Artikel
Penterjemah Berbakat Besar PTS Meninggal Dunia
oleh Roziyah pada 30 May 2011
Dunia penterjemahan Malaysia dikejutkan dengan kehilangan seorang penterjemah berbakat besar yang menghasilkan buku-buku terbaik dan mampu mencapai jualan tinggi.
Allahyarham Tuan Adlie Shamsuddin menghembuskan nafas terakhirnya di surau waktu asar ahad lalu ketika ingin menunaikan solat asar berjemaah. Beliau meninggalkan seorang isteri dan dua orang anak lelaki.
Menurut pengerusi PTS, Puan Ainon Mohd, Tuan Adlie Shamsuddin adalah seorang penterjemah PTS yang berdisiplin dan tinggi kualiti terjemahannya.
"Meskipun beliau adalah penterjemah professional sepenuh masa, setiap hari beliau beliau datang ke pejabat editorial PTS dan menjalankan kerja-kerja terjemahan buku PTS bersama-sama dengan para editor. Oleh hal yang demikian beliau dilayan seolah-olah staf PTS dan beliau juga membawa diri seperti staf PTS," jelas Puan Ainon yang dipetik dari universitipts.com.
Antara buku terjemahan beliau yang terkenal dan mendapat sambutan termasuklah buku Men Are From Mars, Women Are From Venus, Mengapa Rasulullah Tidak Pernah Sakit, Quranic Super Healing dan banyak lagi. Beliau juga turut menjadi sukarelawan dalam pelbagai program kemasyarakatan seperti Baca@Masjid.
Seluruh warga kerja PTS mengirimkan ucapan takziah kepada keluarga beliau. Kehilangan penterjemah yang hebat mutunya ini pasti akan dikenang sepanjang masa.

