Artikel
PTS Terima Anugerah Penerbit Terbaik dalam Anugerah Pekomik 2011
oleh Roziyah pada 30 May 2011
Persatuan Penggiat Komik Malaysia berjaya menganjurkan Anugerah Pekomik 2011 bagi mengiktiraf dan memartabatkan dunia komik di Malaysia.
Melalui majlis Anugerah terbesar dalam industri komik itu juga, PTS yang menerbitkan komik-komik berkualiti menggunakan bahasa Melayu tinggi berjaya membawa pulang anugerah Penerbit Komik Terbaik.
Selain itu, beberapa artis Komik-M turut membawa pulang anugerah dalam majlis tersebut. Twin-X#3 berjaya membawa pulang anugerah Cover Terbaik.
Froggypapa melalui buku Aku kau & Bola#1 berjaya membawa pulang Cover Komik Terbaik dan Komik Terbaik. Komik Ultra Qalif yang dihasilkan oleh Bophairy pula berjaya dipilih sebagai Komik Baru Terbaik.
Senarai penuh Anugerah Pekomik 2011 ini boleh diikuti dengan melayari http://www.universitipts.com/.
Majlis Anugerah Pekomik yang dilangsungkan di Auditorium Perpustakaan Negara Malaysia pada 28 Mei lalu ini turut dihadiri oleh Pengerusi PTS, Puan Ainon Mohd, Penasihat PTS, Prof. Abdullah dan Pengarah Urusan PTS, Tuan Arief Hakim Sani Rahmat.
Anugerah Pekomik 2011 ini adalah kemuncak kepada bulan komik yang diadakan selama sebulan di Perpustakaan Negara Malaysia (PNM).
Presiden Pekomik, Tuan Muhamad Azhar Abdullah menjelaskan bulan komik ini menjadi kesinambungan siri konvensyen atau dikenali sebagai Konvensyen Pekomik (Pekomikon) yang sebelumnya dijalankan di PWTC sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL).
"Saya berharap dengan adanya bulan komik ini dapat menyemarakkan persada komik tempatan di mana banyak penggiat komik hadir mempromosikan komik, menghasilkan komik dan berkumpul serta berkongsi pendapat mengenai komik," jelas Tuan Azhar.
Editor Komik Senior, Tuan Wan Zuhairi Wan Zainuddin atau dikenali sebagai tuan Wanzu menjelaskan tahun ini PTS diiktiraf sebagai penerbit yang memberi sumbangan dan pengaruh baru dalam dunia komik tanah air.
"Kami di PTS Pop (Komik-M) akan bekerja dengan lebih kuat bagi menghasilkan komik yang lebih baik demi mencapai matlamat penerbitan PTS yang berlandaskan syariah," jelas Tuan Wanzu lanjut.