Artikel

Pengertian Penyelidikan

oleh Helmi pada 14 Dec 2004

Bab 1

Pengertian Penyelidikan

Sejarah penyelidikan bermula sejak tamadun manusia. Masalah yang dialami manusia sendiri menyebabkan manusia mengkaji dan terus mengkaji bagaimana memperoleh hasil penyelidikan yang sesuai daripada semasa ke semasa bagi memperbaiki kehidupan mereka. Kemajuan yang dicapai di dunia pada hari ini adalah hasil daripada penyelidikan yang dijalankan oleh manusia. Justeru itu kehidupan seharian manusia sentiasa dipengaruhi oleh hasil-hasil penyelidikan. Penyelidikan sentiasa dilakukan oleh manusia. Contohnya, organisasi kerajaan dan swasta sentiasa menjalankan penyelidikan yang dirancang dengan teliti bagi memperbaiki lagi perkhidmatan dan produktiviti masing-masing.

Begitu juga dengan ahli-ahli antropologi sentiasa menjalankan penyelidikan berkenaan kesan-kesan tinggalan tamadun silam bagi mengetahui corak kehidupan pada masa lampau. Penyelidikan-penyelidikan yang dijalankan adalah bagi mengetahui apa yang sedang, telah dan akan berlaku bagi menambahkan pengetahuan manusia. Ada manusia mendapat pengetahuan baru secara spontan, melalui pengalaman dan wahyu daripada Tuhan, tetapi terdapat manusia yang memperoleh pengetahuan melalui metode yang logik bagi mendapatkan generalisasi yang dinamakan pengetahuan. Justeru itu penyelidikan adalah satu bidang yang luas dan berkembang. Sebahagian besar daripada kemajuan yang dicapai di dunia moden kini adalah hasil daripada kajian penyelidikan ahli-ahli sains.

Penyelidikan adalah usaha-usaha yang dilakukan bagi mengkaji masalah-masalah tertentu dengan menggunakan pendekatan saintifik berdasarkan data-data yang diperoleh daripada sesuatu masalah yang dikenal pasti. Segala maklumat yang diperoleh adalah sangat berguna dan penting malah boleh dipercayai. Penyelidikan juga satu pengkajian yang sistematik dalam menyediakan satu informasi bagi menyelesaikan sesuatu masalah. Melaluinya, pengkaji memperoleh maklumat terkini dan terbaru di samping memperbaharui teori, kesimpulan dan hukum-hukum yang sedia ada.

Penyelidikan berguna kerana ia adalah satu tatacara teratur yang digunakan oleh manusia bagi menambah ilmu pengetahuan dan pengalaman. Penyelidikan dijalankan dengan lebih terperinci dan menggunakan langkah-langkah khusus yang telah dikhaskan. Pengetahuan yang baru diperoleh memberi banyak manfaat dan faedah bergantung kepada bidang yang diterokai. Kebiasaannya, penyelidikan bertujuan mencari jawapan kepada persoalan yang dianggap penting dan berfungsi bagi meningkatkan ilmu pengetahuan. Di samping itu membentuk globalisasi, prinsip-prinsip ataupun teori sebagai asas ramalan kepada masalah yang akan berlaku. Penyelidikan juga sering dikaitkan dengan sifat sejagat kerana ia bertujuan mencari hubung kait yang stabil antara sebab dan akibat. Penyelidikan sangat penting kepada kita semua terutamanya masyarakat moden seperti negara kita yang sedang membangun. Setiap negara perlu menjalankan penyelidikan tersendiri dalam pelbagai bidang terutamanya yang berkaitan dengan kemasyarakatan.

Penyelidikan adalah usaha mencari data yang digunakan bagi memecahkan sesuatu persoalan tertentu, atau sekadar ingin mengetahui sama ada wujudnya ataupun tidak sesuatu persoalan itu. Daripada segi sejarah perkembangan penyelidikan pula, jelas membuktikan kaji selidik adalah suatu langkah sistematik yang mengkaji perhubungan antara pemboleh ubah. Langkah sistematik ini adalah elemen yang terpenting dalam konsep asas penyelidikan. Seseorang berkemungkinan melakukan sesuatu kajian ataupun pemerhatian, tetapi tindakan itu tidak membawa sebarang makna yang berkesan sekiranya proses langkah sistematik diabaikan. Penyelidikan bertujuan mendapatkan kebenaran yang mempunyai logik berkaitan sesuatu fenomena, tetapi ia tidak bererti kebenaran yang didapati adalah kebenaran yang muktamad mengenai fenomena itu.

