Artikel

PBAKL 2025: Merakyatkan Ilmu, Menjulang Literasi Negara

oleh Nor Fadhilah Fauzan pada 05 Jun 2025

Tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa bagi rakyat Malaysia, nama WTCKL sinonim dengan pesta buku. Meskipun bangunan berprestij ini menjadi lokasi pelbagai acara rasmi dan antarabangsa, sebut sahaja WTCKL, yang terlintas di benak ramai ialah Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL). Ia adalah "hari raya buku" bagi rakyat Malaysia—klise namun ia relevan untuk saban tahun..

Tahun 2025 menyaksikan PBAKL terus berkembang dan memecah rekod. Seramai 2.16 juta pengunjung hadir tahun ini, meningkat berbanding 1.8 juta pada tahun sebelumnya. Angka ini bukan sahaja menunjukkan minat yang tinggi terhadap bahan bacaan, malah membuktikan bahawa budaya ilmu dan membaca terus subur dalam masyarakat kita.

Lebih istimewa, tahun ini juga menjadi ulang tahun ke-25 PTS Media Group dalam usaha konsisten memandaikan bangsa. Sejak ditubuhkan, PTS bukan sahaja menerbitkan buku-buku bermutu tinggi berbahasa Melayu, malah giat menganjurkan program-program pembangunan ilmu dan komuniti.

Antara inisiatif terbesar tahun ini ialah penganjuran Program Rombongan Sekolah ke Pavilion PTS, yang menyaksikan kehadiran ratusan sekolah dari seluruh negara. Lebih membanggakan, sebanyak 139 kotak sumbangan buku percuma diagihkan kepada sekolah-sekolah yang berdaftar. Usaha ini bukan sekadar promosi, tetapi manifestasi kesungguhan PTS dalam memupuk minat membaca sejak usia muda.

PBAKL 2025 turut mencatat sejarah tersendiri apabila YAB Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim, mengumumkan pemberian baucar buku khas kepada guru-guru sekolah sebagai penghargaan atas jasa mereka dalam membina masyarakat berilmu. Inisiatif ini disambut hangat oleh warga pendidik dan menjadi simbol pengiktirafan terhadap peranan guru sebagai agen ilmu.

Seperti tahun-tahun sebelumnya, Pavilion PTS terus menjadi tumpuan utama pengunjung. Dengan menampilkan pelbagai penerbit imprint seperti Puteh Press, Penerbit X, Bookiut, Komik-M dan jenama baharu STEMESTA gabungan STEM (sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik) dan Semesta daripada PTS Junior yang berjaya menarik minat kebanyakan pembaca muda dan guru-guru sekolah. PTS turut menawarkan seleksi buku yang merangkumi pelbagai genre—daripada buku agama, motivasi, fiksyen remaja, komik kanak-kanak hinggalah kepada karya-karya ilmiah.

Sebagai tanda penghargaan kepada pengunjung dan bagi menyemarakkan semula semangat pesta buku, PTS turut melancarkan Kempen PBAKL After-Party sepanjang bulan Julai. Kempen ini membawakan semula buku-buku terlaris PBAKL 2025, merangkumi kategori fiksyen dan bukan fiksyen, ke kedai buku terpilih di seluruh Malaysia serta di kedai dalam talian rasmi, BookCafe. Setiap pembelian melayakkan pelanggan menerima penanda buku eksklusif selagi stok masih ada.

PBAKL bukan sekadar acara jualan buku. Ia adalah medan pertemuan komuniti literasi, ruang menyuburkan idea, dan platform merayakan kepandaian. Dengan peningkatan jumlah pengunjung, sokongan kerajaan, dan inisiatif penerbit, masa depan literasi negara akan terus bersinar.


Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (198801006125) © 2000 - 2025