Artikel

Panduan untuk Guru dan Jurulatih

oleh Helmi pada 04 Jan 2005

Bahagian 1
Panduan untuk Guru dan Jurulatih

Cara Menggunakan Buku Ini

Buku ini ditulis bagi menolong guru-guru mengajarkan teknik-teknik berfikir kepada para pelajar. Tetapi, ibu bapa pun boleh menggunakan buku ini untuk membimbing anak masing-masing.

Kami mengesyorkan kaedah ini diperkenalkan mulai tahun empat sekolah rendah. Tetapi guru-guru boleh memperkenalkan teknik-teknik ini lebih lewat daripada usia itu. Prinsip-prinsip berfikir serupa sahaja, seperti halnya dengan prinsip-prinsip matematik. Hanya bahan sahaja yang perlu disesuaikan dengan peringkat usia. Bagi pelajar yang lebih tinggi usianya, soalan-soalan yang diberi perlu lebih kompleks, dan jawapan-jawapan yang diharap daripada para pelajar lebih kompleks juga.

Teknik-teknik ini juga boleh diperkenalkan kepada pelajar-pelajar di bawah usia 10 tahun, tetapi guru perlu memberi soalan-soalan yang sesuai dengan peringkat usia itu.

Fokus

Aktiviti berfikir selalu dibuat secara tidak berdisiplin, tidak tentu arah dan selekeh.

Kita memberi kepada para pelajar satu masalah untuk diselesaikan, mereka mula mendapat macam-macam idea untuk menyelesaikan masalah-masalah lain sama sekali.

Kita suruh para pelajar membincangkan satu topik, mereka mula terbawa-bawa dan membincangkan hal-hal lain yang lain daripada topik asal. Memanglah, apabila perkara-perkara seperti ini berlaku, para pelajar rasa seronok, tetapi cara mereka berfikir kekal tidak efektif.

Berfikir memerlukan disiplin. Ini penting dalam mengajarkan kemahiran berfikir. Tanpa disiplin para pelajar akan berfikir secara simpang-perenang, berputar-putar tidak tentu arah dan oleh itu tidak mencapai hasil yang dikehendaki. Dengan hal yang demikian mereka tidak dapat mencapai rasa puas dan rasa berjaya.

Bagi mengelakkan masalah seperti di atas, kita perlu memberi kerangka berfikir yang lebih ketat kepada para pelajar. Perkara ini nampak seperti bertentangan daripada aktiviti berfikir itu sendiri yang sepatutnya dibuat secara bebas, tidak terkongkong dan tidak terhad.

Sebenarnya, kerangka yang lebih ketat tidak membawa kesan negatif pada aktiviti berfikir. Semakin ketat kerangka itu semakin pelajar dapat berfikir dengan bebas dalam kerangka itu. Keadaan ini diibaratkan seperti seorang tukang kayu. Seorang tukang perlu ada alat kerja, dan dia juga perlu mahir menggunakan alat itu. Kalau tidak, dia tidak boleh bertukang. Dia bebas bekerja dengan cara-cara yang dia suka dan untuk apa-apa tujuan yang dia suka. Tetapi, pada setiap masa si tukang kayu tahu apa kerja yang dia akan buat menggunakan alat itu dan dia mahir menggunakan alat itu. Demikianlah juga halnya dengan kemahiran berfikir dan teknik-teknik berfikir. Bagi mendapatkan fokus, guru perlu sentiasa ada soalan-soalan ini dalam kepala:

1. Apakah subjek yang sedang aku ajarkan sekarang?
2. Apakah teknik berfikir yang aku mahu pelajar gunakan sekarang?

Cara Mengajar

Guru-guru diingatkan supaya melakukan perkara-perkara berikut:
1. Jangan disusah-susahkan.
2. Jangan dikacau-bilaukan.
3. Guru mesti jelas apa yang sedang dilakukannya.
4. Buat latihan dengan menggunakan pelbagai bahan latihan.
5. Gunakan banyak contoh supaya pelajar faham apa yang guru mahu mereka lakukan.

Kemahiran berfikir hendaklah diajar mengikut kaedah dari tengah. Ertinya, guru perlu memberikan contoh-contoh yang jelas kepada para pelajar.

