Artikel

Pelajar Sekolah Kejar Novel Sejarah PTS

oleh Roziyah pada 06 Jun 2011

Menghasilkan buku-buku sejarah dan menyerapkan fakta dalam tulisan bukannya mudah. Kajian yang lengkap perlu diterapkan bagi memberi fakta yang benar dan menggambarkan realiti sejarah yang sebenar kepada khalayak pembaca. Cara penyampaian juga perlu memenuhi kehendak pembaca supaya pembaca terutamanya pembaca cilik tidak bosan dan jemu membaca tulisan sejarah yang dihasilkan.

Penulis sejarah kegemaran ramai, Tuan Abdul Latip Talip atau lebih dikenali sebagai Pak Latip mampu membuktikan yang penulisan sejarah juga mampu mendapat perhatian pembaca cilikbagi mendalami sejarah silam sebagai manfaat kepada mereka akan datang.

Menghasilkan karya sejarah dalam bentuk novel menjadikan novel-novel sejarah tuan Abdul Latip Talip mendapat perhatian pelajar sekolah yang mahu mendapatkan gambaran lengkap sejarah Islam dan sejarah Melayu dalam subjek sejarah di sekolah.

"Walaupun novel-novel sejarah ini tidak dijadikan sebagai rujukan lengkap di sekolah, namun pelajar sendiri mengambil inisiatif mendapatkan novel-novel sejarah ini sebagai bahan bacaan tambahan di sekolah," jelas Pak Latip sendiri.

Guru-guru sekolah sendiri mengakui novel Pak Latip mampu dijadikan rujukan lengkap pelajar yang ingin mendapatkan maklumat dan gambaran lengkap berkait sejarah Islam dan sejarah Melayu.

Ahad lalu, bertempat di Mydin USJ Subang Jaya, Tuan Abdul Latip Talip berjaya mendapat perhatian peminat beliau yang terdiri daripada pelbagai peringkat umur dan datang dari serata negeri.

Buku tulisan Tuan Abdul Latip Talip juga mendapat perhatian ramai yang menggemari karya-karya sejarah. Melalui program anjuran Mydin Mall Subang Jaya juga memperkenalkan tulisan tuan Abdul Latip kepada pembaca baru yang ingin membaca hasil tulisan beliau.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (198801006125) © 2000 - 2025