Obsesi Alam Ghaib: OMG! Gadis Berhantu

oleh Amirah pada 27 Nov 2015

img_1586

Adakah anda seorang yang berani? Kalau ya, cabar diri untuk membaca buku OMG! Gadis Berhantu ini.

Kelainan yang cuba ditampilkan dalam koleksi buku OMG! kali ini berkisarkan tentang seorang gadis yang obses terhadap hantu!

Jarang kita mendengar kisah pelajar perempuan yang begitu taksub dengan kisah seram, hantu dan perkara mistik. Ini sesuatu yang luar biasa.

Mungkin anda mula terbayangkan cerita-cerita hantu dari Korea atau Jepun yang banyak memaparkan elemen mistik terutama berkaitan pelajar sekolah.  

Penulisnya mendapat inspirasi membuat kisah seram ini, menerusi rancangan Misteri Nusantara yang pernah popular tak lama dulu. Olahan jalan cerita yang sangat menarik.

Bahkan, para pembaca akan berasa teruja untuk mengetahui apa yang akan berlaku kepada Siti Anum pada tajuk-tajuk yang seterusnya. Buku ini mengandungi sepuluh tajuk kesemuanya.

Para pembaca yang sentiasa mengikuti koleksi buku-buku OMG! terbitan Blink Book pasti tidak akan melepaskan peluang untuk mengkhatam buku ini, kan?

Mengisahkan tentang Siti Anum seorang gadis yang obses terhadap kisah seram, alam ghaib dan mistik. Dia memiliki masalah kurang keyakinan diri dan menjadi kera sumbang kerana minatnya yang menakutkan itu.

Apabila berpindah ke Sekolah Sri Bangsar, Mak Esah yang merangkap neneknya, bimbang jika gadis itu sukar untuk membiasakan diri di tempat baru.

Lalu, diaturkan pertemuan bersama Siti Anum dan anak rakan bernama Zuliana si penakut tegar.

Pada masa yang sama kecoh di sekitar taman perumahan Sri Bangsar bahawa terdapat gangguan-gangguan misteri di tempat tersebut.

Siti Anum yang sememangnya obses terhadap hantu mula berasa teruja mahu menjejak makhluk itu.

Dia mengajak Zuliana agar menyertai misi tidak masuk akalnya, untuk memburu hantu-hantu yang berkeliaran di sana.

Benarkah ada hantu yang telah menganggu kedamaian Bangsar? Berjayakah Siti Anum menjejak hantu berkenaan?

Sebenarnya, hantu dan makhluk halus hanya khayalan yang dicipta  oleh syaitan bagi mengaburi dan menakut-nakutkan manusia.

Jika kita terlalu taksub dan percaya dengan perkara sebegitu, dikhuatiri akan menjejaskan akidah kita. Harus berhati-hati, ya?

Bagi yang gemar membaca kisah-kisah hantu, jangan pula terlampau fanatik sehingga memudaratkan diri-sendiri.