Artikel
Tip Bisnes di Korea Selatan
oleh Helmi pada 12 Apr 2006
Bak kata pepatah, lain padang lain belalang, lain orang lain pula ragamnya. Setiap masyarakat mempunyai cara hidup, budaya dan etika tersendiri. Oleh itu, para usahawan perlu berusaha mempelajari dan memahami sosiobudaya serta pemikiran masyarakat negara yang mempunyai hubungan urus niaga dengannya.
Berbeza dengan masyarakat barat yang bersikap agak terbuka, masyarakat di rantau timur pula bukan sahaja bersikap konservatif tetapi masih kuat mempertahankan budaya dan nilai tradisinya. Walaupun negara Jepun sudah mencapai taraf sebuah negara maju tetapi rakyatnya masih mengekalkan nilai-nilai tradisi yang diwarisi sejak turun-temurun.
Sikap itu juga dapat diperhatikan pada masyarakat Korea Selatan yang terus mempertahankan warisan budaya dan bahasanya walaupun negara itu kini menjadi antara peneraju ekonomi dunia. Rakyat Jepun dan Korea Selatan memiliki semangat etnosentrisme yang tinggi. Mereka terlalu taksub kepada budaya dan tradisinya sehingga sukar menerima budaya serta cara hidup masyarakat lain.
Oleh itu, dalam menjalankan urus niaga dengan masyarakat Jepun dan Korea Selatan, para usahawan perlu menghormati budaya dan kehidupan sosial masyarakat di sana. Kegagalan para usahawan berbuat demikian mungkin menyebabkan urus niaga itu mengalami kegagalan dan kesukaran pada masa hadapan.
Berbanding dengan masyarakat Jepun, orang Korea Selatan bersikap lebih terbuka. Orang Korea Selatan mudah menyesuaikan diri mereka dengan perkembangan dan perubahan yang berlaku. Tetapi ini tidak bermakna mereka boleh terima budaya masyarakat lain dengan mudah.
Bagi menjadi bangsa maju, orang Korea Selatan sedar mereka perlu menerima proses pemodenan yang melanda dunia dewasa ini. Apa yang mereka lakukan adalah menyesuaikan diri dengan perubahan yang berlaku supaya tidak terus ketinggalan dan ditinggalkan oleh kemajuan yang pesat. Kemampuan mengadaptasi diri adalah antara rahsia kejayaan ekonomi Korea Selatan. Oleh itu, barangan keluaran Korea Selatan semakin mendapat perhatian dan sambutan daripada para pengguna di seluruh dunia.
Barangan elektrik dan kereta keluaran Korea Selatan misalnya mempunyai reka bentuk yang menarik serta memenuhi ciri-ciri yang dikehendaki oleh masyarakat masa kini. Kereta buatan Hyundai mendapat pasaran meluas kerana ia menggabungkan ciri-ciri klasik yang ada pada kereta buatan barat dengan kecanggihan teknologi abad ke-21. Sebagai hasilnya terbentuk imej dan identiti tersendiri bagi kereta keluaran Hyundai dan Korea Selatan yang lain.
Orang Korea Selatan mementingkan imej. Bagi mereka yang menjalankan urus niaga di Korea Selatan tidak digalakkan memakai pakaian berwarna-warni dan terang. Apabila bertemu dengan rakan niaga, perkara yang perlu dilakukan adalah menghulurkan tangan dan berjabat dengan mereka. Soal siapa yang patut menghulurkan tangan terlebih dahulu tidak penting.
Kebiasaannya, orang lebih tua akan menghulurkan tangan dalam satu-satu pertemuan yang diadakan. Bagi wanita Korea, mereka jarang berjabat tangan. Bagi menghormati tetamu yang datang, mereka akan tundukkan sedikit kepalanya. Selepas berkenalan, seelok-eloknya menghulurkan kad perniagaan bagi memperkenalkan diri.
Kad niaga adalah alat komunikasi yang digunakan secara meluas di Korea Selatan dalam apa sahaja urusan terutamanya bidang perniagaan. Bagi mereka yang berhajat mencari peluang dan ruang niaga di Korea Selatan diingatkan supaya membawa kad niaga dalam kuantiti yang banyak walaupun kunjungan itu hanya bagi suatu tempoh masa singkat.
Sekiranya kad niaga dapat dicetak di Korea Selatan ia mungkin memberikan lebih banyak kelebihan kepada para usahawan dari luar. Ini kerana dengan mencetak di negara itu, ia membolehkan nama dan syarikat atau organisasi usahawan itu dimasukkan ke dalam senarai alamat di Korea Selatan. Ini akan memudahkan usahawan itu dihubungi dan dikesan oleh pelbagai pihak di negara itu.
Sebaik-baiknya kad niaga itu perlu disampaikan dengan kedua-dua belah tangan sebagai tanda keikhlasan dan kesungguhan. Jangan sekali-kali memberikan kad niaga itu menggunakan tangan kiri kerana ia dianggap sebagai satu perbuatan tidak sopan dan biadab. Perbuatan membaca dan mengulang kaji sedikit kad niaga yang dihulurkan kepada kita sebelum menyimpannya ke dalam kocek menunjukkan kepada rakan niaga Korea berkenaan keseriusan kita berurus niaga dengan mereka.
Bagi membolehkan pertemuan dan urus niaga berjalan dengan lancar, elakkan daripada memandang ke muka orang Korea pada suatu jangka masa yang lama. Orang Korea tidak gemar pandangan mata yang tajam menuju tepat ke matanya. Hubungan mata sedemikian dianggap sebagai tidak sopan terutama semasa sedang rancak berbual.
Bagi usahawan yang berurus niaga dengan orang Korea, mereka tidak perlu berasa kecil hati dan tersinggung seandainya dalam perbualan itu, rakan niaga tidak memandang ke mukanya dan sering sahaja melihat ke bawah ataupun arah lain. Perbuatan itu adalah perkara biasa bagi orang Korea dan ini adalah kaedah mereka berkomunikasi serta berinteraksi dengan para tetamunya.
Gerak-geri itu bukan menandakan kelemahan orang Korea ataupun kerana mereka bersifat pemalu. Bagi orang Korea, menjalinkan persahabatan dan menunjukkan keikhlasan tidak perlu berjabat tangan dengan kuat. Cukup sekadar menyentuhnya sahaja. Itu sudah memadai bagi orang Korea yang tidak suka kepada hubungan terlalu rumit dan intim.
Apabila orang Korea sudah mengenali seseorang itu, mereka akan menganggapnya sebagai kawan. Makna dan pengertian kawan bagi orang Korea dalam konteks kehidupan kita adalah kawan baik dan karib. Orang Korea mementingkan nilai persahabatan dan menganggap persahabatan memerlukan sikap saling bertanggungjawab antara satu sama lain.
Seperti orang Jepun, orang Korea begitu menepati masa dan berpegang kepada janji. Kepada mereka yang menjalankan urus niaga dengan orang Korea, dua perkara itu perlu dijaga dengan sebaik mungkin bagi memastikan jalinan persahabatan dan perniagaan terus berkekalan.
Tip yang diutarakan di sini sebenarnya mudah sahaja diimplementasikan. Dengan mengikuti tip dan menyelami sosiobudaya itu dengan lebih mendalam, ia akan memberikan lebih banyak kelebihan kepada para usahawan bagi menjalankan perniagaan di sana tanpa berdepan dengan halangan dan rintangan yang besar. Ciri-ciri ini perlu ada pada setiap usahawan sekiranya mereka ingin berjaya dalam perniagaan di peringkat antarabangsa dan global.