Hasil penyelidikan adalah pengetahuan baru. Ini kerana pengetahuan yang ada bersifat berubah-ubah. Dengan adanya sifat ini, sesuatu pengetahuan yang dianggap baru pada suatu masa mungkin tidak lagi sesuai pada masa lain. Begitu juga pengetahuan yang ada dan sesuai di negara-negara Barat mungkin tidak ada dan tidak sesuai di negara kita. Menurut Majid Konting (1994) penyelidikan bermula apabila suatu masalah mula dirasai. Masalah yang dihadapi adalah rangsangan kepada penyelidik. Akal yang dirangsang oleh masalah akan berfikir dan menimbang sama ada sesuatu masalah yang dihadapi adalah masalah sebenar dan memerlukan penyelesaian. Akal akan mengenal pasti dan menganggarkan sejauh mana masalah tersebut perlu dikaji. Akal juga menentukan sebanyak mana faedah yang dapat diperoleh daripada penyelidikan ke atas masalah. Akal terus dirangsang oleh masalah. Tanpa dirangsang oleh masalah, akal tidak akan berfungsi dan seterusnya penyelidikan tidak akan berlaku.

Justeru itu, aktiviti penyelidikan sebenarnya digerakkan oleh suatu keperluan yang dirasai oleh masyarakat. Contohnya, masalah penyalahgunaan dadah, masyarakat merasakan bahaya dan implikasi buruknya dan masalah ini perlu dibanteras. Oleh itu masyarakat seluruhnya merasakan ia perlu diberi perhatian dan berusaha mencari apakah sebabnya, apakah faktor yang mempengaruhinya maka ia perlu kepada pengkajian dan penyiasatan. Perkara-perkara inilah yang dapat menghasilkan suatu perancangan bagi menjalankan satu penyelidikan.


Penyelidikan

Penyelidikan adalah suatu proses penghasilan pengetahuan. Dengan erti kata lain, ia bukan melibatkan pemindahan kenyataan ataupun sesuatu kebenaran daripada satu sumber ke tempat lain contohnya, pemindahan kenyataan daripada sebuah buku terus ke sebuah kertas kerja ataupun laporan. Sebaliknya aktiviti penyelidikan dilakukan melibatkan pemindahan maklumat daripada satu tempat ke tempat yang lain bagi menambahkan pengetahuan masyarakat dan mengurangkan kejahilan bukan memindahkan kenyataan yang menjadi pengetahuan umum.

Penyelidikan adalah satu cabang ilmu yang saintifik dan sistematik. Kaedah logik dan sistematik digunakan bagi melahirkan pengetahuan serta mengasaskan kajian-kajian sebenar. Sesuatu penyelidikan itu perlu dijalankan kerana ia bertujuan mengelakkan diri daripada membuat kesilapan yang melulu ke atas sesuatu fenomena sosial dan tidak hanya berdasarkan pada pemerhatian yang ringkas dan bukti yang tidak lengkap. Setiap pemerhatian yang dilakukan tidak harus dipengaruhi oleh kepercayaan, nilai, rujukan ataupun kehendak pemerhati atau seseorang pengkaji (Rohana, 1996). Setiap pemerhatian dan kajian mestilah dibuat oleh pengkaji yang terlatih dan memahami kaedah penyelidikan. Setiap penyelidik mestilah pakar dalam bidangnya dan dapat menggunakan kaedah penyelidikan yang sebaik-baiknya dalam sesuatu penyelidikan. Ini kerana penyelidik yang tidak terlatih tidak dapat memahami apa yang hendak dilihat dan bagaimana hendak menginterpretasikan sesuatu hasil yang diperoleh.

Menurut Kamarudin Ngah (1990) peranan penyelidikan amat penting dalam proses pembangunan manusia dan sumber. Ia menjadi input utama kepada sebarang cadangan perubahan yang berkesan. Seseorang penyelidik seharusnya menggunakan proses pemikiran bagi menjayakan satu-satu kajian. Setiap penyelidikan mestilah mempunyai suatu rangka ke arah penyelidikan yang baik, kemas dan fleksibiliti bagi penyesuaian sepanjang kajian. Sebelum menjalankan sesuatu penyelidikan, seharusnya pe-nyelidik mengetahui dan memahami pengertian dan matlamat penyelidikan yang dijalankannya.
Mengikut Websters New International Dictionary, penyelidikan ialah membuat satu inquiry atau penyiasatan yang rapi dan kritikal dengan sepenuh pemerhatian bagi memperoleh fakta-fakta dan prinsip-prinsip dalam menentukan ataupun menjawab sesuatu persoalan dan permasalahan.
Skidmore (1996) pula mendefinisikan penyelidikan sebagai, the manipulation of things, concepts or symbols for the purpose of generalizing to extend, correct, or verify knowledge, whether that knowledge aids in the construction of a theory or in the practice of an art. Skidmore lebih menumpukan kaedah penyelidikan dalam proses kerja-kerja sosial. Proses kerja sosial membolehkan penyelidikan menguasai kebanyakan daripada praktik kerja sosial. Pekerja sosial memerlukan jawapan saintifik berkaitan soalan-soalan penyelidikan yang dikemukakan. Mereka perlu tahu kenapa responden mereka berkelakuan begitu dan mengetahui berkenaan fungsi sosial mereka. Teknik dan kemahiran pekerja sosial dalam membantu mereka yang dalam kesusahan diperlukan. Bagi menjawab semua itu, pekerja sosial perlu menjalankan penyelidikan terlebih dahulu dalam mengenal pasti masalah-masalah yang dialami atau dihadapi oleh kebanyakan responden mereka.

