Artikel

Orang Yang Tidak Sentuh Buku-Buku Ini Memang Rugi!

oleh Syarafuddin Sulaiman pada 22 Jun 2015

“Islam ada penyelesaian untuk semua perkara.”

“Islam itu sudah lengkap.”

Biasa untuk kita dengar kata-kata begini. Bahkan kadang-kadang ucapan seumpama ini sudah menjadi terlalu biasa, sehinggakan ia berbunyi klise. Sedap dan gah di telinga, tapi tidak berpijak di bumi yang nyata.

Kalau benarlah Islam itu begitu hebat, kenapa umat Islam adalah antara yang termundur?

Sekiranya Islam ada jawapan untuk serba-serbi, kenapa kitalah yang sakan mengikut orang?

Persoalan-persoalan begini bukan sahaja ditanya oleh orang bukan Islam. Bahkan ada antara orang Islam sendiri yang bersuara.

Mungkin ada yang memandang soalan begini tidak patut. Tetapi usah kita lupa kepada kata-kata yang berbunyi, “Iman itu lahir selepas menghilangkan keraguan-keraguan.”

Memang hidup dalam dunia hari ini mudah untuk terasa kompleks bagi seorang Muslim.

Dalam dunia di mana Barat yang ‘jahat’ jauh lebih moden dan banyak kali juga jauh lebih beradab dan amanah, Muslim hilang arah. Islam tinggal sebagai satu identiti semata-mata.

Dalam pencarian makna diri dan arah, mencari posisi yang wajar serta juga sikap, kehadiran ilmuwan seperti Syeikh Yusuf Al-Qaradhawi sangat penting.

Setiap zaman mempunyai isu dan perjuangannya sendiri. Dan insyaallah Syeikh Yusuf maklum apakah keperluan untuk umat zaman ini.

Dalam pengenalan buku Halal dan Haram dalam Islam, beliau menyatakan dengan jelas konflik pertentangan antara apa yang digelar Barat dan Islam. Pada satu penjuru, wujud pendewaan Barat. Di mana ini tentunya tidak perlu selepas Islam membebaskan manusia daripada perhambaan sesama manusia.

Tidak kiralah perhambaan secara fizikal, mahupun perhambaan secara minda dan rohani.

Pun begitu, di satu sudut yang lain, wujud isu yang berbeza pula. Bahawa Islam itu adalah apa yang sudah sedia ada dalam kitab-kitab.

Sudah beku dan kaku, dan tidak boleh sama sekali berubah lagi.Apa sahaja yang datang selepas itu, yang terlihat canggung, terus menjadi haram.

Jasa besar Syeikh Yusuf Al-Qaradhawi kepada umat zaman ini adalah beliau sentiasa mengambil pendekatan secara wasatiyah.

Jalan wasatiyah ini menjadi jalan fikir dan dakwah beliau. Jalan ini jugalah yang dipromosi dalam dakwah dan juga fatwa-fatwa beliau.

Wasatiyah atau terjemahan mudahnya ‘pertengahan’ ini bukanlah bermaksud kita menjadi “atas pagar” atau tidak mengambil pendirian. Tidak begitu.

Wasatiyah juga tidak bermaksud lembut pada semua tempat dan membiarkan orang menyepak menumbuk sesuka hati. Bukan pula begitu.

Wasatiyah ada kaitannya dengan mementingkan apa yang benar-benar utama, dan berlapang pada apa yang boleh dibincang.

Begitu penting jalan fikir ini, sehinggakan ada kitab khusus yang dikarang oleh Syeikh Yusuf berjudul Fiqh Keutamaan (Fiqhul Awlawiyyat).

Bercakap soal buku beliau, sering kali tulisan-tulisan Syeikh disalah faham sebagai “berat” ataupun “untuk pelajar jurusan agama sahaja”. Ini tanggapan yang bukan sahaja silap, bahkan merugikan. Sekalipun tajuk seperti Fiqh Keutamaan bunyinya “canggih” dan teknikal, tetapi bahannya cukup praktikal dan hidup.

Rugi kerana Syeikh Yusuf bukan hanya memberikan contoh-contoh isu yang biasa berlaku. Katakan dalam kes menunaikan haji.

Adakah wajar kita tunaikan lebih daripada sekali ataupun lebih baik mendermakan wang tadi.

Lebih utama adalah beliau menggariskan juga prinsip-prinsip asas.

Daripada prinsip-prinsip ini, kita akan mampu membuat keputusan-keputusan lain pula. Keputusan yang senarionya belum disentuh dalam buku.

Kalau kita ingin menjadi orang Islam yang bukan seperti burung kakaktua, sekadar mengulang tetapi tidak faham, kita wajar mula menelaah buku-buku beliau.

Daripada buku seperti Fatwa Palestin, kita menjadi faham apa sebenarnya yang berada di sebalik isu Palestin dan Israel.

Dari situ, kita akan mampu mengambil sikap yang lebih konkrit dan konsisten, dan bukannya hanya bermusim atau hangat-hangat tahi ayam.

Daripada buku seperti himpunan Fatwa Kontemporari, kita terus maklum akan banyak hukum-hakam berkenaan persoalan-persoalan yang lahir pada zaman moden.

Contohnya berkenaan bank susu ibu ataupun persoalan-persoalan lain yang seumpama. Dari sini, kita tidaklah hanya mengikut-ikut sahaja logik, tetapi berdasarkan displin ilmu dan kajian.

Lebih daripada itu, sekalipun pada awal tulisan ini mempersoalkan, membaca buku Dr. Yusuf Al-Qaradhawi sememangnya insyaallah memadamkan keraguan yang wujud. Memang Islam mempunyai jawapan.

Namun jawapan Islam bukanlah satu hala, simplistik, dan terikat dengan apa yang sedia ada sahaja.

Dengan membaca satu demi satu naskah beliau, kita menjadi lebih nampak akan semangat Islam. Kita juga akan lebih faham bagaimana mahu hidup pada zaman moden ini tanpa perlu meninggalkan agama.

Bahkan lebih daripada itu, kita berpeluang melihat bagaimana agama pula yang sebetulnya memandu kita, melalui kekecamukan dunia akhir zaman ini.

Insyaallah.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024