Artikel
Pandang Ke Timur
oleh Helmi pada 14 Apr 2006
Seseorang itu perlu bersedia menukar sikap, tabiat dan kebiasaan. Masyarakat di timur sebenarnya sudah mempunyai asas-asas ciri persamaan dengan orang Jepun. Walaupun latar belakang budaya agak berbeza, namun cara hidup agak sama. Malahan jika dibandingkan dengan barat, budaya orang Jepun hampir sama dengan budaya masyarakat di Malaysia.
Dasar pandang ke timur bukannya belajar menjadi orang Jepun, namun bermaksud mengambil segala aspek-aspek positif yang terdapat pada orang Jepun. Sudah sewajarnya Jepun dicontohi kerana berjaya membuktikan keupayaan untuk berjaya dalam bidang ekonomi. Pertumbuhan ekonominya pesat dengan aset dan sumber kewangan yang banyak. Prasarana perindustriannya maju dan keupayaan teknikalnya juga unggul dengan kemahiran tenaga manusia yang suka ditandingi. Kita adalah sumber tenaga manusia yang ramai tetapi tidak memiliki teknik dan kemahiran sebagaimana yang dimiliki oleh orang Jepun. Teknik ini perlu dipelajari dan tidak datang dengan sendirinya. Orang Jepun memasuki semua bidang dan mereka berjaya dalam bidang-bidang yang diceburinya.
Selepas menempa nama dalam bidang perindustrian seperti industri perkapalan, pembuatan, tekstil, elektrik dan elektronik, Jepun muncul sebagai kuasa teknologi maklumat (IT) yang baru. Meskipun pembangunan IT di Jepun tidak sehebat barat, namun mereka cepat belajar dan mengejar. Beberapa syarikat gergasi membangunkan sektor IT dan sedang bergerak menjadi taiko kepada bidang itu seperti Misayoshi Son yang melalui syarikat Sofbank Inc. Syarikat ini dianggap sebagai peneraju nakal yang membawa Jepun ke era ekonomi yang berlandaskan IT dan perdagangan teknologi komputer. Misayoshi adalah generasi ketiga kelahiran Korea-Jepun dan digelar sebagai Bill Gates Jepun kerana kejayaannya dalam bidang perisian komputer.
Bangsa Jepun pandai mengejar peluang. Mereka juga pandai melakukan perubahan dan penyesuaian, sejajar dengan perkembangan ekonomi semasa. Disebabkan itulah Jepun kekal relevan dalam era globalisasi yang menyaksikan kemunculan banyak kuasa ekonomi baru dari Asia. Selain dikejar rapat oleh Korea, Jepun turut berhadapan dengan persaingan dari negara-negara seperti Taiwan, Hong Kong dan Singapura. Saingan terbaru Jepun adalah negara China. Sejak melakukan reformasi pada polisi ekonomi dan membuka pintunya kepada dunia luar, negara itu mencatatkan pertumbuhan ekonomi yang sangat memberangsangkan. Krisis ekonomi pada tahun 1997 tidak membantutkan pertumbuhan ekonominya. Sebaliknya China terus bergerak maju dengan mencatatkan pertumbuhan ekonomi yang positif. China dianggap sebagai pasaran paling baik bagi membuat pelaburan dengan bilangan penduduknya yang melebihi satu bilion.
China adalah negara timur yang dalam perhatian. Maka tidak pelik apabila semakin banyak negara yang mengalih perhatian ke China. Banyak industri yang berpusat di Asia Tenggara mula memindahkan operasi masing-masing ke China kerana tenaga kerja yang ramai dan kos pengeluaran yang rendah.
Tambahan pula, kerajaan China memberikan kemudahan kepada mereka yang mahu melabur di sana. Tidak syak lagi China mengiringi Jepun bagi menjadi negara maju dan menguasai ekonomi Asia. China adalah ‘naga’ yang baru bangkit daripada tidur. Untuk China menggugat dan menggantikan Jepun barangkali masih jauh lagi. Namun, negara itu sedang mengekori rapat negara Jepun. Kemunculan tiga negara serangkai iaitu Jepun, Korea Selatan dan China menjadikan timur sebagai rantau yang paling berpotensi bagi pembangunan pada zaman milenium.
Kedudukan ekonomi Jepun masih teguh. Malahan kemunculan Korea Selatan dan China sebagai kuasa ekonomi turut membantu perkembangan ekonomi Jepun. Munculnya negara-negara berkenaan bermakna pasaran semakin luas. Persaingan tidak melumpuhkan Jepun, namun menjadikan bangsa Jepun kembali menjadi lebih kuat dan kreatif lagi. Berbanding dengan barat, Jepun tidak mempunyai bebanan hutang yang banyak. Sebaliknya banyak negara yang berhutang dengannya.
Memang tidak dinafikan yang krisis ekonomi menyebabkan syarikat perbankan, firma sekuriti, kontraktor besar dan para peniaga terperangkap dalam lingkaran hutang yang mencengkam. Bagi mengatasi masalah ini, kerajaan Jepun melaksanakan beberapa pembaharuan pada program ekonominya. Antaranya adalah mengubah struktur negara itu dalam keadaan perekonomian yang lebih kukuh. Pembaharuan penting bagi pertumbuhan dan perkembangan ekonomi. Jikalau Jepun sentiasa melakukan pembaharuan, mengapa negara-negara lain tidak melakukan perkara yang serupa. Inilah asas utama mengapa kita perlu pandang ke timur.