Artikel

Penulis Perlu Promosikan Buku

oleh Roziyah pada 06 Dec 2010

PTS semakin berkembang dari hari ke hari. Semakin hari semakin ramai penulis yang tertarik menerbitkan hasil karya mereka di PTS.

Menurut penulis buku remaja popular PTS, Puan Ain Maisarah, penulis harus bijak melakukan promosi bagi menonjolkan buku dan karya penulis sendiri.

"Penulis harus sedar PTS semakin hari semakin berkembang. PTS mempunyai beratus-ratus penulis. Penulis harus mengambil inisiatif sendiri bagi menonjolkan karya yang dihasilkan," jelas Puan Ain Maisarah.

Beliau merupakan salah seorang penulis yang aktif menjalankan promosi karya-karyanya sendiri. Bagi beliau menulis juga merupakan perniagaan.

"Bila sudah menghasilkan buku, ia sudah menjadi produk. Kita kena kembangkan ia sama seperti perniagaan. Semuanya harus dirancang dengan teliti termasuklah dengan mempromosikannya di media baru seperti blog, facebook dan sebagainya agar karya lebih dikenali," jelas beliau lagi.

Puan Ain Maisarah yang popular dengan koleksi buku Aku Mahu... juga aktif menjalankan aktiviti di sekolah-sekolah agar karyanya lebih dekat dengan pembaca sasaran beliau yang terdiri daripada pelajar sekolah.

"Guru dan pelajar gembira apabila dilaksanakan program secara percuma di sekolah mereka kerana sukar mencari orang yang sanggup datang ke sekolah memberi bengkel kepada pelajar secara percuma. Pihak sekolah menerima baik setiap program yang saya anjurkan," jelas Ain Maisarah lagi.

 

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (198801006125) © 2000 - 2025