Artikel

Pantau Diri Sendiri

oleh Helmi pada 14 Sep 2005

Salah satu ciri personaliti yang penting pengaruhnya dalam kejayaan kerjaya adalah apa yang disebut pemantauan diri atau self-monitoring. Ia adalah salah satu aspek pada personaliti individu. Pemantauan diri adalah perbuatan menukar-nukar tingkah laku supaya sesuai dengan keadaan. Kata pepatah Melayu masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang kerbau menguak ataupun di rumah sendiri beraja-raja, di rimba berberuk-beruk.
Daripada satu segi, setiap individu mempunyai dua diri. Yang pertama adalah diri awam, dan yang kedua adalah diri sebenar. Diri awam adalah diri yang dipamerkan kepada orang lain, terutama mereka yang tidak mempunyai hubungan rapat. Kedua-dua jenis diri itu adalah sebahagian daripada personaliti seseorang. Personaliti dua wajah ini banyak ditemui di kalangan ahli-ahli politik, para pelakon dan jurujual.
Pemantauan diri mempunyai kaitan yang kuat dengan kejayaan dalam kerjaya. Apabila dibandingkan dengan mereka yang tidak kuat memantau diri, individu yang kuat memantau diri cenderung mendapat lebih banyak kenaikan pangkat, terutama sekali apabila mereka bertukar kerja antara satu syarikat dengan yang lain. Ini berpunca daripada kesediaan mereka menunjukkan tingkah laku yang disukai oleh orang lain dan kesediaan mereka menyesuaikan diri dengan pelbagai situasi di mana mereka berada. Mereka pandai memikirkan jawapan kepada persoalan dalam situasi bagaimana yang memerlukan mereka bertingkah laku yang bagaimana. Itulah faktor yang mendorong mereka berjaya mengatasi halangan pertama dalam kenaikan pangkat.
Individu yang kuat memantau diri sanggup menukar-nukar tingkah laku dan gaya sesuai dengan pelbagai keadaan. Mereka pandai melakukan perkara yang mendorong orang memandang mereka dengan positif. Akibatnya mereka juga mendapat layanan positif daripada pelbagai jenis orang yang mereka temui, iaitu suatu hal yang menghasilkan banyak faedah.

Tingkah laku mereka yang kuat memantau diri berbeza daripada tingkah laku individu yang tidak kuat memantau diri. Orang yang tidak kuat memantau diri sendiri cuba menjadi diri mereka yang sama dengan sebaik-baiknya dalam semua situasi, bukannya menjadi pelbagai orang lain seperti yang dikehendaki oleh pelbagai situasi itu.
Satu lagi faktor yang mendorong kejayaan orang yang kuat memantau diri adalah keupayaan mereka melakukan empati. Keupayaan empati menyebabkan mereka mampu melihat dunia daripada kaca mata orang lain.
Tingkah laku memantau diri sendiri mempunyai kaitan kuat dengan prestasi. Mereka yang kuat memantau diri didapati lebih berjaya dalam aktiviti yang melangkaui sempadan, di mana mereka perlu berinteraksi dengan orang daripada kelompok yang mempunyai latar belakang yang berbeza. Disebabkan pelbagai kelompok menghendaki pelbagai gaya interaksi, mereka yang pandai memantau diri sendiri juga pandai menyesuaikan diri mereka dengan gaya dan tingkah laku orang dari lain-lain kelompok. Hasilnya, mereka dapat berinteraksi dengan licin bagi meninggikan prestasi mereka.
Pemantauan diri mempunyai kaitan kuat dengan proses pementoran. Dalam hubungan pementoran, individu yang lebih muda dan kurang pengalaman diberi bantuan dan bimbingan oleh mereka yang lebih tua dan berpengalaman. Lazimnya hubungan ini memberi banyak faedah kepada kejayaan dan kenaikan pangkat individu muda itu. Individu yang kuat memantau diri lebih pandai mencari mentor bagi diri mereka dibandingkan dengan mereka yang tidak kuat memantau diri. Mereka juga lebih kuat berusaha memperkenalkan diri mereka kepada orang yang lebih tinggi kedudukannya dan lebih berkuasa. Mereka pandai mengiklankan hasil kerja mereka kepada orang atasan mereka. Mereka pandai mendapatkan pendapat dan nasihat daripada orang itu. Itulah sebabnya mereka lebih berjaya mendapatkan mentor bagi diri mereka dan dengan itu menikmati semua faedah yang terhasil daripadanya.
Individu yang kuat memantau diri amat sensitif pada faktor-faktor luaran yang ada dalam persekitaran mereka. Mereka mementingkan anggapan orang lain, oleh itu mereka menukar-nukar respons mereka sesuai dengan persekitaran.
Individu yang kuat memantau dirinya menganalisis persekitarannya sambil merujuk kepada diri awamnya. Kemudian dia membandingkan diri awamnya dengan peraturan sosial tentang gaya dan tingkah laku yang dianggap baik, lalu dia mengubah suai diri awamnya supaya menepati kehendak peraturan itu, kerana mereka mahu diri mereka dinilai secara positif oleh orang lain. Daripada satu segi mereka semacam melakonkan watak supaya sesuai dengan hadirin.
Mereka pandai menganalisis situasi di mana mereka berada, kemudian membandingkan situasi itu dengan apa yang mereka anggap tingkah laku yang elok dan betul, lalu seterusnya mereka cuba mengubah situasi itu supaya sesuai dengan diri mereka sendiri.
Orang yang tidak kuat memantau diri amat mementingkan faktor-faktor dalaman pada diri mereka sendiri, seperti apa falsafah hidup yang menjadi pegangan mereka, keyakinan mereka dan minat mereka. Faktor ini mendorong mereka menjadi orang yang serupa sahaja gaya dan tingkah lakunya, sebagai contoh, dia lembut dan mesra baik semasa bergaul dengan orang atasannya, dengan rakan sejawat, dengan orang bawahannya, dengan isterinya, anak-anaknya, dengan handai taulannya malah dengan orang yang dia tidak kenalinya. Ciri ini membolehkan gaya dan tingkah laku mereka dalam mana-mana keadaan mudah diramalkan.
Sesetengah orang pula tidak mahu menukar-nukar gaya dan tingkah laku mereka. Walau di mana mereka berada dan dengan siapa mereka berdepan, tingkah laku mereka serupa sahaja. Mereka berpegang kepada prinsip apa yang orang nampak, itulah sebenarnya diri saya.

