Artikel

Kisah Pengajaran: Siri Hikayat Teladan: Padi Berbuah Emas Dan Cerita-Cerita Lain

oleh Adzkia Amanah Ugi Suharto pada 19 Jun 2015

Menelusuri Siri Hikayat Teladan: Padi Berbuah Emas Dan Cerita-Cerita Lain kali ini, membawa nostalgia zaman kanak-kanak kembali lagi.

Ianya adalah suatu saat yang indah untuk dikenang, dan akan sentiasa hidup dalam benak fikiran.

Kisah Awang dan ayamnya yang membawa tuah adalah sangat wajar untuk dikongsikan bersama dengan para pembaca cilik.

Padanya ada pengajaran berharga bahawa nasihat ibu bapa sangat bernilai dalam kehidupan ini.

Dalam kisah Raja Diperdaya Burung Pipit pula, adik-adik pembaca akan berkenalan dengan sang raja yang gemar berburu di dalam hutan.

Pertemuan raja dengan burung pipit akan mengajar suatu pengajaran buat kita semua.

Adik-adik pasti tertanya-tanya apakah ia dan mengapakah raja menjadi insaf selepas kejadian itu.

Bagi kisah Pengembala Yang Tamak pula, selamat berkenalan dengan kisah si pengembala yang sangat mementingkan diri dan tidak mempedulikan orang lain.

Kerana inilah ada pepatah melayu yang menyebut, orang tamak selalu rugi.

Dan cerita terakhir yang akan menemui semua pembaca ialah kisah Padi Berbuah Emas.

Orang yang suka berkongsi akan sentiasa mendapat balasan baik bukan?

Nantikan kisah petani yang pemurah dan tidak kedekut terhadap burung-burung yang gemar memakan tanaman padinya.

Semoga terhibur dengan kisah-kisah dari Siri Hikayat Teladan kali ini.

Adik-adik bukan hanya dapat bergembira dengan kisah-kisah menarik ini, tetapi juga dapat mempelajari nilai-nilai murni untuk diamalkan dalam kehidupan.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024