Katakanlah, para pelajar mengalami kekeliruan. Mereka tidak pasti yang itu ataupun yang ini. Jangan jadikan keadaan itu asas bagi memulakan perbincangan dan perdebatan yang berjela-jela di kalangan para pelajar. Guru jangan pula menokok tambah dengan memberi pendapat-pendapat dan falsafah-falsafah dengan harapan kekeliruan itu akan dapat ditamatkan. Apabila guru berbuat begitu, itu adalah cara mengajar dari tepi. Dalam keadaan begitu, lebih baik guru memberi contoh lain yang lebih jelas kepada para pelajar.

Guru perlu sentiasa jelas akan apa yang hendak dicapainya. Ada masanya guru gagal mencapai apa yang hendak dicapai, tapi yang penting guru tahu apa yang cuba dicapainya.

Dalam membuat semua latihan, adalah penting supaya sesi dijalankan dengan cara-cara yang mudah dan praktikal. Jangan peduli mencari cara-cara dan jawapan-jawapan yang sempurna serba-serbi.

Guru boleh menggunakan cara-cara di bawah bagi mengajarkan teknik-teknik berfikir di dalam buku ini.

1. Tunjuk ajar
Sebelum memberikan latihan untuk dibuat oleh pelajar, guru menunjukkan cara-cara membuat latihan itu. Ini bertujuan memastikan para pelajar faham apa yang guru mahu mereka lakukan. Terangkan teknik berfikir yang akan mereka pelajari dan tunjukkan cara yang betul bagaimana teknik itu digunakan.

2. Soal jawab lisan
Semua latihan berfikir boleh dibuat secara soal jawab lisan. Guru bertanya, murid-murid mengemukakan cadangan. Cadangan-cadangan itu boleh dituliskan pada papan hitam supaya dapat dinilai bersama-sama.

3. Secara tulisan
Guru boleh meminta para pelajar mengemukakan cadangan-cadangan mereka secara bertulis supaya dikutip dan dinilai oleh guru.

4. Secara lukisan
Kaedah ini sesuai untuk soalan-soalan yang berupa reka cipta. Kaedah ini juga sesuai digunakan kepada para pelajar di bawah usia 12 tahun. Murid-murid boleh menunjukkan lukisan-lukisan mereka dan memberi penerangan lanjut kepada pelajar-pelajar lain secara lisan.

5. Arahan kepada individu
Guru memberi bahan latihan dan mengarahkan supaya tiap pelajar membuat latihan itu dalam tempoh waktu yang ditetapkan. Kalau mahu, pelajar boleh diberi beberapa minit untuk berfikir sebelum membuat soalan yang diberikan. Para pelajar membuat latihan ini secara lisan. Guru boleh memberi komen-komen kepada jawapan-jawapan mereka.

6. Latihan berkumpulan
Para pelajar dibahagi-bahagikan kepada kumpulan empat ataupun lima orang. Guru memberi latihan yang serupa kepada semua kumpulan. Selepas mereka membuat soalan itu, guru boleh meminta setiap kumpulan melantik jurucakap bagi menerangkan jawapan yang mereka buat.

Gabungan guru dan pelajar
7. Di sini guru dan pelajar sama-sama membuat latihan. Guru ikut memberi cadangan-cadangan bagi mendorong para pelajar mengemukakan cadangan-cadangan mereka. Ini dilakukan terutamanya apabila para pelajar menemui jalan buntu. Cara ini tidak bermakna guru dan pelajar membuat perbincangan dan perdebatan. Ini bererti mereka sama-sama menerbitkan idea, bukan mengupas idea yang sudah dikemukakan. Kaedah ini dibuat secara lisan.

Latihan
Latihan-latihan yang disediakan di dalam buku ini diduga dapat menimbulkan rasa seronok kepada para pelajar.

Tujuan buku ini ditulis bagi membantu guru-guru mengajar para pelajar berfikir menggunakan kaedah-kaedah yang mudah tetapi berkesan. Jadi, buku ini bukanlah alat memberi tahu apa yang sepatutnya mereka buat ataupun jangan buat. Guru-guru digalakkan membuat bahan-bahan latihan tambahan sendiri supaya lebih sesuai dengan situasi bilik darjah dan para pelajar yang mengikuti kursus ini.

Bahan Latihan
Bahan-bahan latihan di dalam buku ini patut digunakan. Sekiranya mahu, guru-guru boleh membuat tambahan. Ada empat jenis bahan latihan.

