Artikel
Penulis dan Penerbit Saling Memerlukan
oleh Roziyah pada 02 Jul 2010
Cabaran menjadi penulis bebas menjadikan syarikat penerbitan penting kepada penulis.
Bagi salah seorang penulis PTS, Tuan Mohamad Saat Sukami, penerbit umpama nadi dalam membantu penulis melebarkan sayap dalam bidang penulisan.
"Cabaran penulis bebas besar. Tambahan pula, sukar untuk memasarkan buku secara bebas dan sediri," kata Tuan Saat yang telah menghasilkan buku Buat Duit Dengan Cacing.
Bagi beliau, penulis dan penerbit harus bekerjasama agar buku yang dihasilkan dapat disebarkan ke banyak kawasan.
"Penulis tentunya mahu menyampaikan ilmu dari buku yang dibaca. Jika pasarannya terhad sudah tentu pembacanya juga terhad," ujar beliau lagi.
Penerbit dapat bekerjasama dengan penulis bagi memasarkan buku serta merancang aktiviti serta promosi bagi mempromosikan buku tersebut ke seluruh negara.
Melalui cara itu penulis tidak perlu lagi terlalu memikirkan pasaran buku mereka. Lantas akan melahirkan karya yang lebih berkualiti.
"Saya mengucapkan terima kasih kepada PTS kerana menerima buku saya sehingga buku Buat Duit Dengan Cacing mendapat sambutan yang menggalakan," kata beliau lagi.
Berbicara mengenai buku beliau, tuan Saat Sukami berkata, bahan rujukan terhadap perusahaan cacing tanah yang kurang menyebabkan beliau menghasilkan buku Buat Duit Dengan Cacing Tanah ini.
"Buku-buku rujukan mengenai perusahaan ini kurang di Malaysia. Sambutan terhadap buku ini juga amat menggalakan dan sekaligus ia dapat memberi informasi kepada umum mengenai perusahaan cacing tanah yang boleh membawa keuntungan," kata beliau.
Beliau kini sedang aktif dalam menghasilkan buku mengenai pelaburan emas.
"Sebenarnya emas mempunyai potensi yang besar dan ia boleh disertai oleh setiap golongan," ujar beliau bercerita mengenai buku terbarunya.
Buku yang bakal terbit tidak lama lagi ini akan menerangkan mengenai pelaburan emas yang kurang diketahui umum. Beliau berharap bukunya nanti dapat membantu semua golongan dalam membina kerjaya mereka.