Artikel

Selamat Masuk ke Universiti

oleh Helmi pada 16 Dec 2004

Bahagian 1 : Selamat Masuk ke Universiti

Selamat Datang

Semasa menerima surat tawaran masuk belajar ke universiti, izinkan saya mengucapkan tahniah kepada anda. Apabila anda menerima surat itu, rasanya seolah-olah dunia ini anda yang punya. Jika belum, mungkin surat itu bakal anda terima setahun ataupun dua tahun lagi. Kerja kuat, pastikan anda lulus dengan cemerlang dalam peperiksaan SPM, STPM ataupun matrikulasi nanti dan pasti surat itu milik kita. Yang penting di sini saya tahu dan semua orang tahu anda mampu dan layak untuk ke universiti.

Buku ini ditulis bagi membawa alam universiti itu lebih awal kepada kita. Walaupun masih di bangku sekolah, anda layak membaca buku ini. Kita perlu tahu bagaimana hidup di menara gading. Dunia itu bakal kita lalui tidak lama lagi. Ia dapat menjadi dorongan kuat kepada anda bagi menjadikannya kenyataan, Insyallah. Kepada yang sudah berada di universiti, anda juga dapat memperoleh faedah daripada buku ini. Ramai mahasiswa terutama di tahun pertama, tidak pasti bagaimana hendak menyesuaikan diri dengan suasana baru di kampus dengan cepat. Tempoh tiga hingga empat tahun itu tidak lama dan kita perlu mencapai kejayaan setinggi mungkin semasa di universiti.

Sebaik sahaja melangkah masuk ke alam universiti, bermulalah perjalanan hidup yang bakal mengubah diri kita pada masa hadapan. Tidak ramai yang bernasib baik seperti kita. Belajarlah mempercayai bahawa anda sekarang bergelar golongan intelektual yang semakin hampir kepada cita-cita dalam hidup.

Jika selama ini anda bercita-cita hendak menjadi doktor maka selepas mengikuti pengajian di Fakulti Perubatan, anda akan menjadi doktor. Jika mahu menjadi ahli sains sekarang anda mempunyai kesempatan untuk menjadi ahli sains yang paling hebat di dunia. Alam baru ini bakal mengubah diri kita menjadi dewasa, berpengetahuan dan dihormati. Setiap tahun kita lihat di akhbar betapa bangganya mahasiswa yang melalui detik-detik konvokesyen. Kita lihat dalam brosur-brosur universiti, suasana kampus adalah kehidupan yang indah dan ceria. Aktiviti persatuan, mengembara, menjadi anak angkat di kampung asing, bergambar dengan profesor dan sebagainya adalah aktiviti biasa di kampus dan semua ini menanti kita.

Kegembiraan ini bukan milik anda seorang. Ibu bapa juga pasti bangga dan gembira semasa menghantar anak kesayangan mereka menjejak kaki ke universiti lebih-lebih lagi jika anda anak pertama ke menara gading. Sebelum berangkat pasti ada kenduri kesyukuran meraikan anda nanti. Mereka juga mahu bercerita dengan jiran-jiran dan saudara lain bagaimana hebatnya kampus universiti anak mereka nanti.


Belon Hitam pun Dapat Terbang
Ini kisah seorang kanak-kanak Negro yang miskin, berkulit hitam legam, tinggal di sebuah kampung kecil di pedalaman Amerika.

Pada suatu hari kanak-kanak itu berjalan-jalan di pinggir sebuah pasar. Dia tidak mempunyai wang dan tiada tujuan hendak membeli apa-apa di pasar itu. Hanya sekadar melihat-lihat.

Dia terpandang seorang penjual belon sedang berteriak memanggil pelanggan. Belon-belonnya berwarna-warni dan semuanya terapung di udara.

Ada sesuatu yang terlintas di fikiran anak kecil itu. Lantas dia menghampiri si penjual belon.

Kamu mahu belon yang mana? tanya penjual belon.

Saya tidak mahu membeli belon! jawab si anak perlahan.

Saya cuma mahu bertanya.

Apa dia? tanya si penjual kehairanan.