Tujuan seseorang itu memantau dirinya adalah supaya mereka boleh mendapatkan sebanyak-banyak faedah daripada situasi di mana mereka berada. Tingkah laku mereka berbeza apabila berdepan dengan orang atasannya dengan tingkah laku mereka sewaktu berdepan dengan orang bawahannya. Mereka pandai meniru-niru gaya orang lain dengan tujuan membuat orang lain menyukai mereka. Malah mereka boleh berdusta dengan cara yang amat meyakinkan mangsanya. Disebabkan gaya dan tingkah laku mereka selalu sahaja berubah-ubah, salah satu kesan negatif daripada personaliti seperti itu mereka dipandang sebagai orang yang tidak boleh dipercayai, tidak berpendirian, dan manipulatif. Orang yang kuat memantau diri mempunyai ramai kawan dan dalam pelbagai situasi mereka mempunyai kawan-kawan yang berlainan. Mereka mempunyai lebih banyak ciri-ciri positif apabila dibandingkan dengan mereka yang tidak kuat memantau diri. Mereka lebih cepat mesra, pandai bercampur gaul, sensitif pada emosi orang lain, bertenaga, bersikap terbuka dan selalu ingin tahu. Mereka juga lebih berani mengambil risiko.

Apabila orang yang kuat memantau diri bercakap, mereka banyak menggunakan ganti nama orang ketiga, contohnya dia, beliau, mereka dalam Bahasa Melayu dan he, she, his, her, their dalam bahasa Inggeris. Sebaliknya mereka yang tidak kuat memantau diri banyak menggunakan ganti nama orang pertama, contohnya saya, aku dalam Bahasa Melayu dan I, me, my, mine dalam bahasa Inggeris.
Mereka yang kuat memantau diri menunjukkan keyakinan yang tinggi dalam keputusan yang mereka buat, tanpa mengira sama ada keputusan mereka itu salah ataupun betul. Keyakinan diri yang tinggi seperti itu menyebabkan mereka yang kuat memantau diri lebih disukai dan dihormati ramai.

Apabila individu yang kuat memantau diri menjalin hubungan sosial, mereka memilih orang itu berdasarkan ciri-ciri luaran orang itu. Sebagai contoh, apabila mereka mencari rakan bermain badminton, mereka memilih orang itu berdasarkan soal sama ada orang itu pandai ataupun tidak pandai bermain badminton. Mereka tidak mementingkan faktor-faktor dalaman orang itu.

Kepintaran memantau diri sendiri adalah salah satu daripada beberapa jenis kepintaran emosi (EQ) yang ada pada individu yang amat berjaya dalam kerjaya mereka. EQ amat berbeza daripada IQ, dan kedua-duanya tidak semestinya hadir bersama dalam diri seseorang individu. Dalam erti kata yang lain, orang yang IQnya tinggi, oleh itu mendapat banyak A dalam peperiksaan, tidak semestinya mempunyai EQ yang sama tingginya. Manakala IQ diberi tekanan yang penting dalam bilik darjah, pada masa ini EQ tidak diberikan tekanan sama sekali di sekolah-sekolah negara kita.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (198801006125) © 2000 - 2025