1. Bahan seronok
Bahan-bahan ini dapat menimbulkan rasa seronok pada para pelajar kerana ia menggalakkan mereka menggunakan banyak daya imaginasi yang gila-gila dan memerlukan keupayaan membuat bermacam-macam ramalan. Walaupun begitu, di sebalik keseronokan itu mereka akan menggunakan prinsip-prinsip berfikir yang serius. Sebagai contoh soalan, “Apa akan jadi jika kamu ada tujuh jari pada kedua-dua belah tangan kamu?”

Bahan-bahan ini dapat memberi dorongan dan keseronokan kepada para pelajar supaya mahu belajar menggunakan teknik-teknik berfikir yang diajarkan. Salah satu ciri peng-gunaan bahan-bahan ini adalah tidak ada gangguan prejudis, perasaan dan pengalaman lama sewaktu menjawab soalan-soalan itu.

2. Bahan asing
Bahan-bahan ini adalah bahan-bahan yang sebenarnya berlaku tetapi di luar pengalaman remaja. Bahan-bahan ini datang daripada dunia orang dewasa. Sebagai contoh, “Apakah cara bagi menggalakkan pemuda-pemuda supaya tidak menunggang motosikal dengan laju dan berbahaya?”

Bahan-bahan ini memberi para pelajar pengalaman berfikir cara orang dewasa dalam menghadapi masalah-masalah dunia sebenar. Pengalaman dan kemahiran yang mereka dapat daripada menjawab soalan-soalan itu adalah berharga untuk kehidupan mereka pada masa akan datang.

3. Bahan persekitaran
Bahan-bahan ini datang daripada dunia remaja, yang sebenarnya mereka alami dan gemari. Sebagai contoh, “Kamu tahu sahabat baik kamu mengambil makanan di kantin sekolah dan tidak membayarnya. Apa yang akan kamu lakukan?” Para pelajar suka pada bahan-bahan seperti ini, tetapi mereka juga suka pada bahan-bahan di luar persekitaran mereka. Guru-guru perlu mencipta sendiri bahan-bahan latihan daripada persekitaran pelajar kerana mereka lebih arif tentang persekitaran pelajar di mana mereka mengajar.

4. Bahan berat
Bahan-bahan ini mempunyai implikasi serius pada kehidupan remaja. Sebagai contoh, “Kamu ingin masuk ke dalam kumpulan penyanyi rock, tetapi ibu bapa kamu menentang. Apa yang patut kamu buat?” Bahan-bahan seperti ini perlu digunakan dengan terhad.

Penggunaan bahan-bahan seperti ini memberi kesedaran pada para pelajar bahawa teknik-teknik berfikir yang mereka pelajari dapat membantu mereka menghadapi masalah-masalah yang rumit dan sukar dalam kehidupan sebenar.

Sebelum para pelajar pandai menggunakan teknik-teknik berfikir, guru disyorkan memberi bahan latihan berdasarkan pembahagian seperti berikut:
    Bahan seronok 50%
    Bahan asing 20%
    Bahan persekitaran 20%
    Bahan berat 10%

Selepas para pelajar pandai menggunakan teknik-teknik itu, disyorkan pembahagian seperti berikut:
    Bahan seronok 20%
    Bahan asing 30%
    Bahan persekitaran 30%
    Bahan berat 20%

Salah dan Betul

Tidak ada jawapan yang salah ataupun jawapan yang betul bagi soalan-soalan berfikir di dalam buku ini. Guru perlu sentiasa menghindari daripada membuat penilaian salah ataupun betul ke atas jawapan yang diberikan oleh para pelajar.

Berfikir ialah suatu daya usaha dan kemahiran. Berfikir sama seperti bermain bola. Ada masanya kita bermain dengan cemerlang, ada masanya kita kurang cemerlang. Namun, cemerlang ataupun tidak, permainan yang kita lakukan adalah bermain bola juga. Begitulah halnya dengan berfikir.

Di dalam buku ini tidak ada jawapan yang betul. Oleh itu, keghairahan yang dialami oleh pelajar perlu datang daripada sumber-sumber lain, barulah mereka seronok. Keseronokan datang daripada sumber-sumber ini:

1. Berapa banyak alternatif yang mereka dapat terbitkan.
2. Siapa yang lebih banyak alternatif.
3. Perbezaan antara jawapan-jawapan sesama mereka.
4. Peluang menambah alternatif-alternatif baru.
5. Rasa tidak sangka.
6. Terfikir idea-idea yang sebelum itu tidak pernah terfikir oleh mereka.
7. Persaingan dengan pelajar-pelajar lain.

