTS mampu menjaga penulisnya dan berkemampuan mengedarkan karya dengan lebih jauh daripada apa yang kita fikirkan,” jelas beliau lanjut.

Bercerita permulaan kerjasama dengan PTS Fortuna, Tuan Helmy berkata matlamat mengambil kembali hak penerbitan buku-buku Pak Samad dan mencari penerbit yang sesuai bagi menerbitkan buku-buku Pak Samad adalah kerana mahu memelihara buku-buku tulisan Pak Samad.

Sejak tahun 2003, Wira Bukit menerbitkan 13 buah buku Pak Samad termasuklah buku-buku yang diambil kembali hak penerbitannya daripada penerbit sebelum ini. Dalam masa yang sama, Tuan Helmy juga mencari penerbit yang sesuai bagi menerbitkan dan mempromosikan buku-buku Pak Samad.

Beliau dalam pada itu melihat perkembangan PTS sejak dari awal penubuhannya hingga membesar menjadi sebuah syarikat penerbitan buku berbahasa Melayu pertama di Malaysia.

“Kami mencari penerbit yang kami percaya mampu memelihara dan meluaskan pasaran buku-buku Pak Samad,” jelas Tuan Helmy lagi.

Walaupun hak penerbitan diberikan kepada PTS Fortuna, Tuan Helmy masih mengambil tangungjawab memantau buku-buku yang dikeluarkan terutama di bahagian kulit buku.

“Perlu ada perbezaan antara kulit buku biasa dengan kulit buku sastera. Kami melihat PTS berjaya menghasilkan perbezaan tersebut melalui kulit buku terbitan PTS,” jelas beliau lagi.

Pada satu Oktober lalu tercatat sejarah apabila secara rasminya PTS Fortuna Sdn bhd menerbitkan semula karya hasil tulisan Pak Samad.

Wira Bukit Sdn. Bhd yang diuruskan oleh Anak Pak Samad sendiri iaitu Tuan Helmy Samad memberikan sepenuhnya hak penerbitan kepada PTS Fortuna bagi menerbitkan semua karya-karya hasil tulisan Pak Samad.

Nantikan buku-buku tulisan Pak Samad terbitan PTS yang bakal menemui peminat buku pada Januari 2011 ini.

 

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024