Artikel

Pemikiran Tasawuf Syeikh Dr Yusuf Al-Qaradhawi

oleh Waridah Lothpi pada 27 Jan 2021

“Mereka melarikan diri dari dunia. Dilahirkan, bagai mahu dimatikan dan melihat dunia secara pesimis. Malah, sekiranya dunia mendengar nasihat mereka, seolah-olah akan hilang segala asas kebaikan, keindahan al haqq. Itulah yang dikatakan melampau.”

—-

Sedalam mana faham dan tahu kita tentang “Tasawuf”? Cabang agama yang sering disalah erti, dan ramai juga yang tersilap jalan ketika mahu mencari kebenarannya.

“Beberapa unsur negatif penduduk kampung dalam amalan tasawuf yang lebih cenderung kepada aliran Jabariyyah dalam akidah, melakukan perkara yang merosakkan tauhid seperti mengambil berkat dengan batu batan, menggunakan tangkal azimat, melampau-lampau dalam mengagung-agungkan para wali dan orang-orang soleh, ini menimbulkan sikap kritis Sheikh Dr Yusuf Al Qaradhawi terhadap amalan tasawuf sejak awal.”

Sheikh Qaradhawi ialah tokoh yang acapkali “dibedah” corak fikirnya dalam segenap lapangan. Ulama kontemporari yang masih bersama, dan jadi rujukan antarabangsa.

Amatlah berbesar hati, apabila berpeluang untuk membaca Pemikiran Tasawuf beliau pula hasil nukilan Dr Mohamad Kamil Hj Ab Majid.

Buku ini disusun dengan kemas, bermula dengan latar belakang Sheikh sendiri sejak kecil, pendidikan dan bagaimana beliau terdedah di dalam persekitaran tasawuf yang membentuk peribadi. Perihal ini sahaja pun ditulis dalam 60 mukasurat awal, cukup terperinci. Oleh sebab latar yang kuat tersebut, maka pandangan beliau yang menyusul dalam bab berikutnya; boleh dipercayai.

Kaedah pemikiran dan penulisan beliau sederhana dan membumi;

1. Tidak taksub dan tidak bertaklid

2.Mengambil pendekatan mudah dan tak menyusahkan

3.Menggunakan bahasa semasa

4. Mengelak daripada perbincangan yang tidak berfaedah

5. Di tengah-tengah antara golongan yang terlalu ketat dan terlalu longgar

Sheikh Qaradhawi begitu terpengaruh dengan tulisan dan pemikiran Hasan Al Banna, lalu bolehlah dikatakan tasawufnya mengikut manhaj Ikhwanul Muslimin. Pendekatan tarbiah ini akan menghidupkan hati supaya tidak mati, memakmurkan minda supaya tidak beku, dan melembutkan hati supaya tidak keras.

Kata Sheikh; “Islam datang dengan keseimbangan dalam hidup. Ini memberikan setiap aspek, hak masing-masing. Para sufi muncul pada zaman kaum Muslimin terlalu mementingkan aspek kebendaan dan intelektual. Ibadat tinggal kulit sahaja, hilang rohnya. Ketika itu muncul para sufi memenuhi kekosongan tersebut.”

Adakah Sheikh Qaradhawi menolak tasawuf sepenuhnya? Tidak. Rujukan beliau dalam pemikiran tasawuf ialah Al Quran, As Sunnah yang sahih dan hadis hasan, serta pandangan sufi terawal seperti Al Hasan Al Basri dan Malik bin Dinar. Beliau mengambil masa yang lama untuk menulis bidang tasawuf.

Di akhirnya, beliau simpulkan semua pihak perlu pada pendidikan keimanan dan tasawuf yang benar supaya hati-hati mereka dapat disucikan daripada cinta dunia dan cinta pada diri sendiri secara berlebihan.

Fiqah dan tasawuf saling memerlukan dan berkait.

Dalam bab solat misalnya, ilmu fiqah menyusun luaran berupa rukuk dan sujud serta zikir-zikir dalam solat, sedangkan tasawuf pula melihat hakikat dan matlamat solat, berusaha untuk khusyuk, membersihkan diri daripada penyakit hati, sehingga berasa seolah-seolah sedang berdiri di hadapan Tuhan. Tasawuf mencari roh solat, yang akhirnya membantu terhalangnya daripada perbuatan jahat dan mungkar.

Di bahagian mana pula yang dikatakan sesat pada tasawuf itu?

Antaranya;

“Ketika Rasulullah SAW hampir wafat, baginda menyebut kutukan Allah terhadap mereka yang menjadikan kubur para nabi sebagai masjid. Perbuatan berlebih-lebihan dengan mengambil berkat dan bertawaf atau mengucup kubur dianggap oleh Sheikh Qaradhawi sebagai satu kesesatan. Malah, apa-apa perkara yang berbau pemujaan kepada mana-mana makhluk Allah dilarang oleh Rasulullah SAW termasuk bersumpah bukan dengan nama Allah. Beliau selanjutnya mengingatkan berhala-berhala moden seperti patriotism dan nasionalisme yang melampau contohnya, menukar “dengan nama Allah” kepada “atas nama tanahair” atau “atas nama bangsa” mampu menjuruskan kepada perkara yang sama.”

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024