Namun, dorongan yang paling berkesan adalah kecekapan. Apabila kita sudah pandai berenang, kita seronok berenang. Apabila mereka sudah pandai menggunakan teknik-teknik berfikir di dalam buku ini, mereka akan seronok menggunakan teknik-teknik itu. Apabila mereka dapat berfikir dengan yakin dan berkesan, itu adalah dorongan yang berkesan.

Waktu

Jangan beri masa yang lama kepada pelajar bagi membuat sesuatu latihan. Apabila para pelajar seronok membuat satu-satu latihan sekalipun, jangan teruskan lama-lama. Teruskan kepada latihan lain.

Tujuan latihan yang diberikan adalah untuk memberi kemahiran berfikir, bukan untuk menghasilkan sesi perbincangan yang seronok.

Tempoh masa yang diberikan kepada para pelajar boleh jadi tiga minit sahaja ataupun lebih. Pada mulanya ini memang dirasakan terlalu pendek. Perkara ini sengaja disyorkan. Selepas beberapa kali dicuba, para pelajar akan terperanjat apabila mereka dapati dalam tempoh tiga minit mereka dapat menerbitkan bermacam-macam pemikiran.

Kalau masa yang panjang diberikan, biasanya, masa itu habis digunakan untuk berbincang-bincang dan berdebat-debat antara mereka, bukan benar-benar untuk berfikir.

Remaja dan Berfikir

Usia ketika remaja paling seronok berfikir adalah antara 9 dan 11 tahun. Dalam usia ini mereka seronok menerbitkan bermacam-macam idea.

Selepas usia 12 tahun, remaja mula mahu mengemukakan idea-idea yang betul sahaja. Maka, mereka bersikap konservatif, iaitu mereka mengemukakan idea-idea yang pernah mereka tahu, dengar ataupun baca.

Remaja belasan tahun mula bersikap defensif tentang pemikiran mereka. Ertinya, mereka mula berasa wajib mempertahankan idea-idea dan pendapat-pendapat mereka. Mereka tidak mahu mengakui idea mereka salah ataupun kurang baik. Perilaku ini datang daripada rasa takut membuat sebarang kesilapan.

Dorongan

Guru perlu memberi dorongan supaya para pelajar mahu belajar menggunakan teknik ini. Tanpa dorongan, para pelajar tidak berminat hendak belajar. Para pelajar yang masih muda tidak terdorong dengan kata-kata guru yang memberitahu betapa pentingnya kemahiran berfikir bagi kehidupan seseorang.
Jadi, tidak perlu digunakan kata-kata seperti itu untuk mendorong mereka.

Para remaja suka berfikir dan seronok menggunakan minda mereka bagi menerbitkan bermacam-macam idea. Oleh itu, guru boleh mendorong mereka dengan menjadikan masa belajar berfikir sebagai masa yang penuh keseronokan. Jadikan situasi berfikir biar mirip situasi bermain-main supaya penuh aktiviti. Aktiviti berfikir perlu hidup, seronok dan menggembirakan mereka.

Yang penting, soalan-soalan yang diberikan kepada mereka adalah soalan-soalan yang dapat mereka buat. Soalan yang sukar ataupun yang membosankan dapat membunuh dorongan mereka kerana mereka masih remaja. Oleh itu mereka tidak berminat pada apa-apa yang terlalu sukar ataupun membosankan.

Unsur yang penting bagi mendorong para pelajar adalah bahan soalan. Semakin soalan itu menyeronokkan dan semakin soalan itu perlu dijawab secara agak-agak, semakin mereka terdorong untuk menjawab soalan-soalan itu. Suatu kesilapan yang buruk adalah apabila kita sangka soalan-soalan yang berat dan susah mendorong mereka mencuba bagi menjawabnya.

Dorongan timbul daripada rasa kejayaan, bukan daripada rasa kegagalan. Apabila para pelajar berasa mereka ada harapan berjaya, mereka terdorong mencapai harapan itu. Tetapi, apabila mereka berasa akan gagal, mereka tidak terdorong untuk mencuba dan menempah kegagalan.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024