Selain itu, penyelidikan juga boleh didefinisikan sebagai aktiviti yang teratur atau sistematik bagi mencari jawapan kepada soalan-soalan khusus yang dikemukakan berkenaan sesuatu masalah yang hakikatnya sudah dikenal pasti. Definisi ini menekankan kepada wujudnya beberapa soalan yang perlu dijawab. Soalan-soalan itu dipanggil soalan penyelidikan. Dalam sebarang penyelidikan, seseorang itu bertujuan mencari dan mentafsirkan fakta-fakta baru, membaharui teori, kesimpulan atau hukum-hukum yang sedia ada dengan mengambil kira fakta-fakta baru tadi.
Penyelidikan juga adalah usaha yang sistematik dan tersusun bagi mengkaji sesuatu masalah khusus yang memerlukan penyelesaian. Sesuatu masalah itu perlu dikenal pasti terlebih dahulu. Kemudian barulah langkah mencari maklumat, menganalisis data dan mengenal pasti faktor-faktor yang berkaitan dengan masalah itu diambil. Kesemua kaedah ini dikenali sebagai penyelidikan kerana ia adalah aktiviti dan siri yang dirancang secara sistematik bagi membolehkan pengkaji memahami masalah yang perlu ditangani atau diminimumkan.

Pengertian lain bagi penyelidikan ialah sebagai suatu aktiviti yang tersusun, sistematik, berdasarkan data, kritikal dan penyiasatan yang saintifik kepada masalah khusus yang dilakukan bertujuan mendapatkan jawapan atau penyelesaian kepada masalah berkenaan. Penyelidikan mempunyai skop yang luas dalam mengkaji setiap aspek kehidupan. Pada kebiasaannya, penyelidikan dilakukan oleh orang perseorangan atau kumpulan-kumpulan tertentu. Pada kebiasaannya, penyelidikan yang dijalankan merujuk kepada sesuatu perkara atau benda yang telah, sedang ataupun akan berlaku.

Penyelidikan dilakukan bagi mengkaji masalah khusus dan semestinya menggunakan pendekatan saintifik. Maksudnya, setiap penyelidikan itu akan menjawab setiap persoalan mengapa sesuatu hal yang dikaji berlaku. Pendekatan saintifik turut menjurus kepada pembentukan dan pengkhususan sesuatu teori sama ada yang sedia ada ataupun baru dicipta. Pendekatan saintifik turut melibatkan langkah yang sistematik dan objektif setiap benda yang dikaji. Ini adalah kerana ia melibatkan prosedur-prosedur yang dirancang dengan teliti dan analisis yang dilakukan adalah terperinci.
Dalam mencari jawapan kepada soalan-soalan khusus yang dikemukakan berkenaan sesuatu masalah yang hakikatnya sudah dikenal pasti penyelidikan merujuk kepada satu aktiviti yang teratur. Definisi ini menekankan pada wujudnya beberapa soalan yang perlu dijawab yang dinamakan sebagai soalan-soalan penyelidikan.

Rumusannya, penyelidikan adalah cara teratur memperoleh pengetahuan baru. Penyelidikan adalah satu aktiviti berhubung usaha memperoleh dan menganalisis maklumat bagi mengenal pasti dan menyelesaikan masalah. Hasil penyelidikan ialah pengetahuan baru. Ini kerana pengetahuan yang ada bersifat berubah-ubah. Dengan adanya sifat tersebut, sesuatu pengetahuan yang dianggap baru pada suatu masa mungkin tidak lagi sesuai pada masa lain. Begitu juga sesuatu pengetahuan yang ada dan sesuai di negara-negara barat mungkin tidak sesuai di Malaysia. Dengan adanya penyelidikan, idea dan pengetahuan baru yang sesuai boleh diperoleh.
Secara umumnya terdapat lima sumber utama manusia memperoleh ilmu pengetahuan (lihat Rajah 1). Perbezaan utama antara sumber ini berteraskan kepada dua perkara:

1. Keyakinan seseorang pada pengeluar kenyataan atau pengetahuan yang dikatakan benar iaitu siapakah yang mengatakannya.

2. Atur cara ataupun proses penghasilan kenyataan iaitu, kita bertanya, bagaimana kenyataan itu dihasilkan? Bagaimana anda tahu?

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024