Mengapa pakcik menjual belon-belon yang berwarna-warni? Mengapa tidak ada belon berwarna hitam? Belon berwarna hitam tidak boleh terbang ke, pakcik? tanya si anak bertalu-talu dan bersungguh-sungguh.

Si penjual terpegun dan merenung si anak kecil itu dengan mata berkaca.

Anakku, bukan warna belon yang membuatnya boleh terapung. Apa yang ada di dalam belon itu yang membuatnya terbang apabila dilepaskan.

Ada cahaya yang terbit dari wajah si anak lalu bertanya lagi. Maknanya belon warna hitam pun boleh terbang jugalah?

Ya. Benar anakku! Belon warna hitam pun boleh terbang tinggi seperti belon-belon lain, balas si penjual.

Terima kasih, pakcik. Terima kasih, balas si anak lalu melompat girang dan berlalu pergi.

Syed Yusainee


Mengapa Perlu Masuk Universiti?

Sebelum pergi lebih jauh, mengapa anda perlu ke universiti? Satu soalan yang bagus dalam suasana hari ini! Adakah sekadar hendak mendapat ijazah dan kemudian mencari kerja? Dalam keadaan sekarang, mempunyai ijazah pun belum tentu dapat kerja, jadi mengapa semua orang sibuk-sibuk masuk universiti? Lebih baik belajar berniaga dengan ayah, timba pengalaman dan jadi kaya macam tauke di Genting Highlands itu? Sebenarnya semua itu betul, tetapi belajar di universiti lebih daripada sekadar hendak mendapatkan pekerjaan ataupun menjadi kaya.

Pendidikan di universiti akan menunjukkan betapa sedikitnya apa yang orang lain tahu.
Thomas C. Haliburton (1796 - 1865)

Usia yang dihabiskan sekurang-kurangnya 3 hingga 4 tahun di kampus akan mengubah dan memberi kesan seumur hidup ke atas kita. Dalam tempoh ini kita dilatih dalam jurusan masing-masing sama ada untuk menjadi jurutera, pentadbir, guru, ahli sains, ahli sejarah, jurubahasa dan lain-lain. Kita belajar menerima arahan daripada dekan ataupun profesor, belajar membuat kertas kerja, membuat rujukan perpustakaan, membuat penyelidikan, berbincang, bermesyuarat, berdebat, memimpin persatuan dan seribu satu macam aktiviti lain.

Kesemua ini dapat membuka dan merangsang kemahiran berfikir, bertindak dan berdisiplin. Kemahiran ini akan digunakan bagi meneroka kejayaan masa depan anda nanti. Benar bahawa semua ini dapat diperoleh melalui pengalaman hidup. Namun begitu, kita perlu menghabiskan tempoh masa yang panjang dan diuji sebelum kita sempat mempelajari apa-apa.

Peribahasa Cina ada mengatakan, Pengalaman adalah cikgu yang keras. Dia memberi ujian sebelum mengajar.

Di universiti kita akan belajar dan bersedia sebelum diuji dalam hidup. Kesimpulannya belajar di universiti bukan sahaja mengasah kemahiran dalam bidang masing-masing tetapi menjadikan kita manusia yang lebih baik. Itu sebab mengapa kita perlu ke universiti!


Manusia Mulia Kerana Ilmunya

Zaman pemerintahan Khalifah Harun al-Rashid adalah antara tempoh kegemilangan Islam. Sesuai dengan nama beliau yang bermakna Yang Agung, Khalifah Harun al-Rashid memiliki segala kemewahan dan penghormatan manusia. Walaupun begitu beliau tidak terleka dan sangat suka kepada ilmu pengetahuan.

Pada zaman pemerintahan beliau, ada seorang ilmuwan terkenal yang bernama Imam Malik. Mendengar kehebatan ilmu yang dimiliki Imam Malik, Khalifah Harun al-Rashid mahu belajar daripadanya. Khalifah kemudian memerintahkan pegawai dan segala kelengkapannya menghantar rombongan menjemput Imam Malik ke istana.

Semasa pegawai istana menyampaikan hasrat baik Khalifah itu, Imam Malik dengan sopan menolaknya. Jika Khalifah mahu belajar, biarlah dia sendiri datang ke mari, pesan Imam Malik semasa menghantar rombongan istana itu pulang.
Kembali ke istana, pegawai itu menyampaikan pesan Imam Malik. Baiklah, Beta tidak tunduk kepada sesiapa, tetapi beta tunduk pada Imam Malik kerana ilmu yang ada padanya kata Khalifah Harun al-Rashid lalu mengarahkan persiapan untuk ke rumah Imam Malik.

