Artikel

Potensi Pasaran Buku Melayu

oleh Roziyah pada 17 Jun 2010

 Oleh : Ainon Mohd

  Tren pasaran buku di semua negara maju di dunia menunjukkan bahawa pasaran buku dalam bahasa-bahasa tempatan adalah besar dan sentiasa berkembang. Disebabkan oleh permintaan yang meningkat bagi bahan bacaan dalam bahasa-bahasa tempatan mendorong aktiviti jual-beli lesen hak cipta dan penerbitan judul-judul terjemahan.

Selaras dengan trend perkembangan dunia itu, pasaran buku-buku Melayu di Malaysia adalah pasaran yang semakin membesar dan ia akan terus berkembang dengan baik kerana industri buku didukung oleh dua faktor utama, iaitu :

 (i) peningkatan pendapatan rakyat negara ini.

 (ii) peningkatan taraf pendidikan.

Buku adalah barang konsumer yang dibeli menggunakan wang lebihan dan dibaca oleh mereka yang mempunyai pelajaran, itulah sebabnya industri buku sangat bergantung kepada perkembangan ekonomi dan tahap pendidikan rakyat. Tanda-tanda positif tentang perkembangan tabiat membeli dan membaca buku di negara ini dapat dilihat dengan memerhatikan beberapa faktor dalam industri. 

Pertama, setiap tahun, Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) melihat pertambahan jumlah pempamer. Semenjak 29 tahun yang lalu, bermula dengan PBAKL yang pertama, setiap tahun jumlah gerai bertambah disebabkan permintaan daripada peserta pesta yang semakin banyak. 

Jumlah pengunjung PBAKL juga semakin banyak sehingga dewan pameran menjadi penuh sesak. Mereka juga membeli semakin banyak buku pada PBAKL. Di samping pesta-pesta buku yang dianjurkan pada peringkat yakni di ibu negara, jumlah pesta buku yang diadakan diperingkat negeri dan daerah-daerah di seluruh negara juga semakin bertambah tahun demi tahun. 

Kedua, jumlah kedai buku di seluruh negara juga semakin bertambah. Jumlah pelabur luar negara yang membuka cawangan dan francais kedai buku juga bertambah. Bukan hanya jumlah kedai buku barangkali yang bertambah, jumlah kedai buku milih persendirian juga bertambah. 

Syarikat-syarikat kedai buku milik Malaysia juga semakin bertambah apabila jumlah mereka yang membuka cawangan semakin banyak. 

 Dari sudut pengeluaran buku pula, terdapat tanda-tanda yang amat memberangsangkan di mana jumlah penerbit buku meningkat, jumlah judul buku yang diterbitkan juga meningkat.

Selain itu peningkatan juga berlaku pada jumlah penulis, penterjemah, editor dan ilustrator buku. Kualiti pekerja buku di negara ini juga mengalami peningkatan di mana semakin banyak yang terdiri daripada pemegang ijazah dalam pelbagai profesional. 

Keadaan ini berbeza dengan situasi pada masa lalu di mana bidang penulisan dan penerbitan buku menjadi pilihan mereka yang datang daripada latar belakang pendidikan, bahasa dan sastera sahaja. Pada masa ini jumlah guru yang menulis sudah menjadi minoriti. 

 Peningkatan juga berlaku pada pembayaran royalti kepada para penulis juga. Sudah banyak penulis yang menerima royalti melebihi RM100 ribu setahun, dan dengan demikian mereka mampu hidup sepenuh masa sebagai penulis.

 Perkembangan terbaru ini mempunyai kesan yang sangat positif ke atas produktiviti para karyawan. Hasilnya jumlah penulis, penterjemah dan ilustrator buku yang menceburkan diri ke dalam dunia kreatif semakin banyak dan karya mereka semakin tinggi mutunya. 

Tanda-tanda peningkatan saiz pasaran buku Melayu juga dapat dilihat pada peningkatan jumlah ruang yang diperuntukkan oleh kedai kepada rak-rak buku Melayu dan pada posisi di dalam kedia di mana rak-rak Melayu ditempatkan. 

Pada masa ini permintaan bagi buku-buku Melayu yang semakin meningkat telah mendorong kedai-kedai buku memberikan ruang yang lebih besar, lebih banyak rak kepada buku-buku Melayu dan meletakkan rak-rak itu di bahagian depan dan berdekatan dengan pintu masuk.

Salah satu cabaran dalam industri buku dalam negara adalah bagaimana memenuhi permintaan daripada pembaca yang mahukan lebih banyak judul yang mereka perlukan, khususnya judul-judul bukan fiksyen dan buku-buku profesional.

Banyak sub-sektor dalam pasaran buku Melayu masih belum diterokai. Justeru, ia adalah peluang yang baik bagi para penerbit untuk menerbitkan buku-buku dalam sub-sektor itu. Jika kita tidak mempunyai penulis tempatan yang menghasilkan tajuk-tajuk itu maka cara lain adalah dengan menerbitkan buku-buku terjemahan bagi sub-sektor itu. 

Suatu perkara yang sangat menarik adalah realiti bahawa industri buku Melayu berkembang semata-mata atas sokongan pasaran terbuka, yakni adanya permintaan yang tinggi dari peminat dan pembeli, bukan disebabkan wujudnya dasar-dasar kerajaan yang melindungi dan merancangkan perkembangan sektor ini. 

Dalam keadaan kerajaan menjalankan kempen besar-besaran supaya rakyat menguasai bahasa Inggeris, namun ternyata permintaan bagi buku Melayu tetap berkembang dengan pesatnya.

 Bagi memenuhi permintaan itu, para pengimport dan pengedar buku-buku Melayu terpaksa mengimport buku-buku dari Indonesia, sama ada diimport terus ataupun dengan menerbitkan semula judul-judul Indonesia sebagai edisi Malaysia.

Sebagai seorang penerbit buku yang baru bergiat dalam sektor ini selama sembilan tahun, saya menyaksikan bagaimana syarikat penerbitan saya berkembang purata lebih 60% tiap-tiap tahun. Perkembangan ini berlaku meskipun dalam keadaan ekonomi gawat!

(Artikel ini dipetik dari Majalah Mutiara Minda- Dunia Buku edisi Mei hingga Julai 2010)

 




 

 

    




Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (198801006125) © 2000 - 2025