Artikel
Penulis Mula Terima Cek
oleh Roziyah pada 17 Jun 2010
Penulis PTS sudah mula menerima cek royalti untuk tahun 2009. Salah seorang penulis yang menerima cek adalah penulis buku Peribadi Seorang Pahlawan dan Seindah Senyuman, Tuan Abdul Hakim Ahmad.
Beliau yang ditemui wartawan PTS bersyukur dan gembira dengan royalti yang telah dikeluarkan oleh pihak pengurusan.
Beliau berkata tujuan bukunya dihasilkan untuk mengangkat kembali kegemilangan Nabi Muhammad.
"Buku ini bukan sekadar untuk dibaca, kemudian disimpan. Tetapi ia bertujuan supaya segala peristiwa dan rakaman sejarah keperibadian pahlawan unggul ini dijadikan panduan dan perangsang perubahan minda dan gerak laku dalam kehidupan," kata Tuan Abdul Hakim.
Tuan Abdul Hakim yang bekerja di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia(UIAM) kini merancang menghasilkan siri buku berkaitan Nabi Muhammad yang lebih kecil dan khusus tajuknya untuk dibaca oleh kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah.
"Saya bercadang untuk menghasilkan siri buku untuk bacaan kanak-kanak. Tajuk dan kisah Nabi juga akan dikecilkan dan kisahnya akan lebih mendalam. Bahasanya yang mudah difaham dan sesuai untuk semua lapisan pembaca," kata beliau lagi.