Datanglah Khalifah agung Harun al-Rashid menadah kitab bersama-sama dengan murid-murid lain di hadapan Imam Malik. Tidak ada beza, semuanya dilayan sama rata.

Selesai mengajar Imam Malik berkata kepada murid-muridnya, Apa ditunggu lagi? Mengapa tidak dilayan Tuanku Khalifah yang agung ini sambil berjalan menuju kepada Khalifah dengan perasaan bangga dan terharu.


Pengajaran daripada cerita di atas adalah kerana ilmu, seseorang itu boleh menjadi begitu mulia sehingga dihormati pemimpin negara.


Hari yang Ditunggu Sudah Tiba!

Terbit fajar hari besar itu, maka berduyun-duyun keluarga menghantar anak-anak ke universiti yang sudah ditetapkan. Semasa melangkah kaki meninggalkan rumah pada hari itu, kita memulakan perjuangan yang cukup mulia. Semasa datang mendaftar sebagai mahasiswa menara gading pada hari bersejarah itu, kita disambut oleh pelajar-pelajar senior ataupun pegawai Hal Ehwal Pelajar Universiti. Mereka membantu membawa anda dan keluarga ke lokasi pendaftaran. Jangan lupa membawa beberapa keping gambar terbaru wajah tampan dan jelita anda dalam ukuran pasport. Pasti banyak borang-borang semasa pendaftaran itu yang perlu ditampalkan wajah anda nanti.

Banyakkan bersabar semasa proses pendaftaran kerana bukan anda seorang sahaja yang datang ke kampus hari itu. Ikuti arahan dan papan tanda pandu arah tempat di mana anda diminta berada. Semua orang mahu cepat pada hari itu dan dengan mengikuti segala arahan proses pendaftaran dapat berjalan dengan lancar. Tidak perlu satu kampung menghantar anda ke kampus kerana bilangan kenderaan yang terlalu banyak menyesakkan kawasan di dalam kampus.

Pada hari anda datang mendaftar sebagai warga kampus, pastikan surat tawaran, surat pemeriksaan doktor, sijil persekolahan, beberapa salinan gambar foto terbaru, pakaian dan keperluan peribadi dibawa bersama. Anda tidak perlu membawa baldi, sabun, penyapu dan lain-lain kerana keperluan itu ada dijual di kedai kemudahan pelajar. Seelok-eloknya buat pemeriksaan kesihatan beberapa hari sebelum datang mendaftar. Jika tidak berkesempatan, pemeriksaan itu dapat dilakukan kemudian.

Selesai pendaftaran di Pusat Pelajar, anda akan dibawa ke asrama ataupun kolej yang ditentukan. Bermula dari hari pendaftaran sebagai pelajar baru, kolej kediaman menjadi rumah baru kita. Tidak ada ibu bapa, kakak ataupun adik yang bakal menyambut kita kecuali rakan baru yang tidak pernah kita kenali sebelum ini. Kawan baru kita ini datang daripada berbagai-bagai latar belakang. Mereka ini mungkin datang daripada keluarga berada ataupun mempunyai gaya yang anda tidak biasa sebelum ini. Anda mungkin serta-merta menyenangi rakan baru ini ataupun mungkin sudah dapat membayangkan masalah yang bakal muncul.

Bilik-bilik penginapan yang disediakan mempunyai semua kemudahan asas seperti katil, almari, meja belajar dan sebagainya. Namun begitu, kemudahan-kemudahan ini mungkin tidak sehebat dengan apa yang anda miliki di rumah sendiri. Selain itu semua kemudahan ini perlu dikongsi bersama-sama dengan rakan yang lain. Untuk berhadapan dengan keadaan ini anda perlu membuat persediaan mental yang mencukupi sebelum hari pendaftaran itu. Jiwa yang kukuh, sikap toleransi, tolak ansur dan mudah mesra akan membantu kita menyesuaikan diri dengan keadaan baru ini.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024